Khamis, 19 Jun 2008

Aku Bertugas di Bahagian Reka Bentuk


Aku sedang bertugas

Pada awal tahun 1995, ramai pelukis tersohor DBP seperti Imuda, Fazrul, Meo, Saiful, Zawawi, Rosli dan Khazim telah meletakkan jawatan kerana mendapat tawaran yang lebih menarik di tempat lain. Oleh kerana itu banyak kekosongan jawatan pelukis di DBP. Di atas galakan rakan-rakan, aku telah mengambil dan mengisi borang jawatan kosong tersebut. Aku telah lulus dalam ujian melukis dan layak menghadiri temuduga. Pada 15hb Mei 1995, Aku diterima sebagai pelukis bersama Wan Norisham, Rozlin dan Zafran. Aku di tempatkan di unit koporat di Bahagian Reka Bentuk (BRB). Rasa gembira memang tidak terkata kerana dengan kerjaya baru ini saya dapat mengembangkan lagi bakat dalam bidang lukisan.

Aku memang minat melukis sejak di bangku sekolah rendah lagi. Aku turut mendapat galakan untuk terus melukis daripada keluarga dan rakan-rakan.

Aku bersama ilustrator Gopa

Aku ingatkan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Ada seorang rakan setugas yang membodek boss dengan menjatuhkan orang lain. Akibatnya aku jadi mangsa. Semenjak itu hubungan aku dengan boss tidak 'ngam'. Boss memasang spy untuk mencari kesalahan aku. Aku sengaja diberi aku kerja yang mudah dan tidak mencabar. Akibatnya markah prestasi (SKT) aku agak rendah dan tidak disahkan jawatan. Setelah lima tahun, akhirnya aku disahkan jawatan juga itupun setelah campur tangan dari Bahagian Personel.

Peristiwa yang paling aku tidak dapat lupakan apabila boss meminta aku mencari kerja lain kerana beliau mengatakan aku tidak layak berkerja di Bahagian Reka Bentuk (BRB). Dengan bengangnya aku segera naik ke tingkat empat dan berjumpa dengan pegawai personel. Aku bertanya bagaimana mahu kembali kejawatan jawatan pengawal keselamatan. Pegawai personel tersebut pada mulanya agak terperanjat kerana kes ini agak luar biasa dan belum pernah terjadi sebelum ini. Pegawai personel tersebut hanya tersenyum dan berkata, dia akan cuba membantu. Mujurlah rakan setugas, Siganaga menasihati aku supaya membatalkan sahaja niat tersebut. Beliau memberi kata-kata perangsang dan semangat dengan mengatakan kata-kata boss itu hanyalah sebagai satu cabaran sahaja. Terima kasih Siganaga dan akupun sahut cabaran itu.

Aku ingatkan hanya aku seorang sahaja yang tidak 'ngam' dengan boss, rupa-rupanya ramai lagi staff BRB yang tidak 'ngam' dengan beliau. Bahagian Reka Bentuk (BRB) ketika itu terbahagi kepada tiga kumpulan iaitu kumpulan berhaluan kanan, kumpulan berhaluan kiri dan kumpulan atas pagar. Ramai staff tidak 'ngam' dengan boss kerana sebab-sebab tertentu yang berkaitan dengan kelemahan pentadbirannya. Ketika itu Boss sering menerima surat layang yang mengecam cara pentadbirannya. Bahagian BRB bertambah tegang apabila ada staff yang menampal poster di tandas yang mengatakan staff BRB akan mogok jika boss tidak ditukarkan. Oleh itu Pengarah Pentadbiran dan Operasipun memangil kami membuat satu masyuarat tergempar dengan segera. Kekalutan ini tiada penghujungnya sehinggalah BRB diswastakan. 


Aku bersama kartunis Wahidi

Sebenarnya banyak kenangan pahit semasa kerja aku di BRB ini tetapi terlalu sensitif untuk diceritakan kerana tidak mahu menyinggung mana-mana pihak. Kini BRB telah menjadi sejarah di DBP. BRB kini telahpun diswastakan.

Tiada ulasan: