Isnin, 24 November 2008

Berlibur ke Padang/Bukit Tinggi Indonesia - Hari Ketiga


Kolaj berlibur ke Tasik Meninjau

Pagi itu saya bangun awal Jam 5 pagi sudah terdengar bacaan Al-Quran berkumandang dari masjid yang berdekatan. Bersahut-sahutan. Sebenarnya, kerana ada banyak masjid yang berdekatan. Saya dikejutkan oleh puan Eatikah di bilik bersebelahan. Sungguh sayu rasanya bila mendengar bacaan Al-Quran berkumandang di Bukit Tinggi dalam kesejukan pagi.

Suasana di sini terasa macam suasana kampung masa saya kecil dahulu. Tak tahu mengapa tetapi kembara di Tanah Minangkabau ini membuatkan saya rasa rindu pada kenangan masa dahulu di kampung, 20 ke 30 tahun dahulu. Saya rasa bagi bertemu semula dengan jiwa 'Melayu' saya yang hampir hilang



Menaiki kereta kuda di Bukit Tinggi

Kami menuju ke Danau Meninjau yang jaraknya 33 km tetapi memakan masa dua jam perjalanan kerana jalanya kecil dan banyak selekoh tajam. Danau Meninjau adalah sebuah tasik yang terhasil dari letusan gunung Merapi. Danau Meninjau ini luasnya 99.5 km persegi dan mempunyai kedalaman maksima 945 meter. Jika mengelilingi danau ini, kita akan melalui jalan kampung sejauh 70 km.

Untuk sampai ke Danau Meninjau, kita terpaksa melalui 44 kelok atau 44 selekoh yang tajam. Yang menariknya di setiap selekoh akan tertulis papan tanda nombor selekoh dari 44 hingga 1. Kami berhenti di kelok 42 untuk menyaksikan pemandangan indah Danau Meninjau dari puncak bukit.



Penulis bergambar kenangan berlatar belakangkan Tasik Meninjau

Danau Meninjau juga adalah tempat kelahiran Haji Abdul Malik Karim Amrullah, ulamak dan sasterawan terulung yang juga dikenali sebagai Buya Hamka. Buya Hamka lahir di kampung Tanah Sirah, Nagari Batang Meninjau pada 16 Febuari 1908.

Rumah kelahiran Buya Hamka sudah dibaik pulih dan dijadikan sebuah muzium. Bangga saya bila diberitahu bahawa sebahagian besar kos pembaikpulihan telah ditanggung oleh ABIM, sebuah pertubuhan Islam dari Malaysia.


Penulis bergambar kenangan di kelok 42

Ketibaan kami disambut mesra oleh bapak Hanif, seorang anak saudara Hamka yang diamanahkan untuk menjaga rumah itu. Bapak Hanif mempersilakan kami duduk lalu bercerita tentang kisah buya Hamka. Walaupun saya rasa saya kenal Hamka daripada tulisan dan ceramah beliau, rupa-rupanya banyak perkara yang saya tidak tahu yang telah diceritakan oleh Pak Hanif.

Cerita Pak Hanif, Buya Hamka semasa kecil, seorang yang nakal dan mempunyai jiwa yang suka memberontak.. Ini ditambah bila ibu dan ayah beliau berpisah semasa kecil. Dua perkara inilah, kata Pak Hanif yang menyebabkan buya Hamka menjadi yang kita kenal.



Penulis berada di Tasik Meninjau

Oleh kerana nakal, buya Hamka tidak diharap untuk menyambung tugas bapanya yang juga seorang ulamak terkenal. Buya Hamka telah membawa diri ke Medan dan mula menulis. Di situ beliau mula menulis 4 buah novel serentak yang ditulis secara bersiri di dalam majalah Pedoman Masyarakat. Novel itu akhirnya kita kenali sebagai Di Bawah Lindungan Kaabah (1939), Tengelamnya Kapal Van Der Wijck (1937), Di Dalam Lembah Kehidupan (1939) dan Merantau ke Deli (1840).


Penulis berada di hadapan rumah kelahiran fro. Hamka

Jiwa saya sungguh sayu bila meninggalkan Rumah Buya Hamka. Tergenang air mata saya bila Pak Hanif menghabiskan kisah hidup Hamka yang pulang kerahmatullah pada 24hb Julai 1981. Saya rasa seperti baru sahaja berkenal dengan Buya Hamka, sungguh terasa dan rindukan seorang ulamak seperti beliau. Jasa dan budi beliau kepada dunia Islam khususnya di Nusantara ini, tidak ternilai.

Hamka semasa hidupnya telah berjaya dalam 8 bidang, kata Pak Hanif. Buya Hamka adalah seorang sasterawan, pujangga, ahli politik, pemikir Islam, wartawan, pengarang, peminpin dan ulamak. Sehingga hari ini, belum ada lagi tokoh seumpama beliau. Entah berapa tahun lagi kita akan dapat ganti seperti beliau.


merakam saat-saat indah di Bukit Tinggi

Perjalanan pulang menyusuri tepian Danau Meninjau, saya seakan terbayang-bayang kelibat Buya Hamka sewaktu muda, ketika meninggalkan Danau Meninjau, berjalan kaki melalui kelok 44 untuk menuntut ilmu ke Pasir Panjang. Saya terkenang watak Zainiddin dan Hayati dala novel Tengelamnya Kapal Van Der Wijk karangan Buya Hamka. Ternyata, Danau Meninjau adalah antara sumber inspirasi Buya Hamka dalam berkarya .

Itu malam terakhir kami di Bukit Tinggi. Esoknya kami perlu daftar keluar untuk pulang ke Kota Padang.

3 ulasan:

su berkata...

minang nenek moyangku di sana..huhuhu...

salam ziarah kembali...mekaseh sudi menjenguk ke blog su...dulu skolah kat mane di kwsn sabak ni ek?

Unknown berkata...

Bilalah mahu ke Jusco Bukit Tinggi...

ZulDeanz berkata...

itu Bukit Tinggi Klang, Nuar....