Rabu, 19 November 2008

Berlibur ke Padang/Bukit Tinggi Indonesia - Hari Pertama

Kolaj berlibur di Bukit Tinggi, Indonesia.

Penerbangan kami hari itu awal pagi. Pukul 7.50 pagi. Maknanya kami terpaksa bangun awal pagi untuk ke LCCT. Sebenarnya tidur kamipun tidak berapa nyeyak malam itu mungkin kerana sudah tidak sabar lagi mahu menjejakkan kaki ke Tanah Minang. Sebelum subuh, kami sudah sampai ke terminal LCC, KLIA.


Penulis baru tiba di Bandar Udara Antarabangsa Minangkabau, Padang, Indonesia.

Pemandangan dari atas pesawat sungguh cantik dan menawan. Kedudukan Badar Udara Padang yang terletak hampir dengan pantai, membolehkan kami menikmati pemandangan Padang yang menghadap Lautan Hindi. Jam 9.30 pagi atau 8.30 pagi waktu Padang, pesawat yang kami naiki mendarat dengan selamat di Bandar Udara Antrabangsa Minangkabau, Padang. Khabarnya lapangan terbang ini baru dibina menggantikan lapangan terbang yang lama. Bangunan terminalnya memang unik, berbentuk minangkabau.

Penulis berada di rumah adat Minangkabau
Bapak Hairrussaleh dan bapak Didy dari PT. ARENA Tour & Travel sudah sedia menunggu bersama bapak Anas dan Pak Man yang akan jadi pemandu dan penunjuk jalan. Di sini, susah jika mahu dicari kereta kecil, kebanyakannya kereta besar-besar yang memudahkan perjalanan di tempat yang bentuk muka buminya bergunung-ganang. Kami lalu di bawa menaiki bas ke destinasi seterusnya.

Penulis terpegun dengan rekabentuk rumah Minangkabau.
Kami terus ke Bukit Tinggi yang perjalanannya memakan masa dua jam lebih. Bukit Tinggi adalah tempat peranginan yang berudara dingin. Pemandangan di sepanjang jalan memang mengasyikkan. Rumah berbentuk minangkabau kelihatan di sepanjang perjalanan. Asyik sungguh saya melihat begitu banyak masjid dan surau di sini. Rasa saya beratus buah masjid dan surau boleh dilihat di sepanjang jalan. Tak hairanlah, Padang juga diberi gelaran Tanah Seribu Surau.

Landskap yang menarik
Tengahari itu kami menikmati hidangan Nasi Padang kami yang pertama di rumah makan Pak Datuk. Saya pernah makan Nasi Padang di restoran Minang Ampang dan pada saya Nasi Padang hanyalah makanan biasa yang boleh dicari dimana-mana. Namun pengalaman menikmati hidangan Nasi Padang di bumi minang ini telah mengubah pandangan saya. Saya terpukau dan terpikat dengan keenakan Nasi Padang. Keenakanya yang tersendiri yang tidak serupa dengan Nasi Padang di tempat kita. Masih teringat-ingat keenakanya.

Penulis menikmati hidangan Nasi Padang.
Selepas makan kami terus ke hotel Pusako yang bertaraf empat bintang untuk check in. Jam 2.30 petang kami bertolak ke Perpustakaan Bung Hatta Bukit Tinggi untuk menderma buku-buku DBP di sana. Kedatangan kami di sambut dengan meriah oleh wali kota Bukit Tinggi Kami di beri penerangan oleh kepala perpustakaan tentang sejarah perpustakaan Bung Hatta dan Wali Kota sendiri memberi ucapan selamat datang kepada kami semua.



Penulis disamping potret Bung Hatta
Sebelah malamnya kami makan nasi padang sambil menyaksikan persembahan kebudayaan minang bersama-sama wali kota Bukit Tinggi (Datuk Bandar) di dewan utama hotel Pusako. Hari pertama kami berakhir dengan melabuhkan diri di katil hotel Pusako.
Esoknya kami akan ke Batu sangkar, Pagaruyung dan Tasek Singkarak.

Tiada ulasan: