Memaparkan catatan dengan label info. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label info. Papar semua catatan

Selasa, 5 Julai 2011

Surah Yasin

Sudah pasti ramai yang mengetahui bahawa surah Yasin yang terkandung di dalam al-Quran merupakan sebuah surah yang selalu dibaca oleh umat Islam dan ia selalu dibaca pada malam Jumaat. Tetapi tahukah kita bahawa dengan mengamalkan membaca surah Yasin tidak kira masa, kita akan memperolehi pelbagai khasiat dan kebaikan. Di pejabat penulispun sering mengadakan majlis bacaan Yasin untuk mengelakkan sebarang musibah.


Kali ini penulis kongsikan beberapa khasiat membaca surah Yasin yang telah penulis temui di dalam sebuah laman web di internet.

Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud: “Bacalah surah Yasin kerana ia mengandungi keberkatan.” Iaitu:
  • Apabila orang lapar membaca surah Yaasin, ia boleh menjadi kenyang.
  • Jika orang tiada pakaian boleh mendapat pakaian.
  • Jika orang belum berkahwin akan mendapat jodoh.
  • Jika dalam ketakutan boleh hilang perasaan takut.
  • Jika terpenjara akan dibebaskan.
  • Jika musafir membacanya, akan mendapat kesenangan apa yang dilihatnya.
  • Jika tersesat boleh sampai ke tempat yang ditujuinya.
  • Jika dibacakan kepada orang yang telah meninggal dunia, Allah meringankan siksanya.
  • Jika orang yang dahaga membacanya, hilang rasa hausnya.
  • Jika dibacakan kepada orang yang sakit, terhindar daripada penyakitnya.


Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya setiap sesuatu mempunyai hati dan hati al-Quran itu ialah Yasin. Sesiapa membaca surah Yasin, nescaya Allah menuliskan pahalanya seperti pahala membaca al-Quran sebanyak 10 kali.”


Sabda Rasulullah S.A.W lagi: “Apabila datang ajal orang yang suka membaca surah Yasin pada setiap hari, turunlah beberapa malaikat berbaris bersama Malaikat Maut. Mereka berdoa dan meminta dosanya diampunkan Allah, menyaksikan ketika mayatnya dimandikan dan turut menyembahyangkan jenazahnya.”


Malaikat Maut tidak mahu memaksa mencabut nyawa orang yang suka membaca Yaasin sehingga datang Malaikat Redwan dari syurga membawa minuman untuknya. Ketika dia meminumnya alangkah nikmat perasaannya dan dimasukkan ke dalam kubur dengan rasa bahagia dan tidak merasa sakit ketika nyawanya diambil.


Rasulullah S.A.W bersabda selanjutnya: “Sesiapa bersembahyang sunat dua rakaat pada malam Jumaat, dibaca pada rakaat pertama surah Yaasin dan rakaat kedua Tabaroka. Allah jadikan setiap huruf cahaya di hadapannya pada hari kemudian dan dia akan menerima suratan amalannya di tangan kanan dan diberi kesempatan membela 70 orang daripada ahli rumahnya tetapi sesiapa yang meragui keterangan ini, dia adalah orang-orang yang munafik.



Begitu banyak khasiat dan kebaikan yang bakal kita perolehi melalui bacaan surah Yasin, seperti yang telah disebut seperti di atas Yasin umpama hati kepada al-Quran. Sudah semestinya salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada seseorang pastinya melalui hati, oleh itu marilah kita mendekatkan diri kita kepada Allah S.W.T. melalui ibadah dan bacaan Yasin. InsyaAllah.

Sumber: Mohd Isa

Selasa, 15 Februari 2011

Biodata Nabi Muhammad SAW

Sumber: Mannster

“MAULID AL-RASUL SAW”

Pepatah Melayu ada mengatakan “Tak Kenal, Maka Tak Cinta”. Demikianlah sikap kita terhadap Rasulullah SAW. Seseorang itu tidak akan menyambut kelahiran Rasulullah SAW jika tiada perasan cinta terhadap baginda. Malahan sesetengahnya langsung tidak mempedulikan Rasulullah SAW, seolah-olah tiada apa-apa keistimewaan dengan kelahiran dan pengutusannya. Menyedihkan lagi, sebahagian daripada umat Islam lebih mengingati kelahiran paderi ‘ St.. Valentino‘ daripada mengingati Rasulullah SAW, lebih mengingati biodata para artis daripada biodata Rasulullah SAW. Beginikah kecintaan kita kepada seorang kekasih dan utusan Allah SWT? Justeru, saya berasa bertanggungjawab untuk memaparkan biodata dan kronologi hidup Baginda SAW untuk tatapan dan ingatan kita bersama agar kita lebih mencintai kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW.

SEJARAH RINGKAS RASULULLAH SAW

BIODATA RASULULLAH SAW
  • Nama: Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
  • Tarikh lahir: Subuh Isnin, 12 Rabiulawal / 20 April 571M (dikenali sebagai tahun gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Ka’abah)
  • Tempat lahir: Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah
  • Nama bapa: ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
  • Nama ibu: Aminah binti Wahab bin ‘Abdul Manaf
  • Pengasuh pertama: Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW)
  • Ibu susu pertama: Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab)
  • Ibu susu kedua: Halimah binti Abu Zuaib As-Sa’diah (lebih dikenali Halimah As-Sa’diah. Suaminya bernama Abu Kabsyah)
USIA 5 TAHUN
  • Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalamnya.
USIA 6 TAHUN
  • Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa’ (sebuah kampung yang terletak di antara Mekah dan Madinah)
  • Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya ‘Abdul Muttalib.
USIA 8 TAHUN
  • Datuknya, ‘Abdul Muttalib pula meninggal dunia.
  • Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.
USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).
  • Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan.
  • Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.
USIA 20 TAHUN
  • Terlibat dalam peperangan Fijar. Ibnu Hisyam di dalam kitab ‘Sirah’ , jilid 1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.
  • Menyaksikan ‘ perjanjian Al-Fudhul’; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Mekah.
USIA 25 TAHUN
  • Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah.
  • Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah..
  • Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.
  • Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.
USIA 35 TAHUN
  • Banjir besar melanda Mekah dan meruntuhkan dinding Ka’abah.
  • Pembinaan semula Ka’abah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Mekah.
  • Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ‘Hajarul-Aswad’ ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.
USIA 40 TAHUN
  • Menerima wahyu di gua Hira’ sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.
USIA 53 TAHUN
  • Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.
  • Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.
USIA 63 TAHUN
  • Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11H/ 8 Jun 632M.
ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW.
  • Khadijah Binti Khuwailid
  • Saudah Binti Zam’ah
  • Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar)
  • Hafsah binti ‘Umar (anak Saidina ‘Umar bin Al-Khattab)
  • Ummi Habibah Binti Abu Sufyan
  • Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah)
  • Zainab Binti Jahsy
  • Maimunah Binti Harith
  • Safiyah Binti Huyai bin Akhtab
  • Zainab Binti Khuzaimah (digelar ‘Ummu Al-Masakin’; Ibu Orang Miskin)
ANAK-ANAK RASULULLAH SAW
  1. Qasim
  2. Abdullah
  3. Ibrahim
  4. Zainab
  5. Ruqaiyah
  6. Ummi Kalthum
  7. Fatimah Al-Zahra’
ANAK TIRI RASULULLAH SAW

Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).

SAUDARA SESUSU RASULULLAH SAW

IBU SUSUAN

SAUDARA SUSUAN
  1. Thuwaibah
  2. Hamzah
  3. Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad
  4. Halimah Al-Saidiyyah
  5. Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
  6. Abdullah bin Harith bin Abdul ‘Uzza
  7. Syaima’ binti Harith bin Abdul ‘Uzza
  8. ‘Aisyah binti Harith bin abdul ‘Uzza
BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SAW (ANAK-ANAK KEPADA ABDUL MUTTALIB)
  1. Al-Harith
  2. Muqawwam
  3. Zubair
  4. Hamzah ***
  5. Al-’Abbas ***
  6. Abu Talib
  7. Abu Lahab (nama asalnya ‘Abdul ‘Uzza)
  8. Abdul Ka’bah
  9. Hijl
  10. Dhirar
  11. Umaimah
  12. Al-Bidha (Ummu Hakim)
  13. ‘Atiqah ##
  14. Arwa ##
  15. Umaimah
  16. Barrah
  17. Safiyah (ibu kepada Zubair Al-’Awwam) ***
*** Sempat masuk Islam.
## Ulama’ berselisih pendapat tentang Islamnya.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga.” (Riwayat Al-Sajary daripada Anas )

Selasa, 16 November 2010

Nasi Ayam Kampung

Penulis selalu juga menikmati Nasi Ayam Kampung yang terletak di medan selera Veladrom, Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur. Setiap kali penulis menikmati makan tengahari, medan selera ini sentiasa dipenuhi dengan pelangan. Mungkin terlalu ramai pelangan, pengusaha restoran ini terpaksa meletakkan lebih banyak kerusi dan meja di bahagian belakang restoran. Di belakang restoran ini ada kawasan lapang dan terdapat bebarapa batang pokok kelapa sawit dan pokok-pokok lain untuk berteduh.

Rakan-rakan tidak sabar menikmati nasi ayam kampung.

Medan Selera Bandar Tun Razak.

Restoran ini menghidangkan ayam goreng kampung yang masih panas. Bertambah enak ayam goreng ini dicecah dengan sambal belacan dan berulamkan sayur-sayuran segar. Dengan menu istimewa ini, restoran ini berterusan dikunjungi pelangan terutama di waktu puncak. Harganya boleh tahan juga, ayam goreng sahaja sudah RM5 seketul. Makanan boleh minta dihidang atau ambil sendiri secara sepinggan. Restoran ini diusahakan oleh orang Kelantan, jika hendak diskaun, kenalah kecek kelantan... baru boleh dapat diskaun he.. he...


Suasana di waktu tengahari.

Nasi ayam kampung berulamkan sayuran segar.

Restoran ini selain menjadi tumpuan orang ramai, ia juga menjadi tumpuan kakitangan HUKM, MPIK dan MPT. Mungkin telah mendapat keuntungan yang agak besar atau memperolehi rezeki yang berlebihan, maka pengusaha restoran ini telah membeli sebuah bangunan. Bangunan restoran nasi ayam kampung yang baru dibeli ini hanyalah bersebelah di medan selera sahaja. Tetapi hasil pemerhatian penulis, pengunjung lebih menggemari lokasi santai di bawah pokok yang terdapat di medan selera tersebut.

Berdoa sebelum menikmati nasi ayam kampung.

Kekenyangan selepas menikmati nasi ayam kampung.

Selain cawangan ini, difahamkan restoran ini juga terdapat cawangan ditempat lain. Tetapi penulis tidak tahu, di mana yer?

Rabu, 13 Oktober 2010

Ikan Pekasam/Wadik

Wadik atau pekasam versi Banjar, berbeza dari pekasam buatan lain-lain etnik dari penggunaan garam kasar, jumlah asam yang digunakan dan ikan yang digunakan. Jumlah garam yang digunakan adalah lebih banyak yang menyebabkan ikan wadik tahan lebih lama (antara 6 bulan - 1 tahun).

Ikan Sepat menjadi pilihan utama untuk dijadikan pekasam.

Garam juga membuatkan struktur daging ikan lebih memejal dan ini membuatkan ikan wadik tidak mudah hancur bila di goreng, manakala pekasam pula menggunakan garam dalam kuantiti yang kecil. Ini membuatkan ikan pekasam mereput dengan cepat sehinggakan tulang pun boleh kita makan. Ikan yang menjadi pilihan masyarakat Banjar juga berkait rapat dengan pekerjaan mereka sebagai pesawah. Oleh itu, ikan yang di jadikan wadik adalah ikan sawah seperti ikan sepat, haruan, keli dan puyu. Walau bagaimanapun, ikan sepat tetap menjadi pilihan untuk dibuat wadik.

Ikan yang telah dijadikan pekasam.

Cara maulah wadik (Banjar)
  • 15 ikung ikan sapat
  • 1/2 bungkus garam kasar (uyah)
  • 6 kaping asam gelugur - Asam Kaping
  • 1 cawan baras basangan hagan diulah samo (ditumbuk atawa digiling kasar)
  • 1 bigi cabai karing
  • 1 ulas bawang halui
  • 1 sudu gula amun suka
  1. Iwak dibarasihi. Andaki uyah. Jangan kalumpanan andaki jua dalam parot iwak
  2. Taburkan garam dalam wadah (guri), susun ikan berselang seli wan uyah
  3. Biar dipaja 3 malam
  4. Tapiskan banyu wadik, imbah tu jarang banyu wadik tu
  5. Kambohkan samo, cabai, bawang, gula wan ikan. Masukan banyu wadik tadi
  6. Paja sekurang-kurangnya saminggu, hanyar nyaman dimakan.
*cili wan bawang hagan menjauhkan wadik dari bahulat

Cara membuat pekasam (Melayu)


Bahan-bahannya:
  • 10 - 15 ekor ikan
  • 200 gm beras (digoreng tanpa minyak dan tumbuk/kisar, jangan halus sangat)
  • 2 sudu makan garam halus
  • dua genggam asam jawa
Caranya:
  1. Bersihkan ikan (mesti betul-betul bersih, kalau tidak ikan cepat busuk).
  2. Gaulkan beras, garam, beras dan asam jawa dengan 1/2 cawan air.
  3. Di dalam bekas, susun selang seli antara garam campur asam tadi dengan ikan. Masukkan juga ramuan tu dalam perut ikan.
  4. Jangan terus simpan dalam peti sejuk. Biarkan sekurangnya dua hari di luar kemudian baru simpan dlm peti sejuk.
Cara goreng:

Gunakan sedikit sahaja minyak. Goreng bawang kecil yang sudah dihiris dgn cili padi. Lagi banyak lagi sedap. Angkat. Kemudian baru goreng ikan pekasam dan campuran beras itu hingga garing. (Jangan basuh ikan tu!) Hidangkan dengan nasi panas. Wow, sedap

Sumber: Banjar Sungai Manik

Selasa, 21 September 2010

Kaum Banjar Di Malaysia

Mukaddimah

Masyarakat Malaysia terkenal kerana sifat majmuknya. Salah satu golongan etnik yang besar ialah kaum Banjar. Seperti golongan etnik lain, kaum Banjar juga merupakan satu golongan yang kompleks dan mempunyai sejarah yang tersendiri di negara ini. Kaum Banjar adalah tergolong dalam rumpun bangsa Melayu, walaupun begitu, tidak banyak yang diketahui tentang masyarakat ini. Keadaan ini agak berbeza dengan kaum Jawa yang lebih dikenali walaupun kedua-dua masyarakat ini mempunyai latar belakang penghijrahan yang hampir sama dan berasal dari negara yang sama iaitu Indonesia

Satu hal yang agak menarik juga, kedua-dua masyarakat tersebut tinggal di kawasan penempatan yang berdekatan di Malaysia, contohnya di daerah Batu Pahat di Johor, daerah Sabak Bernam dan Tanjung Karang di Selangor dan daerah Bagan Datoh di Perak. Sehingga kini, belum ada penulisan yang benar-benar lengkap tentang sejarah kedatangan atau perkembangan masyarakat tersebut di negara ini, walaupun sumbangan mereka dalam bidang sosial, ekonomi dan politik bangsa Melayu khasnya di negara ini secara keseluruhannya tidak kurang pentingnya.

Asal-usul kedatangan orang Banjar ke Tanah Melayu

Kaum Banjar yang datang ke Tanah Melayu adalah berasal dari Kalimantan, Indonesia, di kawasan selatan Basin Barito, terutama sekali dari daerah Banjar Masin, iaitu pusat bandar daerah itu. Kawasan ini adalah terletak di bahagian tenggara Borneo.

Di antara daerah-daerah utama tempat asal kaum Banjar tersebut ialah dari daerah Balangan, Amuntai, Alai, Hamandit, Margasari dan Martapura. Sebahagian dari mereka juga berasal dari Sumatera Tengah di kawasan Bukit Tinggi dan Sepat. Daerah-daerah tersebut merupakan kawasan penanaman padi. Oleh demikian, mereka yang berhijrah ke Tanah Melayu adalah merupakan petani-petani yang mahir dalam penanaman padi. Disamping itu, pekerjaan khusus seperti melukis, tukang permata dan berniaga juga ditekankan oleh mereka. Pekerjaan inilah yang membezakan mereka dari suku-suku bangsa lain di daerah orang-orang Dayak yang tinggal lebih ke utara barat Banjar Masin. Masyarakat ini juga dikenali dengan kemahiran membuat peralatan dari besi, seperti peralatan pertanian dan senjata. Kebanyakan mereka suka tinggal di lembah beberapa buah sungai seperti di sepanjang lembah Sungai Baritodari Banjar Masin hingga ke Asuntai dan Tanjung di utara.

Tarikh migrasi masyarakat ini ke Tanah Melayu tidak dapat dipastikan, tetapi menurut Afred Bacon Hudson seorang pengkaji kaum Banjar, migrasi ini bermula dalam pertengahan abad ke 19. Penempatan yang awal sekali dapat dikesan ialah di Batu Pahat, Johor. Pada masa itu, mereka sering berulang alik berdagang dan berniaga kelapa kering melalui Siak, Bentan, Inderagiri terus ke Batu Pahat dan Singapura. Selain daripada itu Bagan Datoh di Perak juga dikatakan tempat pertapakan awal masyarakat ini di Tanah Melayu.

Dari Batu Pahat, mereka berpecah ke kawasan lain. Mereka masih lagi manjalankan aktiviti yang serupa seperti bertani, berkebun getah, kelapa dan sebagainya. Pada masa kini, masyarakat Banjar boleh didapati di beberapa kawasan pantai barat, terutamanya di kawasan penanaman padi seperti di daerah Kerian, Sungai Manik dan Bagan Datoh di Perak, Sabak Bernam dan Tanjong Karang di Selangor serta Batu Pahat di Johor. Di Sabah pula, orang Banjar terdapat di Sandakan, Tenom, Keningau dan Tawau. Orang Banjar ini pula terbahagi kepada beberapa puak dan di antara yang terbesar ialah Tanjung dan Kalua dari daerah Balangan, Amuntai dari daerah Amuntai, Barabai dari daerah Alai, Nagara dan Kandangan dari daerah Hamandit, Rantau dari daerah Margasari dan Martapura dari daerah Martapura. Masyarakat ini sering mengidentifikasikan diri mereka berdasarkan daerah tempat asal-usul mereka di Tanah Banjar.

Selain daripada faktor perdagangan, kemiskinan yang mencengkam kehidupan kaum Banjar di tempat asal mereka juga telah mendorong penghijrahan ke Tanah Melayu. Keadaan mereka di Tanah Banjar agak sukar kerana tanah pertanian mereka sering menghadapi ancaman binatang buas. Faktor ini ditambah lagi dengan kemelaratan yang dihadapi di bawah pemerintahan penjajah Belanda yang terlalu menindas masyarakat tempatan dengan pelbagai cukai dan peraturan yang tidak munasabah. Disamping itu, mereka tertarik dengan kemakmuran kehidupan di Tanah Melayu pada masa itu yang dikhabarkan oleh pedagang-pedagang yang berulang-alik ke Tanah Melayu. Pihak penjajah British di Tanah Melayu pula amat menggalakkan penghijrahan masyarakat dari Indonesia untuk membuka dan mengerjakan kawasan pertanian yang baru kerana masyarakat tersebut amat terkenal dengan sifat tabah dan gigih dalam menghadapi cabaran hidup.

Ciri-ciri awal orang Banjar di Tanah Melayu

Apa yang dimaksudkan dengan ciri-ciri awal ini ialah sosio-budaya orang Banjar pada tahap awal pertapakan mereka di tanah Melayu iaitu sekitar pertengahan abad ke-19 sehingga pertengahan abad yang ke-20.Terdapat ciri-ciri yang dominan dan ketara pada masyarakat ini yang membezakannya dengan masyarakat Melayu tempatan pada masa itu. Di antara ciri-ciri awal yang dapat diperhatikan dalam masyarakat ini pada masa itu ialah, fahaman kesukuan, teguh pegangan agama dan carahidup sederhana, berani dan panas baran.

Fahaman kesukuan

Perkara ini adalah berkait rapat dengan keadaan mereka yang baru berhijrah dari Tanah Banjar ke Tanah Melayu yang masih asing bagi mereka. Jadi, bagi memastikan kebajikan mereka terjaga, mereka sentiasa tinggal dalam satu kelompok. Salah satu ciri terpenting wujud pada masyarakat tersebut pada masa itu ialah mendalamnya fahaman kesukuan. Bagi mereka, orang-orang selain dari suku mereka dianggap sebagai ‘orang luar’. Keadaan ini telah mempengaruhi pergaulan, perkembangan pemikiran dan seterusnya keperibadian mereka. Faham kesukuan ini juga telah menjadikan masyarakat ini pada masa itu sebagai sebuah masyarakat tertutup. Jarang-jarang benar berlaku perkahwinan di luar suku Banjar. Justeru itu, faktor ini telah dapat mengekalkan beberapa ciri-ciri keperibadian yang tersendiri masyarakatini. Contoh yang nyata ialah pengekalan bahasa pertuturan sehari-hari iaitu dialek Banjar dan kawasan tempat tinggal yang berkelompok.

Teguh pegangan agama dan cara hidup sederhana

Kebanyakan orang Banjar yang berhijrah ke Tanah Melayu adalah terdiri daripada mereka yang kuat pegangan agama Islam dan mengamalkan cara hidup yang sederhana. Maka, tidak hairanlah bahawa masyarakat ini amat condong terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam dalam kehidupan seharian mereka.

Keadaan ini ditambah lagi dengan corak pekerjaan mereka yang berbentuk pertanian dan lokasi petempataan mereka yang agak terpencil daripada bandar, telah menyebabkan peluang untuk mereka mengikuti kemudahan-kemudahan seperti pelajaran, kesihatan, dan lain-lain amat terhad. Perkembangan pendidikan secara formal yang wujud dalam masyarakat ini hanyalah berupa kelas membaca al-Quran, mempelajari hal-ehwal syariat Islam sama ada di sekolah-sekolah agama rakyat mahupun di madrasah-madrasah. Bagi golongan yang berkemampuan pula, mereka menghantarkan anak-anak mereka ke sekolah-sekolah arab mahupun pondok-pondok di tempat lain.

Bagi yang lebih berkemampuan, mereka juga turut menghantar anak-anak mereka ke Tanah Suci Mekah untuk mendalami ilmu agama. Amat kurang sekali yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah kerajaan mahupun ke sekolah Melayu kerana mereka berpendapat mata pelajaran yang di ajar tidak sesuai dan semata-mata hal-ehwal duniawi sahaja. Begitu juga dengan sekolah-sekolah Inggeris mereka khuatir anak-anak mereka akan terpengaruh dengan dakyah Kristian jika menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah tersebut. Walaupun pada umumnya, fahaman sebegini wujud dikalangan masyarakat Melayu yang lain, tetapi keadaan yang wujud dikalangan orang Banjar amat ketara sekali.

Sebagai buktinya, sehingga awal tahun-tahun 60an, amat kurang sekali pegawai-pegawai kerajaan mahupun kakitangan yang berketurunan Banjar. Kalau pun ada, hanya pegawai-pegawai agama atau guru-guru agama. Ringkasnya mereka lebih berminat untuk bergiat dalam bidang-bidang yang bersangkutan dengan hal-ehwal agama Islam sahaja. Kesan lain yang dapat diperhatikan dan masih kekal sehingga kini ialah terdapatnya dengan banyak sekali sekolah-sekolah agama rakyat, madrasah mahupun pondok-pondok dikawasan-kawasan yang majoriti penduduknya orang Banjar seperti di daerah Kerian, Perak mahupun di daerah Sabak Bernam, Selangor.

Keadaan kehidupan mereka juga amat sederhana, rumah mereka dikatakan kosong kerana tidak mempunyai alat-alat perabut seperti kerusi, meja dan almari. Peralatan yang ada seperti tikar mengkuang yang dibentangkan ketika tetamu datang dan lain-lain perkakas yang mustahak sahaja.

Satu hal yang agak menarik juga ialah, masyarakat ini tidak suka bekerja makan gaji dengan kerajaan kerana mereka lebih suka bekerja sendiri khasnya dalam bidang pertanian. Perkara ini juga berkait dengan kebebasan untuk mereka membuat perkara-perkara sampingan khasnya untuk mendalami ilmu-ilmu keagamaan. Pekerjaan bertani khasnya penanaman padi mempunyai ruang masa yang banyak dan bebas untuk merekamelakukan perkara-perkara tersebut seperti ketika menunggu musim menuai dan seumpamanya. Kedudukan seseorang yang tinggi ilmu agama juga amat dihormati dan mendapat tempat yang istimewa di kalanganorang Banjar.

Nilai yang diberikan ke atas seseorang individu dalam masyarakat ini adalah berdasarkan keahliannya dalam ilmu-ilmu agama Islam. Nilai-nilai seperti ini menjadikan masyarakat ini begitu kuat dan taat berpegang kepada ajaran Islam dan kepada kepimpinan yang ahli dalam bidang agama Islam. Perkara ini jelas dilihat daripada kemenangan calon parti yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan pada Pemilihan Umum Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955 Kawasan Kerian, Perak yang telah diketahui majoriti daripada penduduknya terdiri daripada orang Banjar. Beliau yang dimaksudkan ialah Tuan Guru Haji Ahmad Haji Hussein, keturunan Syeikh Muhammad Arsyad al Banjari, seorang tokoh ulama besar berasal dari Tanah Banjar, Kalimantan Selatan, Indonesia.

Berani dan pemanas

Salah satu sifat yang agak ketara terdapat dalam masyarakat Banjar ialah bersifat berani dan pemanas. Masyarakat ini pantang dicabar dan bersifat panas baran. Penggunaan senjata seperti pisau (biasanya disebu lading), parang panjang atau badik (sejenis pisau juga), tidak asing lagi bagi mereka terutama ketika berlaku pergaduhan. Dipercayai juga setiap keluarga orang Banjar pasti menyimpan sebilah parang panjang di rumah masing-masing untuk menjaga keselamatan mereka. Orang Banjar sering dianggap sebagai masyarakat yang gemar bergaduh oleh masyarakat lain. Sebenarnya, sifat ini telah timbul secara turun temurun semenjak mereka menetap di Tanah Banjar lagi.

Keadaan alam sekeliling di Tanah Banjar yang penuh dengan hutan belukar dan binatang buas menjadikan mereka sentiasa berhadapan dengan cabaran dan halangan dalam meneruskan kehidupan mereka. Orang-orang yang berniaga pula sering berhadapan dengan lanun dan perompak memerlukan mereka sentiasa bertenaga dan bersedia untuk bertarung dengan pihak musuh. Perkara ini juga telah menyebabkan mereka suka menuntut ilmu-ilmu persilatan daripada pendekar-pendekar tempatan mahupun luar. Keadaan ini terbawa-bawa dan akhirnya telah menjadi sifat dan perangai mereka sehingga sekarang walaupun semakin berkurangan. Ciri-ciri ini jugalah yang sebenarnya menjadi penyebab kepada pergaduhan yang telah timbul di kawasan petempatan orang Banjar seperti di Sungai Manik, Teluk Intan, Perak pada tahun 1940an dan 1960an mahupun di Batu Pahat, Johor pada 13 Mei 1969, atas gabungan sifat mereka yang kuat peganganagama dan berani serta pemanas.

Orang Banjar kini

Kini, orang Banjar di Malaysia sebagaimana masyarakat-masyarakat penghijrah dari Indonesia yang lain seperti orang Jawa, Bugis, Mendailing, Rawa, Kerinchi, Batak, Minangkabau dan lain-lain lagi, telah mengalami arus perubahan yang pesat seiring dengan kepesatan pembangunan di negara ini sendiri. Proses asimilasi yang berlaku ke atas masyarakat ini amat ketara terutama apabila mereka sudah tidak tinggal lagi bersama-sama dalam kelompok mereka mahupun apabila berlakunya perkahwinan campur. Program pendidikan di negara ini juga sedikit sebanyak telah mengasimilasikan masyarakat ini ke dalam masyarakat Melayu tempatan. Generasi muda masyarakat ini sudah agak kurang mahupun tidak tahu atau malu untuk bertutur dalam bahasa Banjar walaupun ketika berbicara sesama mereka.

Sifat mereka yang suka merantau masih membara dijiwa mereka. Buktinya, apabila adanya pembukaan tanah-tanah rancangan sama ada oleh FELDA mahupun FELCRA, mereka akan memberikan sambutan yang menggalakkan untuk menjadi peserta. Kini, orang Banjar juga banyak didapati di kawasan-kawasan tanah rancangan contohnya di negeri Pahang.

Di petempatan yang majoritinya adalah terdiri daripada masyarakat Banjar, Perpaduan mereka masih erat dan mereka masih terus memelihara dan menggunakan bahasa Banjar dalam pertuturan harian. Namun, dari segi pengamalaan adat resam dan organisasi sosial orang Banjar serta prasangkanya terhadap orang bukan Banjar sudah agak berkurangan dan mungkin sudah tiada lagi.

Sikap mereka terhadap pendidikan juga telah jauh berubah di mana anak-anak mereka juga telah berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading dan menjawat jawatan-jawatan yang tinggi di sektor awam mahupun swasta. Namun begitu, pendidikan agama masih tetap menjadi pilihan utama kebanyakan dari mereka dan buktinya dapat di perhatikan daripada ramainya anak-anak masyarakat ini yang mempunyai kelulusan agama yang tinggi terutama orang Banjar dari daerah Kerian, Perak dan daerah Sabak Bernam di Selangor.

Sumber: Shahril B. Asnawi