Memaparkan catatan dengan label Puisi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Puisi. Papar semua catatan

Rabu, 18 Jun 2014

Sindrom Cokelat?

Sudah halal.
Heboh ya heboh, segelintir umat kecoh 
makan cokelat dicampur Khinzir 
takut dan kalut, makan yang haram badan jadi haram 
ada yang nak samak mulut sampai keperut, ada yang nak saman isu tersebut 

 Kenapa risau? kenapa sasau? perkara dah lepas tak usah meracau 
ALLAH dah firman tak sengaja tak berdosa, yang sengaja itulah NERAKA 

Kenapa hal lain tak ambil kira 
umpama tak takut makan riba’, umpama ada harta tak buat umrah 
umpama banyak rezeki tak buat haji, umpama ada harta tak buat zakat fitrah 
umpama ada harta kedekut bersedekah, umpama pakai tudung tangan terdedah 
umpama pakai jubbah ketat nampak lurah 
umpama bermusuh lebih tiga hari, syafaat ISLAM akan lari, nur ISLAM akan pergi menjadi kafir tentu tak nak terjadi 
umpama QURAN berkepuk berdebu, tidak dibuka, tidak dibaca sengaja tak mahu 
umpama solat yang dipersendakan, sekejap buat, sekejap ditinggalkan 
umpama puasa sanggup berlapar, membuka mulut berkata celupar 
umpama mengadu domba suara fitnah, perbuatan mungkar dosa yang amat besar !!! 

Jadi 
bila dah tahu begini, jangan makan cokelat lagi, sehingga sampai waktu, 
pengumuman dari kerajaan dengan cop pengesahan, halal, boleh dimakan...

Sumber: Along

Khamis, 29 Mei 2014

Subhanallah, Alhamdulillah Allahuakbar!

Mural DBP
Subhanallah Alhamdulillah Allahhuakbar 

Kau dengari rintihan kami 
Kau ketahui derita kami 
Kau makbulkan doa kami 
Hanya Kau yang Maha Mengetahui 

Berikanlah kekuatan kepada kami 
Bantulah kami memikul amanah ini 
Permudahkanlah urusan kami 
Hanya Kau yang Maha Memiliki 

Kembalikanlah semangat kami 
Kembalikan kegemilangan organisasi ini 
Kembalikanlah maruah DBP 
Hanya Kau yang Maha Mendengari

TKP DBP


Isnin, 8 April 2013

Puisi Untuk Warga BKDBP

Penulis dan Cdek ketika sama-sama bertugas di bahagian Keselamatan dulu.

Kami warga keselamatan, 
Tiada dimata dihati insan 

Kami warga keselamatan 
Ibarat melukut di tepian gantang 
Apabila penyakit 
Datang tidak diundang 
Tiada warga yang sudi bertandang 
Baik pagi mahupun petang 
Hanya VVIP yang diutamakan 

Kami warga keselamatan 
Setiap bulan membayar yuran 
Kenapa kami dianak tirikan? 
Kami juga ada hati dan perasaan 

Kami warga keselamatan 
Ibarat garam di dalam tempayan 
Harganya murah bukan kepalang 
Tapi amat diperlukan dalam masakkan 
Cuba warga bayangkan? 
Setiap masakan tiada garam 
Siapa yang sudi menjamah makanan? 

Begitulah nasib kami warga keselamatan 
Ketika ada tidak dihargai 
Sesudah mati 
Baru diingati 

Kepada semua warga DBP 
Coretan ini bukan untuk menyakiti 
Hanya melepaskan rasa hati 
Yang telah terbuku sejak dulu lagi 
Dari zaman Dato Hassan hingga Dato Termuzi 
Dan Pengerusi BKDBP bersilih ganti.

Puisi di atas hasil nukilan seorang rakan dari bahagian keselamatan DBP iaitu en. Cdek. En. Cdek sangat kecewa kerana tiada seorang pun wakil dari BKDBP  datang melawat rakannya yang mengalami kemalangan.  En. Cdek pun meluahkan rasa kekecewaan dengan menulis sebuah puisi di facebook. Sebagai mantan bahagian keselamatan, penulis turut terharu apabila membaca puisi tersebut.....

Jumaat, 11 Mei 2012

Hikmah di Sebaliknya


Hikmah Di sebaliknya

Ada kesakitan 
menjerit payah 
menjadi pengajaran 
 sewaktu susah 
terhimpit rapat 
terpaku kaku 
terdiam kalam 
perhatikanlah 
ada rahsia 
di sebaliknya 

ada cahaya 
ada hikmah 
tiba tiba menjelma 
di lipatan 
melimpah anugerah 
kesabaran 
kedamaian 
ketenangan paling indah 
Segala 
syukur alhamdilillah.


Rabu, 13 Julai 2011

Peludah Warna

Penulis bukan mahu bercerita mengenai perhimpunan BERSIH. Tetapi, penulis ingin berkongsi cerita mengenai sasterawan negara, A. Samad Said. Penulis masih ingat pertama kali penulis melihat dan mengenali Pak Samad. Ketika itu penulis bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka. Setiap kali DBP mengadakan majlis rasmi, Pak Samad sering dijemput untuk deklamasikan puisi-puisinya. Apabila Pak Samad membaca puisi atau sajak, penulis adalah salah seorang peminat yang menjadi pendengar setianya.

Foto: Kridet David Photography

Peludah Warna

Kuasa gusar kini menggelegak murka;
warna kuning diisytihar racun terbisa.
Diragutnya baju-T segeram tenaga
dan diumum itulah busana bahaya.

Tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen.
Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam qalbu.

Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.
Memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.

Kerana nikmat amat lama berkuasa,
kuasa pun seolah menjadi hartanya.

A. SAMAD SAID

Melihat foto dan membaca puisi Pak Samad di atas, penulis menitiskan air mata. Walau dalam usia begini Pak Samad tidak berhenti berjuang. Mogok seni beliau tidak terhenti begitu sahaja. Beliau dalam usia begini masih sanggup turun ke jalanan demi memperjuangkan anak bangsa.

Khamis, 30 Jun 2011

Selaut Airmatamu...


Rasa berkecai dadaku
menahan sebak
luruh hanyutkan aku
ke laut hilang
biar mendekat
ke pulau pulau kasih
pengharapan

hanyut aku kesakitan
bersama sedih hati ikan ikan
gelombang menerpa
timbul tenggelam
di celah karang
karangku mereput resah
mengepung selaut air mataku
bergulung garam
pecah

kekasih
tertahan tahan sedih ini
tumpah melimpah
di kolam kolam.

Karya: Gopa

Khamis, 17 Mac 2011

Bubur dan Pasir

Apa yang cuba mereka padamkan
apa yang mereka jualkan
sejarah silam bahasa
wasilah pejuang bangsa
peradaban sastera seni dan budaya
keindahan karya

kemana condongnya peribadi
ahli fikir berwibawa
sehingga begitu payah sekali
batas batas perjuangan ini
meniti tangga
semakin terhimpit sempit
terpinggir
di kotak kotak kolonisma

apa yang cuba mereka angkat
nama dari bakul bakul sendiri
tembok tembok birokrasi
kehebatan intelektual globalisasi
mengaut kepentingan peribadi

apa yang mereka sembunyikan
nasi sudah menjadi bubur
siapa menuding siapa
lihatlah jari jarimu yang hitam
di manakah amanah bangsa
yang kau pegang
di mana lembut janji doa doa
pada Ilahi dulu

lihatlah hari ini
bubur hanya akan menjadi basi
lihatlah betapa derita
anak anak kami
memilih antara bubur dan pasir
yang kau beri.

Sumber: Gopa

Rabu, 21 Julai 2010

Guru Pelengkap Kesempurnaan


Pada tangannya
tercorak warna
inspirasi akan datang
kebangkitan para cendikiawan
pelbagai bidang ilmuan
peneroka zaman
jati diri
selaras berkembangnya
teknologi perubahan
waktu

jauh di pendalaman
bersama jerit perih kesakitan
berbagai halangan
dilatihnya diri
dengan kesabaran
buat anak bangsa
menjadi insan berguna
untuk masa depan
garis sempadan

guru
kau titipkan segala ilmu
bekalan hidup penuh berliku
kepandaian
rahsia alam muslihat insan
ilmu agama ilmu dunia
tidak jemu kau tebarkan
dengan ikhlas seputih hati
kau susuli perjalanan
bersama serangkai pesan
bunga bunga harapan
cinta kasih

tidak perlu sanjungan
untuk pedoman
jadi panduan
sekepal doa kau panjatkan
melimpah penuh keberkatan
hanya kejayaan

guru
bersyukur aku kerana kamu
telah membetulkan jalanku
lalu di sinilah rintis laluanku
mencari kesempurnaan.

Isnin, 19 Julai 2010

Jejak Kasih...

Penulis dan rakan-rakan sekelas bergambar kenangan bersama Cikgu Tuah di rumahnya.

Keputusan SRP
telah membawa aku keluar
dari keserasian di SMSL
dengan berat hati,
aku ke SMV Kelang.

Dengan kerelaan hati
aku mengisi borang
dan aku juga yang meminta
ditempatkan di luar daerah Sabak Bernam
walau jauh di sudut hati,
aku tidak mahu pergi jauh....

Dan di SMVK,
aku tergolong dalam pelajar sederhana.
Akibatnya, aku tenggelam dalam khalayak.
Kerana hanya pelajar nakal sahaja
yang menjadi perhatian rakan rakan dan guru guru
sekaligus juga berpotensi tinggi
untuk dikenang dan diingati.

Kisah panjang tetapi dipendekkan,
aku akhirnya meninggalkan SMV Kelang
dengan keputusan SPVM yang sederhana
seterusnya membelanjakan usiaku
di ibu kota selama beberapa tahun
sebelum kembali semua
ke pangkuan negeri kelahiran.

Tetapi hari ini
walau terasa berat kaki ini.
aku teruskan juga.
dengan program jejak kasih
kami ke daerah Jasin
untuk menuju ke rumah salah seorang guruku
yang pernah mengajar erti kehidupan.

Cikgu Tuah, guru kelas yang aku kenali.
Fikir aku, cikgu telah lupa siapa aku.
Namun aku tersenyum
bila mana cikgu masih ingat akan aku
bukan kerana aku pelajar yang terbaik
tetapi kerana kenakalan aku dulu

Rupa-rupa cikgu masih kenal
siapa aku.

Ironik.

Namun aku bangga.
Kerana dapat juga
aku jejak semula memori lama.
Kerananya aku kenal SPVM
dan dia yang membantu
mewarnai lembaran hidup ini

Isnin, 12 Julai 2010

Kembaraku

Kembara 1

Wahai guru....
ingatkah dikau padanya aku?
kau umpama sang ratu kalkatu
punyai ribuan murid pada hayatmu
sedangkan aku hanya anai-anai pekerja
tidak mungkin lupa
padanya “Ratu” yang ada hanya satu.

Kembara 2

Riwayatku...
anak nakal dari daerah Sabak Bernam
mungkin kerana singkatnya masa
menatap dan menghayati kasih ayah bonda
pilu hati mengenang nasib diri
mungkin kerana nakalku padamu guru
lantas ku disisihkan
dari merisik puteri daun teh di puncak Cameron Higland
sayu dan tersayat hati remajaku
tertanya juga mengapa?
lantas roda bas pun berputar
meninggalkan puing-puing debu
disudut hatiku...

Kembara 3

Putaran turbin enjin burung besi
itu biasa bagiku
ku punya rombonganku sendiri
luar negara saban masa ku kunjungi
merisik si mata biru, hazel dan coklat
ku tersenyum sendiri
terima kasih guru
kau mengajarku
berdiri atas kaki sendiri

Jumaat, 26 September 2008

Selamat Hari Raya Aidifitri

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Di hari mulia hari raya
ku pohon kemaafan 
dari jauh di kampung Ampang Tasek
semoga engkau mendengarnya
dan terus bahagia
bersama keluarga
yang tercinta

Hari ini hari mulia
aku masih teringat padamu
segala kenangan lalu
sewaktu bersama
telah engkau tinggalkan
bersamaku begitu banyak
keindahan kota

Aku rindukan daerah hijau
kecilku yang dulu
batas bendang
burung-burung pagi
berlari dalam letupan
mercun dan bunga api.

Puisi ini hasil nukilan saudara Gopa yang ditujukan khas kepada saya sempena menyambut Aidilfitri tahun ini. Mulai esok saya akan bercuti selama seminggu dan ini bermakna blogs inipun turut sama bercuti. Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf, Zahir Batin kepada semua yang mengunjungi blogsku ini.

Rabu, 24 September 2008

Rumah Pusaka di Aidilfitri


Foto keluarga pada awal tahun 70an.


Rumah Pusaka di Aidilfiri

Aidilfiri akan menjelma lagi
namum rumah ini sunyi dan sepi
kemeriahan telah berlalu pergi
perginya belum pasti kembali lagi
kita membesar di rumah ini...
kita bermain di rumah ini...
kita bergurau senda di rumah ini
namun itu hanya tinggal memori
memori yang sukar dilupai
namun aku masih lagi di sini
meniti hari-hari yang tidak pasti
terlanjur bicara diantara kami
jangan disimpan di dalam hati
semoga aidifitri ini
menyatukan kita kembali
di rumah pusaka ini
akhir sekali
ku ucapkan selamat aidilfitri
semoga kalian diberkati.

Nukilan ini dihasil oleh isteri ZulDean, selepas beberapa tahun arwah bapanya meninggal dunia.

Sabtu, 9 Ogos 2008

Puisi Buat Seorang Sahabat


LUKISAN TERSEMBUNYI
-Puisi Buat Seorang Sahabat Bob...

Bob,
Meskipun hidupmu
tidak henti diterjah duka
dikunyah derita
kehilangan, kesunyian
ia menjadi suatu yang tiada nilainya
demi kesabaran
kau boleh tersenyum sendiri
dan menghiburkan kami
dengan telatah senda guraumu

Bob,
Perjalanan ini
sebenarnya adalah
sesuatu yang sukar dimengerti
ketentuan takdir
adalah sesuatu yang seni
lakaran berliku-liku
bagai lukisan
penuh warna
tetapi tetap berakhir dengan keindahan
jika kau sudah mengerti
kenapa ia terjadi

Kita akan terus melukis
di seluruh rimba ini
mencarinya dengan hati
lukisan tersembunyi...

Puisi ini ditulis dengan puitis oleh rakan sepejabat iaitu saudara GOPA atau Abd. Ghaffar Bahari.