Cik Hasnira melukis Jalur Gemilang dimuka Ivy
Perjalanan hari ini bermula agak lewat sedikit berbanding sebelumnya, terima kasih kepada pengerusi yang sudi memberi kami rehat yang secukupnya. Hampir 10 pagi kami bergerak ke pusat membeli belah terbesar di Korat, The Mall yang juga gelanggang acara sepak takraw yang mana pasukan Malaysia telah menarik diri.
The Mall penuh dengan manusia pelbagai bangsa, rupa dan usia yang mungkin jarang disaksikan jika tidak berlangsungnya Sukan Sea Korat ini. Penulis sangat setuju dengan langkah Thailand yang memberikan hak penganjuran ini kepada wilayah Nakhon Ratchasima ataupun Korat kerana ia dapat memberikan pendedahan dan peluang menonton secara langsung kepada penduduk Korat aksi sukan bertaraf tinggi. Sebelum ini peluang sebegini diberikan kepada bandar Chiangmai pada tahun 1995. Penulis berharap kerajaan Malaysia dapat melakukan hal yang sama di masa akan datang kerana langkah seperti ini dapat menyemarakkan minat dan semangat sukan di seluruh pelusuk negara.
Kami diberikan masa sehingga pukul 12.45 tengahari dan kesempatan ini penulis gunakan untuk melayari internet secara percuma di pejabat Pelancungan Thailand sebelum menikmati makan tengahari di medan selera bersama Encik Ahmad Siam, Encik Izuan, Encik Jason Tiang dan Encik Lee Hui Seng.
Kami tiba di Stadium Utama untuk menyaksikan acara olahraga sekitar pukul 1.15 petang dan diberikan masa selama sejam lagi untuk membeli belah atau nama lainnya aktiviti bebas. Penulis tidak melepaskan ini untuk membeli cendera hati untuk kawan-kawan tetapi malangnya gagal untuk mendapatkan walau sehelaipun t-shirt untuk diri sendiri dek kerana ketiadaan saiz baju yang sesuai.
Sempat menonton aksi tenis yang melibatkan pemain dari Filipina dan Vietnam sebelum meninjau-ninjau pasar yang terdapat di bahagian belakang. Suasana tidaklah begitu meriah berbanding semasa di Manila 2005 dan cuaca panas membahang cepat meletikan diri penulis.
Tepat 2.15 petang kami masuk ke stadium dan seperti kebiasaan, kami membuat kecoh dengan alunan kompang yang lantang dan bunyi hon yang membingitkan berselang-seli. namun begitu penonton-penonton di Korat amat peramah dan seperti teruja apabila dapat melihat orang luar serta turut terhibur dengan gelagat kami. Satu benda yang penulis perhatikan adalah ketiadaan mata-mata yang menjeling liar terhadap wanita seperti mana yang sering terjadi di stadium di Malaysia. Dengan lain kata penduduk Korat amat sopan dan menghormati orang lain.
Di stadium Utama ini kami sempat menyaksikan beberapa acara seperti lompat kijang wanita di mana Ng Siew Mei, pemenang pingat emas edisi terdahulu terlepas kilauan emas kepada atlit Filipina di aksi lompatan terakhir. Wajah sugul Siew Mei tidak dapat disembunyikan walaupun kami memberikan slogan-slogan motivasi untuk beliau supaya tidak terasa terlalu kecewa. Kami pada mulanya seperti sudah yakin pingat emas akan digengam beliau apabila diberitahu rekod kejohanan telah dipecahkan Siew Mei sebaik sahaja memasuki stadium. Acara lain yang melibatkan negara dan memberikan berita duka adalah acara 1500 meter menerusi V. Mahnedran yang hanya berpuas hati dengan pingat perak setelah dipintas beberapa meter sebelum garisan penamat oleh pelari dari Vietnam. sebagai rekod, Malaysia sering menguasi acara ini brmula dengan M. Ramachanran dan diteruskan oleh A. Munusamy sebelum kita kekosongan atlit yang berkemampuan buat seketika. Berdasarkan kenyataan-kenyataan di dalam media sebelum ini, acara ini merupakan salah satu prospek emas malah diarahkan oleh jurulatih, Hanafiah Nasir untuk tidak beraksi di dalam acara 800 meter untuk memastikan emas di dalam acara ini. Tetapi apa boleh buat nasib tidak menyebelahi beliau dan jangan patah semangat hanya kerana kekalahan ini. Mudah kata, tiada peluang menyanyikan lagu kebangsaan di stadium hari ini.
Setelah semua acara kecuali heptatlon berakhir, kami bergerak ke valodrom lumba basikal yang terletak bersebelahan untuk memastikan dua emas lagi berada di tangan Malaysia. Setiba di velodrom, suasana berubah seperti biasa dan ketibaan kami tepat pada masanya apabila upacara penyampaian hadiah untuk acara pecut berpasukan lelaki akan dilangsungkan dan peluang ini digunakan sebaiknya untuk mendendangkan lagu Negaraku dengan kuat dan bersemangat. walau begitu, dua aksi akhir yang berlangsung kemudian tidak memberi khabar gembira apabila kedua-duanya tewas dan ditambah lagi dengan sikap Menteri Belia dan Sukan, Azalina Othman yang enggan turun berjumpa kami dan sikap sombong Presiden MNCF, Naim yang membuatkan beberapa individu di dalam Famemas naik angin.
Tamat aksi yang melibatkan negara di valodrom, kami bergegas ke gelanggang akuatik untuk memastikan Malaysia boleh menambah sekurang-kurangnya dua lagi pingat emas dan sebagai balasan perenang negara berjaya berbuat demikian menerusi acara 50 meter dan 200 meter gaya bebas, terima kasih Chui Lan dan Daniel Bego yang memberikan kami dua peluang untuk berkaraoke lagu yang sangat petriotik di stadium. Suasana di gelanggang akuatik bertambah meriah dengan kehadiran kami dan aksi-aksi 'ombak Maxico' berjaya dilakukan dengan kerjasama penonton-penonton dan pasukan sorak Thailand. seperti semalam, kami di Famemas masih tetap dengan pendirian kami untuk menyuruh penonton senyap tatkala nama Singapura disebutkan dan walaupun ia memperlihatkan sikap tidak professional, tindakan ini terpaksa dilakukan apabila melihat telatah-telatah angkuh dan sombong beberapa pegawai dan penyokong dari singapura. Itu tidak lagi termasuk polisi mengimport atlit dari negara China yang menyebabkan mereka memungut banyak pingat emas tidak seperti sebelumnya.
Famemas bergambar kenangan dengan pegawai olahraga Malaysia di Stadium Utama Korat.
Habis di gelanggang akuatik tugas kami untuk menyorakpun berakhir dan hari ini juga adalah hari terakhir pemandu pelancung kami yang sangat baik hati, Ying melakukan tugasnya untuk kami dan akan digantikan dengan seorang lagi pemandu pelancung. Dalam perjalanan pulang kami dan Ying bertukar-tukar lagu perpisahan dengan Ying dan beberapa wakil kami menyanyikan lagu khas untuk dalam pelbagai bahasa dari Tamil, Cina, Jepun English, Thai dan dialek Kelantan. Suasana sedih walaupun tetap ceria menyelubungi kami, tetapi apa boleh buat, bertemu dan berpisah adalah sesuatu yang sentiasa akan dilalui.
Semasa makan malam, sessi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap menteri serta sesiapa sahaja baik peminpin persatuan sukan atau pegawai-pegawai yang bersikap sombong dan angkuh diadakan di hadapan wakil-wakil media yang mengikut kami.
1 ulasan:
Amvoii...
Berjalan-jalan jer ekk.
Tak ajak gua lak tuh.
:\
Catat Ulasan