Semalam, penulis bersama anak berkunjung ke Zoo Negara. Setelah menyaksikan landkap dan gelagat haiwan-haiwan di situ, penulis amat bersetuju dengan pandangan beberapa pengunjung yang lain mengenai hak untuk mempertahankan kedudukan Zoo Negara di Hulu Klang yang berhampiran dengan bandar raya Kuala Lumpur kerana ia merupakan salah satu destinasi popular pelancong.
Anak penulis sebelum memasuki Zoo Negara.
Semasa berkerja di Muzium Negara dahulu, penulis juga sering mengesyorkan kepada para pelancong tempatan dan asing berkunjung ke Zoo Negara. Malangnya, Zoo Negara sekarang sudah banyak berubah dibandingkan keadaannya dahulu. Ketika melawat ke Zoo Negara 10 tahun yang lalu, penulis masih ingat betapa kita seolah-olah berada di kawasan habitat sebenar haiwan.
Ketika berkunjung lagi, penulis cukup terkejut kerana habitat haiwan yang terdapat di dalam Zoo Negara dibiarkan usang dan tidak diselenggara dengan baik. Malahan ada sangkar dan juga akuarium yang kosong tanpa haiwan. Suasana semula jadi di sekitar Zoo Negara juga semakin hilang hilang kerana pembangunan. Bagi pandangan penulis, apa yang ada sekarang tidak layak lagi berstatus Zoo Negara.
Beberapa tahun yang lalu, penulis telah melawat Zoo Taiping dan Zoo Melaka. Penulis berasa cukup kagum dengan keadaan kedua-dua zoo tersebut. Suasananya mesra alam dan nyaman. Jika dibandingkan dengan Zoo Negara, secara jujur penulis boleh katakan bahawa kedua-dua zoo tersebut adalah lebih baik.
Sebagai rakyat Malaysia yang menetap di Lembah Kelang, penulis cukup kecewa dengan keadaan ini. Tidak dinafikan bahawa kedudukan Zoo Negara di kawasan pembangunan yang pesat merupakan salah satu faktor berlakunya perubahan suhu dan kedudukan geografinya yang kurang sesuai. Namun penulis tidak boleh mengelak daripada bertanggapan bahawa faktor pengurusan dan masalah dalaman juga turut menyumbang kepada kemerosotan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan