Jumaat, 29 Ogos 2008

Kedinginan Kota Alexandria, Egypt


Penulis baru tiba di Kota Alexandria

Kami tiba di bandar Alexandria sudah hampir senja. Bandar Alexandria terletak di utara Egypt yang mana kebanyakkan penduduknya berkulit cerah seperti bangsa Eropah. Tidak seperti di Cairo, penduduknya berkulit gelap Arab-Afrika. Kota ini menjadi tumpuan penduduk Egypt kerana kedudukannya berhadapan Laut Mediterranean selain cuacanya sekitar 17 darjah selsius. Kami menginap di hotel yang mengadap Laut Mediterranean. Melalui tingkap, sempat juga aku menikmati pemandangan indah apabila apabila melihat matahari terbenam di Laut Mediterranean. selepas makan malam di hotel, kami menaiki teksi ke Bazar Khalid Al-Walid Street yang jaraknya sejauh sepuluh kilometer dari hotel kami.


Penulis di taman di Istana Montaza

Kecut perut juga dibuatnya kerana teksi yang kami naiki dipandu dengan sangat laju. Kami seolah-olah sedang menaiki kereta F1 di Sepang. Dengan kelajuan tersebut, sekejap sahaja kami sampai di Bazaar Khalid Al-Walid. Di bazaar terebut, sempat lagi kami bershopping barangan cenderamata dan menikmati kopi panas di cafe yang bercuaca amat dingin.


Penulis berlatar belakangkan Citadel of Qaitbay

Keesokkan harinya kami ke Istana Montaza yang merupakan bekas kediaman pentadbir-pentadbir Egypt dari keturunan Muhammad Hilmi Pasha. Istana ini siap dibina pada tahun 1892 sewaktu Egypt di bawah pentadbiran Abbas Hilmi Pasha. Ianya dikelilingi oleh sebuah taman yang amat luas  dan terletak dipinggiran Laut Mediterranean. Di dalam taman tersebut terdapat juga sebuah kebun kurma yang luas. Kami yang jarang dapat melihat kebun pokok kurma seluas itu menjadi kagum. Lantas, kami terus mengeluarkan kamera dan bergambar dengan pokok-pokok kurma tersebut. 


Penulis bersama awekz  Arab di tembok Citadel of Qaitbay

Selepas puas bergambar di kebun kurma, kami ke Citadel of Qaitbay yang merupakan sebuah kubu yang dibina pada tahun 1477 sewaktu pemerintahan raja kerajaan Mamluk yang bernama Al-Ashraf Sayf Al-Din Qa'it Bay. untuk masuk ke dalam kubu ini, kami perlu membeli teket yang harganya agak berpatutan. Kubu ini meliputi kawasan yang sangat luas dan terletak di pinggiran Laut Mediterranean. Di dalamnya terdapat sebuah bekas masjid yang dipercayai sebagai masjid yang tertua di Iskandariah. Dari atas kubu ini, panorama Kota Iskandariah yang indah dapat dinikmati. Subhanallah, kami menghabiskan masa hampir sejam di dalam kubu tersebut,


Penulis berada di tengah-tengah Kota Alexandria

Citadel of Qaitbay ini sebenarnya dikatakan dibina di atas tapak runtuhan sebuah rumah api yang bernama Pharos of Alexandria. Rumah api yang mulai dibina pada kurun ke 3 sebelum masehi sewaktu pemerintahan Ptolmy 1 tersebutmerupakan rumah api yang pertama dibina di dunia. Ianya adalah salah satu daripada 7 kejaiban Dunia Purba. rumah api tersebut malangnya sudah tidak lagi wujud pada masa kini. Ianya dikatakan telah runtuh akibat kejadian gempa bumi yang berlaku antara tahun 1303 & 1304. Batu-batu daripada runtuhan rumah api tersebut kemudiannya dikatakan telah digunakan untuk pembinaan Citadel of Qaitbay pada tahun 1477.


Penulis berada di stesen keretapi Alexandria 

Selepas puas bergambar di Citadel of Qaitbay, kami singgah sebentar di sebuah restoran untuk makan tengahari dan membeli makanan bagi mengisi perut apabila berada di dalam keretapi nanti. Selepas makan tengahari, kami ke stesen keratapi Alexandria untuk meneruskan perjalanan ke Luxor pada jam tiga petang.

Bersambung...

1 ulasan:

Denanz ... berkata...

wah ... bukan main sopan begambo ngan awekz arab. kalo ngan omputih bepeluk sakan.