Selasa, 28 Oktober 2008

Keindahan Pulau Perhentian



Perhentian janji kedamaian dan pesona alam

Pantai timur semenanjung Malaysia menjanjikan kelainan baik dari segi aspek budaya, juadah tempatan mahu pun destinasi percutian. Selain pemandangan memukau diiringi bayu Laut China Selatan yang mendamai jiwa, negeri pantai timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang punya tarikkan tersendiri.

Terengganu yang terkenal dengan resepi makanan dan kebudayaan sering menjadi destinasi pilihan utama bagi pelancung asing. Bagai tidak lengkap percutian di negeri bertuah ini andai tidak mencuri masa bersantai di pantai mahupun di pulau peranginannya.

Pulau yang diiktiraf antara yang tercantik di dunia itu menjadi pilihan kerana pemandangan serta terumbu karang yang menampilkan keunikkan tersendiri, selain spesies ikan pelbagai warna viriasi.

Menaiki bas dari Kuala Lumpur, perjalanan menyusuri lebuhraya mengambil masa lebih kurang lapan jam sebelum tiba di bandar Kuala Besut. Panorama indah dengan pohon kelapa melambai-lambai mencuri perhatian sepanjang perjalanan.

Jumaat

8. malam: Aku dan rakan-rakan sepejabat menaiki bas di Hulu Klang menuju ke Kuala Besut. Kami tidur sepanjang perjalanan. Kami tiba di Kuala Besut keesokan paginya.

Sabtu

7 pagi: Selesai membuat pemeriksaan terakhir barangan keperluan yang hendak dibawa, kami berserapan pagi di pertengahan perjalanan ke kuala Besut. Perjalanan dengan bas menyusuri jalan tepi pantai lebih mudah dan menyeronokkan. Bagaikan pantas masa berlalu, sejam lebih perjalanan berlalu begitu pantas.

10 pagi: Tiba di pekan Kuala Besut, terbentang jeti untuk ke Pulau Perhentian. Pelancung tidak akan sesat kerana banyak papan tanda arah boleh dijadikan panduan untuk ke jeti Pualau Perhentian. Kami berehat sebentar sebelum menaiki bot.


11 pagi: Bot laju yang membawa kumpulan pelancung sedia membawa penumpang pengembara di syurga percutian mengagumkan. Tidak sabar rasanya untuk memulakan pengembaraan di pulau terkenal itu, sekali gus menyelami khazanah alam semula jadi yang terus kekal terpelihara.

12 tengahari: Bagaikan sebuah dunia asing, begitulah yang dirasai setibanya di Pulau Perhentian. Kami yang memilih menginap di Perhentian Islands Resort disambut mesra bagaikan anggota keluarga sendiri. Kami rasa diri dihargai!...


2 petang: Inilah masanya untuk menyelami nadi di Pulau Perhentian. Menyaksikan aktiviti petang bagaikan sesuatu kemestian di pulau ini. Pelancung juga boleh bermain bola sepak dan bola tampar pantai dengan penduduk tempatan. Mereka cukup mesra. Puas menyusuri laluan di gigi air, aku termenung seketika sambil sambil menyaksikan detik matahari terbenam.

8 malam: Selesai membersihkan diri, sajian makan malam menanti tetamu di Perhentian Island Resort. Istimewanya, pelancung disajikan dengan menu masakan tempatan serta makanan laut segar yang menjadi identiti sajian makanan di Pulau Perhentian. Menariknya, malam itu ada juga pasangan baru berkahwin sedang di raihkan di tepi pantai. Romantisnya suasana. Malam nyata masih muda, pelancung boleh mendapat hiburan malam di sekitar pantai Pulau Perhentian sambil menari mengikut irama lagu.

11 malam: Kami bergambar dan menyaksikan Siti Nurhaliza menyanyi bersama keluarganya yang kebetulan mengadakan majlis keluarganya di hotel kami menginap.

1 pagi. Kami keletihan dan masuk tidur di bilik masing-masing.

Ahad

6.00 pagi: Selesai solat subuh, tidak terasa hendak menyambung tidur. Kami menghayati panorama fajar menyingsing di pantai. Bukan sahaja suasananya jauh lebih berbeza, tetapi udara pagi terasa begitu nyaman sekali. Apatah lagi menyaksikan detik matahari terbit dari timur. Indahnya suasana sukar digambarkan dengan kata-kata.

8.30 pagi: Kata orang, tidak lengkap percutian ke Pulau Perhentian jika tidak menyertai aktiviti snorkeling. Di Pulau Perhentian terdapat beberapa lokasi menarik untuk aktiviti snorkeling dengan keindahan terumbu karang unik serta spesies ikan berwarna-warni. Dengan pakej serendah rm30, memang puas menjelajah keindahan panorama indah dasar laut.

4.00 petang: Puas menyelam, baru terasa letih. Kami pulang ke hotel dan berehat.

5.00 petang: Kami menyaksikan kembali aktiviti petang di pulau ini. Seperti petang semalam ada diantara kami yang bermain bola sepak dan bola tampar bersama penduduk kampung dan ada juga diantara kami yang berjalan kaki menyusuri pantai pulau ini.

8.00 malam: Selesai solat Magrib, sajian makan malam sedia menanti kami. seperti semalam kami disajikan dengan menu masakan tempatan serta masakan laut segar. 

9.00 malam: Kami berkaroeke hingga ke pagi.

Isnin

7.00 pagi: Sebenarnya hati seakan berat untuk pulang. Terasa mahu menghabiskan masa sekurang-kurangnya dua atau tiga hari lagi . namun apakan daya waktu cuti yang terhad seakan mencemburui kami. Kami terpaksa bergegas mengemas untuk check out dan menuju ke jeti.

8.00 pagi: Perjalanan dengan bot laju mengambil masa selama 45 minit untuk ke jeti Kuala Besut. Berhenti seketika untuk berehat, perjalanan diteruskan untuk kembali ke Kuala Lumpur.

10 pagi: Terasa puas dengan percutian singkat di Pulau Perhentian. Dalam hati, tertanam azam untuk bercuti lebih lama di Pulau berkenaan, sekali gus membiarkan perasaan dibuai dengan bayu pantai Laut China Selatan.

Tiada ulasan: