Sudah banyak negara dan tempat menarik yang telah dilawati. Semuanya telahpun penulis ceritakan. Tetapi, tempat kelahiran penulis sendiri sebaliknya. Mungkin penulis terlupa atau terlepas perhatian?. Ok lah, Kali ini penulis akan menceritakan sedikit sebanyak mengenai Sungai Besar. Mungkin hanya sebilangan rakyat negara ini tidak sangka tempat ini wujud di peta Malaysia. Kebanyakkan kenalan penulis, berasa agak baru dengan tempat yang bernama Sungai Besar ini.
Pekan Sungai Besar. Foto ehsan dari En. Syafiq.
Walaubagaimanapun penulis tidak salahkan mereka, kerana Sungai Besar itu sendiri merupakan kawasan yang agak “hujung” di peta negeri Selangor. Tetapi penulis percaya sekiranya nama “Sungai Besar” di carian Google pasti akan mengeluarkan sekurang-kurangnya 10 keputusan carian bahkan di Wikipediapun. Sungai Besar ini merupakan sebuah pekan kecil yang terletak di daerah Sabak Bernam yang mana daerah ini terletak di kawasan utara Negeri Selangor iaitu bersempadan dengan negeri Perak.
Dahulu parit ini dikatakan sungai yang besar. Foto ehsan dari En. Syafiq.
Menurut cerita daripada orang tua-tua, dahulu pekan ini terdapat satu sungai yang besar dan merupakan sumber keperluan bagi penduduk di sini. Sebesar mana sungai tersebut tidak pula penulis ketahui kerana mereka tidak merakamkan foto untuk tatapan jenerasi sekarang. Mungkin ketika itu, tiada kemudahan kamera lagi.
Jadi, dari itulah nama Sungai Besar ini didapati iaitu dari Sungai yang besar. Tetapi pada hari ini mustahil atau misteri untuk menemukan sungai besar yang dikatakan itu. Di pekan ini kerana apa yang penulis temui hanyalah parit yang besar ataupun longkang yang besar.
Kawasan Sungai Besar ini terdiri daripada beberapa kawasan yang unik iaitu seperti sawah padi, kebun kelapa, bagan (pelabuhan nelayan), paya bakau dan pekan. Ia agak unik sehingga diakui oleh rakan penulis sendiri yang datang melawat. Beliau merasakan bahawa pekan ini seperti “rojak”. Rata-rata penduduk disini adalah berbilang kaum dimana terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Tetapi sejak kebelakangan ini, Sungai Besar sering dikunjungi oleh pendatang asing seperti warga Pakistan, Bangladesh, Indonesia, Vietnam dan Myanmar. Menambahkan lagi warna-warni kaum di sini.
Manakala kaum melayu di sini pula terdiri daripada dua kaum besar iaitu Jawa dan Banjar. Dua kaum ini gemar tinggal berkelompok. Namun begitu mereka tetap serumpun walaupun cara komunikasi adalah berbeza. Jika kaum Jawa bertutur di dalam nahu Jawa, orang Banjar juga boleh memahaminya. Begitu juga sebaliknya. Apa yang menarik, ada juga dikalangan kaum Cina yang boleh bertutur bahasa Jawa ataupun Banjar dengan baik. Namun begitu, penulis lebih gemar mengunakan kedua-kedua bahasa ini, walaupun penulis lebih dikategorikan sebagai Banjar Alai.
Demikian Sedikit sebanyak mengenai Sungai Besar. Kampung kelahiran penulis, tempat penulis membesar sehingga sekolah menengah. Walaupun ia seperti nampak kekampungan, tetapi bagi penulis, ia adalah kampung yang nyaman, tenang dan menarik ~ seperti Ampang Tasek.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan