Entry kali ini masih lagi mengenai Sungai Besar. Kali ini penulis hendak berceritakan pengalaman menonton wayang di pawagam Happy yang terletak di tengah-tengah pekan Sungai Besar.
Teket panggung wayang Happy.
Sejak dari kecil lagi penulis gemar menonton wayang gambar di pawagam. Seingat penulis, di zaman kanak-kanak lagi telah didedahkan menonton wayang di Pekan Sungai Besar. Penulis berpeluang menonton wayang bukan selalu cuma sekali-sekala sahaja dalam setahun. Itupun di musim perayaan yang ada menayangkan filem melayu sahaja.
Setiap tahun, apabila tibanya hari raya, keluarga penulis pasti akan membawa kami menonton filem melayu di panggung Happy di Sungai Besar.
Panggung wayang Happy Sungai Besar. Foto ehsan En. Syafiq.
Panggung ini sentiasa dikunjungi terutama ketika tayangan filem melayu dan filem hindustan. Seingat penulis, para penonton amat susah hendak membeli teket. Ruang kuanter teket amat kecil. Hanya memuatkan satu tangan orang dewasa sahaja. Manakala para penonton berebut-rebut membeli teket. Penulispun hairan bagaimana kakak boleh mendapatkan teket dengan begitu mudah. Mungkin ada seseorang yang membantunya kot!.
Dahulu pawagam ini sentiasa dikunjungi pengunjung. Foto ehsan En. Shafiq.
Panggung ini yang boleh memuatkan 200 penonton dalam satu-satu masa hanya berkerusikan kayu dan berkipas siling. Apabila sudah penuh, ada penonton yang duduk dikali lima sahaja. Namun begitu penonton masih lagi selesa dengan suasana yang penuh sesak, panas dan ganguan bunyi bising dari kipas siling.
Kini pawagam ini menjadi bangunan tinggal. Foto ehsan En. Shafiq.
Ketika menonton, lain pula ceritanya. Suasana menjadi riuh rendah apabila tayangan terhenti/tergendala dipertengahan cerita, pasti penonton akan bersorak dan membuat bising dengan hentakan kerusi kayu yang boleh dilipat itu. Dulu, tayangan filem akan tergendala di pertengahan cerita. Mungkin ketika itu petugas panggung sedang menukarkan sambungan filem kedua.
Apabila bersekolah menengah, penulis sudah pandai pergi sendiri menonton wayang dengan menaiki bas ke pekan Sungai Besar. Jika bukan di musim perayaan, panggung Happy ini selalunya menayangkan filem-filem kungfu dari Hongkong. Kali terakhir penulis menonton di panggung wayang Happy ini pada tahun 1983. Ketika itu penulis menonton filem “Azura” lakonan Jamal Abdillah dan Fauziah Ahmad Daud.
Pada tahun 1985 ketika bersekolah asrama di Kelang, panggung wayang Happy ini telah bertukar kepada kedai perabut dan tempat permainan snooker dan kemudian di biarkan kosong. Sekarang, penulis difahamkan bangunan panggung wayang tinggal ini ada orang menjaganya dan menjadikannya sebagai tempat kediaman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan