Selamat berhari Raya Aidiladha dan menjalankan ibadah korban. Jika kita tidak membuat korbanpun, sama-samalah kita membantu dan menyaksikan ibadah korban yang dibuat di kariah kita. Setiap yang menyaksikan ibadah korban itu pasti ada ganjaran pahalanya.
Bukan mudah menumbangkan seekor lembu.
Laungan takbir bergema selama beberapa hari ini di masjid, surau dan di rumah-rumah. Sama-samalah kita bertakbir untuk memuji kebesaran Allah.
Hari Sabtu lepas, penulis berkesempatan menyaksikan dan membantu merakamkan gambar rakan-rakan sedang menumbangkan lima ekor lembu di Surau Baitul Ehsan, Ampang Tasik, Ampang. Bukan senang hendak menundukkan lembu-lembu ini. Untuk tarik sebelah kaki, memerlukan lima orang dewasa memegang talinya. Terasa seperti terlucut lengan dibuatnya. Tetapi apabila setelah ditumbangkan, mudah sahaja Saudara Didi menyembelih untuk menyempurnakan ibadah korban ini.
Laungan takbir Saudara Didi sebelum menyembelih lembu tersebut membuatkan hati penulis rasa tersentuh. Betapa besarnya dan agungnya pencipta kita. Seharian kami menguruskan daging-daging lembu ini. Bahagian paling letih sekali apabila hendak membasuh perut lembu. Kami dikehendaki membuang sisa makanan didalamnya sehingga baunya hilang. Yang pasti, tangan kami berbau harumlah.
Semoga sama-samalah kita mendapat apa yang sepatutnya di Hari Raya Korban kali ni. Selamat hari raya. Maaf zahir batin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan