Selasa, 22 Jun 2010

Stress


Sama ada kita sedar atau tidak dunia pekerjaan memang memberikan pengaruh yang cukup terkesan dalam kehidupan. Apa tidaknya, satu pertiga daripada kehidupan seharian diluangkan di tempat kerja. Antara kita ada yang memandang remeh dengan stress, menyebabkan perkara ini dibiarkan berlarutan tanpa langkah pencegahan dan rawatan.

Di dalam entry kali ini, penulis ingin berkongsi artikel yang ditulis oleh saudara Khairunneezam Mohd Noor daripada Utusan Malaysia mengenai menangani stress atau tekanan cara Islam.

Tekanan disebabkan pekerjaan merupakan interaksi kompleks di antara persekitaran di tempat kerja, personaliti dan reaksi tubuh badan dan mental seseorang. Persekitaran pekerjaan memberikan desakan dan tekanan tertentu yang merangsang tindak balas individu secara mental dan fizikal.

Tugas yang terlalu banyak, hubungan dengan rakan sekerja yang tidak baik, ketua yang suka marah-marah dan suasana kerja yang tidak selesa adalah contoh persekitaran kerja yang memberi tekanan negatif. Tekanan ini seterusnya memberi impak terhadap kesihatan psikologi dan fisiologi seseorang individu sekiranya ia tidak ditadbir dan tidak dikawal dengan metodologi yang tepat.

Banyak implikasi negatif berlaku apabila seseorang tidak dapat mengawal tekanan kerjanya. Panas baran, murung, gelisah, kelesuan, sentiasa rasa bersalah, ketakutan, dan hilang tumpuan adalah antara kesannya.

Kadang kala, ada dalam kalangan kita yang mencari jalan singkat dan salah dalam mengatasi tekanan seperti ponteng kerja, melakukan masalah disiplin di tempat kerja, merokok, meminum arak dan sebagainya.

Berlaku juga kes-kes di mana individu yang tertekan di tempat kerja melepaskan tekanan di rumah yang mewujudkan pula masalah rumahtangga seperti pertengkaran dengan pasangan hidup, mendera anak, dan sebagainya.

Sebagai seorang Muslim, kita perlu sedar bahawa kaedah terbaik menangani tekanan kerja sebegini adalah dengan berpegang erat kepada ajaran dan syariat Islam.

Islam telah menetapkan bahawa seseorang yang menghadapi tekanan dan kesusahan perlulah bersabar, tenang, sentiasa rasional dan yakin dengan ketentuan Allah SWT

1 ulasan:

neezam berkata...

salam. terima kasih kerana sudi berkongsikan artikel ini untuk tatapan pengunjung blog saudara.

Wassalam,
Khairunneezam