Semasa penulis dan rakan-rakan ditugaskan mengambil gambar sawah padi tempohari, penulis begitu teruja kerana suasana di kampung Sawah Sempadan, Tanjung Karang ini adalah sama seperti di kampung penulis. Kampung penulis di Sabak Bernam pun di kelilingi sawah padi juga. Sememangnya daerah Sabak Bernam dan Tanjung Karang adalah berjiran. Budaya dan suasananya juga adalah sama.
Sudah sampai pekan Tanjong Karang.
Penulis merupakan anak seorang pesawah padi. Penulis sangat bangga kerana membesar di dalam lumpur dan bermain dengan pacat dan lintah. Dahulu kulit penulis hitam, lebih hitam dari kena ‘sun burn’ di tepi pantai. Di zaman kanak-kanak, jika penulis terkena pokok lalang tidak terasa gatal, tetapi kini, terkena sedikit pun sudah tergaru-garu. Apabila musim tengkujung tiba, penulis dan rakan-rakan akan pergi memancing berumpankan cacing di sungai, parit ataupun kolam. Sambil memancing, kami membakar ubi kayu dengan menggunakan jerami padi sahaja. Sungguh enak sekali apabila makan ubi kayu bakar beramai-ramai.
Penulis sangat bangga arwah ayah merupakan seorang pesawah padi. Jika tidak, mana mungkin penulis boleh mengenali pokok padi. Jika tidak, mungkin penulis hanya mengenali berasnya sahaja. Penulis mungkin tidak akan merasai pengalaman kesakitan gigitan seekor lintah yang sebesar ibu jari. Mungkin, penulis tidak akan merasai kenikmatan makan nasi beras baharu yang berlaukan ikan darat seperti haruan, puyu, sepat, ikan keli dan pelbagai jenis ikan lain lagi. Mungkin juga penulis tidak akan tahu cara bagaimana mana hendak ‘menggagau / menangkap ikan’ di dalam lumpur pada musim menuai padi. Terlalu banyak arwah ayah mengajar kami sekeluarga tentang erti kehidupan sebagai seorang petani di sawah padi.
Penulis masih ingat lagi, arwah ayah membanting tulang seawal pagi sehinggalah matahari tegak di atas kepala. Penulis dapati peluh arwah ayah telah membasahi pakaian yang berlumpur itu. Namun, ayah tidak kelihatan letih dan tetap melayan mesra karenah kami sekeluarga. Arwah ayah juga telah mengajar kami sekeluarga menanam padi, membaja, meracun sehinggalah mengerat padi menggunakan sabit. Pernah sekali, jari penulis terluka terkena sabit tersebut. Terasa amat sakit dan darah banyak keluar. Tetapi, apabila terlihat banyak parut di jari arwah ayah, penulis tidak pernah menyesal belajar menyabit pokok padi. Di sebabkan itu, penulis membesar dengan beras yang ditanam oleh keluarga kami sendiri. Kami telah merasai beras baru yang berbau wangi. Bukan seperti beras di kedai sekarang, nampak sahaja cantik tetapi tiada khasiat.
Terlalu banyak kenangan di sawah padi. Jika boleh, penulis hendak anak, cucu dan cicit mengenali apa itu lumpur, lintah, ikan darat, dan pokok padi. Jika dahulu arwah ayah tidak jemu-jemu menyuruh kami sekeluarga belajar rajin-rajin supaya mendapat kerja di tempat sejuk yang ada ‘air cond’. Tetapi sebenarnya berkerja di dalam bilik yang ada penghawa dingin, sudah semestinya tidak menyihatkan badan kerana sukar untuk berpeluh. Tetapi kini, penulis berharap generasi akan datang tidak akan melupakan keperitan dan kesusahan datuk moyang kita sebagai petani pesawah padi.
3 ulasan:
pernah jugak aku dulu...
ikut ayah dan mak menanam padi...guna tangan wooo...tapi yang best, bila nak pindahkan anak2 padi dari semaian ke kawasan nak tanam...
maain baling ja....selalu aku landingkan anak padi tu tepi kawan aku....merecik selut naik ke muka...lepas tu, paham paham la..budak budak...tanam padi kemana..apa kemana...yg tahu kami duk bergelut dalam selut bendang.
hahahahahaaa..
Sekarang masih turun bendang lagi cikgu?... hehe..
dak dah.....
Catat Ulasan