Ahad, 24 Oktober 2010

Memilih Jurugambar

Musim cuti sekolah atau cuti umum menjadi masa yang sering dipilih untuk mengadakan majlis perkahwinan. Ini kerana tetamu yang diundang tidak mempunyai masalah memenuhi jemputan malah persediaan mengadakan majlis juga lebih mudah dilakukan. Majlis perkahwinan yang diadakan tidak akan bermakna jika semua detik yang berlaku pada hari istimewa itu tidak dirakam untuk tatapan saudara mara atau teman sekerja.

Bakal pengantin perlu bijak memilih jurugambar.

Oleh itu, memilih jurugambar adalah satu perkara mustahak yang perlu disenaraikan ketika merancang majlis perkahwinan atau apa jua majlis sekalipun. Memilih jurugambar perlu disesuaikan dengan peruntukan kerana setiap jurugambar mempunyai harga berbeza malah kemahiran mereka juga tidak sama. Terdapat juga jurugambar yang menawarkan pakej menarik dan sering menjadi pilihan pengantin kerana ia berbaloi dengan pelaburan mereka.

Setiap jurugambar mempunyai harga berbeza malah kemahiran mereka juga tidak sama.

Kebiasaannya, setiap jurugambar akan menetapkan harga berdasarkan kuantiti filem yang digunakan. Walaupun jurugambar masa kini menggunakan kamera digital, namun mereka masih meletakkan harga mengikut gulungan filem bagi memudahkan proses mengira. Setiap gulungan filem boleh menghasilkan 36 keping gambar dan harga yang ditetapkan bergantung kepada kawasan dan kemahiran jurugambar berkenaan.

Pengantin berhak mendapatkan jurugambar terbaik.

Terdapat jurugambar berpengalaman luas akan mengenakan harga tinggi mencecah ribuan ringgit terutama jika majlis yang diadakan itu di kawasan bandar. Namun, ada juga jurugambar menggenakan harga serendah RM100 terutama di kawasan kampung. Sebagai pengantin anda berhak mendapat jurugambar terbaik untuk merakam detik indah pada majlis perkahwinan anda. Jangan menerima sahaja cadangan saudara mara mengenai jurugambar yang mereka kenali. Tidak salah jika anda bertanya jurugambar itu koleksi gambar perkahwinan yang pernah diambil.


Antara soalan penting anda perlu ketahui selain kadar harga adalah jenis kamera yang digunakan serta pakej istimewa yang ditawarkan. Tidak semua kamera kamera digital SLR mampu menghasilkan gambar secantik yang anda idamkan dan seeloknya, anda ajukan soalan itu kepada jurugambar. Penggunaan lensa juga menentukan kualiti gambar yang akan dihasilkan. Selain itu, terdapat jurugambar yang menawarkan beberapa tawaran menarik seperti gambar disunting menggunakan teknik Photoshop malah terdapat juga jurugambar menghadiahkan pengantin sekeping gambar terbaik berserta bingkai.

Jurugambar sedang mengambil gambar pengantin.

Sebagai pengantin, anda perlu menentukan pada waktu bila jurugambar itu perlu menjalankan tugasnya. Ini kerana terdapat pasangan memilih menggunakan khidmat jurugambar untuk majlis pernikahan sahaja. Jadi, anda perlu tetapkan persetujuan dengan jurugambar bahawa anda perlukan khidmatnya sehingga majlis selesai atau pada sesi tertentu.

Antara pakej menarik yang ditawarkan.

Namun, terdapat pasangan pengantin yang lebih senang dengan khidmat pakej perkahwinan merangkumi juru runding, jurugambar, persalinan pengantin dan mekap yang lebih mudah kerana pengantin tidak perlu bersusah payah mencari. Kesimpulannya, bakal pengantin perlu sedikit rajin menbuat penyelidikan dan banyak bertanya kepada jurugambar yang dipilih bagi memastikan mereka berpuas hati dengan harga dan pakej ditawarkan serta tidak akan menyesal kemudian hari kerana saat indah pada majlis perkahwinan tidak dirakam sebaiknya.

Tiada ulasan: