Ahad, 5 Disember 2010

Guangzhou dan Kota Kambing

Buat kali kedua dalam hidup, penulis berpeluang melawat ke negara China apabila menyertai rombongan 16 ahli kelab Famemas ke negara itu, baru-baru ini. Lawatan itu sempena memberi sokongan kepada atlit Malaysia yang bertanding di Sukan Asia Guangzhou. Walaupun matllamat kami untuk menyokong atlit Malaysia, kami masih berkesempatan melawat ke tempat menarik di kota berkenaan.

Kotaraya Guangzhou.

Hairan juga kerana tiada langsung kelihatan motosikal di sekitar bandar itu sebelum dimaklumkan yang penduduk Guangzhou tidak dibenar menggunakan kenderaan itu di kawasan bandar untuk mengurangkan pencemaran serta mengelak jenayah ragut.

Penulis di Taman Yuexiu.

Bandar ini juga dikenali sebagai Kota Kambing sempena lagenda lima dewa yang menunggang haiwan itu datang membantu rakyat yang dilanda bencana satu masa dulu dan kononnya haiwan itu terus ditinggalkan di situ untuk melindungi rakyat dalam kesusahan. Tidak hairanlah, setiap kali menikmati juadah tengah hari atau malam di restoran Islam sekitar Guangzhou, kami pasti dihidangkan daging kambing. Untuk makluman, Guangzhou baru sahaja menjadi tuan rumah temasya Sukan Asia 2010 dan sudah pasti maskot yang dipilih adalah jelas - tidak lain tidak bukan kambing!

Penulis dan rakan-rakan di hadapan Tugu Peringatan Sun Yat Sen.

Hari ketiga di kota ini, kami dibawa melawat Tugu Peringatan Sun Yat Sen, dulunya tapak pemerintahan Dinasti Ching yang menempatkan pejabat Presiden, Dr Sun Yat Sen yang memerintah China pada 1921 dan meninggal dunia pada 1925. Bangunan itu pernah musnah dalam rampasan kuasa pada 1922, tetapi penduduk mengutip sumbangan membaik pulihnya sehingga siap pada 1931, tetapi sekali lagi musnah angkara tentera Jepun yang merempuh pada 1945 dalam Perang Dunia Kedua. Dewan Peringatan Sun Yat Sen juga ada di sini, berbentuk oktagon atau segi lapan dengan patung pemimpin itu didirikan di hadapan tugu peringatan. Kami kemudian ke taman terbesar di Guangzhou, Taman Yue Xiu yang merangkumi Gunung Yue Xiu dan beberapa gunung lebih kecil selain turut dikelilingi lima tasik buatan manusia.

Rakan penulis sedang memilih kasut yang sesuai di gedung kasut.

Anak tangga tersedia untuk ke puncak bukit yang menempatkan beberapa patung kambing sebagai mercu tanda taman. Disebabkan musim sejuk ketika itu, penulis tidak begitu terasa penat ketika mendaki. Pada sebelah petang, kami ke Masjid Huaisheng atau dikenali juga Masjid Pagoda yang dibina pada awal zaman Dinasti Tang dan antara empat masjid paling awal dibina di China selepas Islam disebar ke negara ini. Aktiviti waktu malam pula diisi dengan kunjungan ke syurga beli-belah di Beijing Road.

Membeli belah di Changshou Road.

Baju sejuk dijual di hampir setiap kedai dan bagi golongan hawa pasti tidak ketinggalan membeli beg tangan. Kami ke Wanling Shopping Mall sebelum bertolak ke Shenzen keesokannya tetapi sempat juga melawat Xiguan Custom Museum yang mempamerkan reka bentuk rumah dan pakaian bangsawan Cina dulu kala. Perjalanan ke Shenzhen mengambil masa lebih kurang dua jam. Penulis kagum dengan kepesatan bandar ini yang sememangnya antara paling pesat membangun di dunia, dipenuhi bangunan pencakar langit moden dan sistem jalan raya amat terancang.

Kami sedekahkan Al-fatihah di Makam Sa'd ibn Abi Waqqas.

Seterusnya, Taman Splendid China menjadi destinasi kami. Kereta api digunakan mengelilingi taman ini bagi menyaksikan replika bangunan dan monumen bersejarah di China. Kami juga ke pusat beli-belah Dongmen Walking Street yang terkenal di sini dan esoknya ke Lotus Mountain Park yang menempatkan patung Dengxiaoping, pemimpin terkenal China serta ke Coastal Ecological Park untuk melihat Hong Kong dari jauh sebelum pulang ke tanah air.

Penulis merakamkan pemandangan menarik di Sungai Pearl.

INFO
Guangzhou

Nama lama, Canton
Bandar ketiga terbesar di China
Populasi tiga juta penduduk Shenzen
Terletak berhampiran Hong Kong
Syurga beli-belah
Terkenal dengan jed dan sutera

Tiada ulasan: