Pelayaran mengambil masa lebih sejam melayari Sungai Pearl (sungai ketiga terpanjang di China) di waktu malam. Ada banyak kapal dan setiap kapal berbeza sama ada dari segi saiz, reka bentuk, konsep dan hiasan dalamannya. Ada yang berupa kapal mewah, ada yang macam kapal layar zaman dahulu, ada yang seperti pokok krismas dengan lampu-lampunya dan ada juga yang berdindingkan kaca pada seluruhan kapal.
Kapal yang penulis naiki mempunyai tiga tingkat termasuk dek atas bumbung. Apabila penulis masuk sahaja ke dalam kapal, kami dihidangkan dengan segelas teh cina dan kacang goreng. Akan tetapi, disebabkan kami datang bukan hendak menjamu selera, penulis dan rakan-rakan hanya duduk di bahagian luar kapal dan melihat pemandangan menarik bandar Guangzhao pada waktu malam.
Penulis lebih banyak menghabiskan masa di sepanjang perjalanan, duduk di atas dek kapal di aras dua sahaja. Sementara rakan-rakan yang lain semuanya duduk di dek aras bawah sekali. Penulis hendak duduk di atas bumbung kapal, terasa gayat kerana tempat tersebut agak tinggi. Pemandangan bandar Guangzhao di waktu malam memang cantik, semua bangunan dan apartment dihias cantik dengan cahaya lampu. Bukan sekadar diletak lampu tapi lampu hiasan yang penuh berwarna-warni.
Penulis rasa, lampu-lampu ini sengaja dinyalakan supaya pemandangan menjadi lebih cantik untuk pelancung yang menaiki river cruise. Ada beberapa bangunan tinggi yang telah menjadi seperti papan layar apabila satu bangunan seperti menjadi papan iklan. Itu belum termasuk papan billboard led bersaiz mega di sepanjang sungai yang menunjukkan bermacam-macam objek pada skrinnya. Boleh menjadi ralit apabila kita melihatnya.
Selain pemandangan bandar yang menarik dan berselisih dengan kapal-kapal layar lain yang cantik, kita juga akan melalui beberapa jambatan yang merentangi Sungai Pearl. Antaranya Jambatan Haizhu, Jambatan Guangzhao, Jambatan Renmin dan Jambatan Jiefang. Jika kita duduk di dek atas, terasa seperti boleh mencapai jambatan-jambatan ini. Jika anda tersampai ke sini cubalah naik, memang best dan bayaran hanya 58 RMB atau lebih kurang RM30 sahaja. Selamat mencuba.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan