Isnin, 1 Jun 2009

Taman Rimba Ampang

Jika sebelum ini penulis berkelah nun jauh di Hulu Selangor, tetapi minggu lepas penulis dan keluarga bercadang-cadang hendak berkelah berhampiran dengan rumah sahaja iaitu di Taman Rimba Ampang. Sebenarnya sudah bertahun juga penulis tidak mengunjungi taman rimba ini.


Pintu masuk ke Taman Rimba Ampang, Selangor.

Jadi, semalam penulis berkunjung ke taman rimba ini. Penulis agak terperanjat apabila keindahan Taman Rimba Ampang yang suatu ketika dahulu menjadi tarikan orang ramai khususnya pada hujung minggu kini agak tergugat kerana penyelenggaraan yang dilihat semakin diabaikan.


Tiket memasuki ke Taman Rimba Ampang.

Pada pandangan penulis, bukan sahaja penyelenggaraan taman rekreasi yang dahulunya dikenali dengan Taman Rekreasi Bukit Belacan itu diabaikan, paling mengejutkan penulis dan pengunjung dikenakan bayaran RM2 untuk meletak kenderaan serta bayaran masuk RM1 bagi setiap pengunjung. Kebanyakan pengunjung tidak berpuas hati dengan penyelenggaraan yang dilakukan di taman rekreasi tersebut sejak pengurusannya diambil alih oleh pihak swasta.


Penulis terpaksa berjalan hampir dua kilometer ke tempat lokasi.

Mungkin disebabkan bayaran yang dikenakan tidak ramai yang berkunjung. Bayangkan, penulis dan pengunjung terpaksa berjalan hampir dua kilometer dari tempat meletak kenderaan. Sepatutnya hujung minggu seperti ini dipenuhi dengan pengunjung.


Pengunjung tetap bermandi manda tanpa menghiraukan air sungai yang kotor.

Penulis juga melahirkan kekesalan kerana pengunjung tetap bermandi manda tanpa menghiraukan air sungai yang kotor dengan sampah sarap. Mungkin mereka tidak ada pilihan, tetap mandi walaupun air sungai kotor. Penulis sendiri tidak tergamak hendak mandi dengan keadaan air sungai seperti ini.


Rumah rehat yang kotor dan dipenuhi sampah sarap.

Penulis amat berharap kawasan ini diambil alih oleh MPAJ. Jika dilihat hari ini, kawasan ini lebih teruk jika dibandingkan sewaktu dikendalikan oleh MPAJ dahulu. Jika dahulu bayaran masuk percuma, tetapi sekarang bayaran dikenakan sedangkan penyelenggarakan tidak dilakukan. Dalam pada itu, Penulis mendapati tandas dan surau yang tidak diselia dengan baik dan kawasan sekitarnya juga tidak dibersihkan.


Antara landkap menarik di Taman Rimba Ampang.

Penulis dapati sampah sarap tidak disapu. Begitu juga dengan ranting kayu jatuh. Semuanya dibiarkan begitu sahaja. Pengunjung ramai yang merungut bukan sahaja bayaran masuk, malah mereka terpaksa berjalan jauh untuk masuk ke kawasan perkelahan itu. Tandas juga kelihatan kotor dan tidak dijaga.


Tandas kelihatan kotor dan tidak dijaga.


Pengunjung terpaksa berjalan hampir dua kilometer untuk kembali ke kenderaan.

Lagi sekali penulis amat mengharapkan pihak MPAJ dapat mengambil alih semula pengurusan yang dilihat lebih berkesan jika dibandingkan dengan pihak pengurusan sekarang yang dilihat mengabaikan kebersihan serta keselesaan pengunjung. 

Minggu depan penulis bercadang berkelah ke Sungai Congkak pula.

1 ulasan:

S.YanaZ berkata...

Bro.,
tak tao ponnn ada Taman Rimba Ampang...iskh.iskh.