Selasa, 30 Jun 2009

3 Hari 2 Malam di Bandar Johor Bahru

Hari Sabtu dan Ahad yang lalu, penulis dan rakan-rakan berkunjung ke negeri Johor untuk menyaksikan Pertandingan Badminton Yonet-Sunrise Malaysia Open GP Gold 2009 di Stadium MBJB, Johor Bahru. Hari Jumaat lalu, kami bertolak dari Kuala Lumpur pada jam 3 petang dan sampai di Johor Bahru lebih kurang pada jam 7 petang. Walaupun kami ke negeri Johor untuk menyaksikan perlawanan badminton, namun kami masih lagi berkesempatan dibawa jalan-jalan cari makan di negeri ini oleh rakan kelab iaitu Kepten Shafari. Kepten Shafari merupakan bekas pengurus di salah sebuah hotel terkemuka di Johor Bahru ini.


Bersama TokMoh di perkarangan masjid Sultan abu Bakar.

Johor merupakan negeri yang terletak paling selatan di Semenanjung Malaysia. Kedudukannya yang berhampiran dengan Singapura membuatkan negeri Johor amat popular di kalangan penduduk Singapura sepertimana tempat-tempat perlancongan yang lain. Johor dikurniai limpahan daya penarik semulajadi yang meliputi banyak kemudahan bagi mengisi aktiviti masa lapang mahupun pengembaraan.

Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.

Ibu negeri Johor, Johor Bahru, merupakan salah satu tempat membeli belah yang mashur di Malaysia. Selain itu, terdapat pelbagai tempat yang menarik di Johor untuk dikunjungi seperti Muzium Diraja, Masjid Sultan Abu Bakar, Galeri Seni Johor, Pusat Kraftangan Mawar dan juga Dataran Bandaraya yang dibina pada tahun 1994 untuk memperingati Johor Bahru sebagai sebuah Bandaraya. Cenderahati, barangan kraftangan dan juga kompleks membeli-belah di sini menawarkan harga barangan yang berpatutan dan berpadanan. Oleh kerana jadual perlawanan badminton berlangsung pada lewat petang, jadi sempatlah kami mengunjungi sebahagian tempat tempat-tempat menarik di negeri ini seperti Masjid Abu Bakar.


Kepten Shafari menjadi pemandu pelancung sepanjang kami berada di Johor Bahru.

Masjid Abu Bakar merupakan masjid utama Negeri Johor di mana mampu menempatkan 2000 orang dalam satu masa. Lokasinya adalah amat strategik di atas bukit di Jalan Sultan Abu Bakar dan menghadap Selat Tebrau. Pembinaan masjid ini telah memakan masa selama 8 tahun (1893-1900) dengan kos perbelanjaan sebanyak RM400,000. Seorang jurutera tempatan telah diberi kepercayaan dalam menjayakan projek pembinaan masjid tersebut iaitu Datuk Yahaya Awaludin dengan pengawasan kerja oleh Batwip Mohd. Arif. Senibina masjid ini adalah gabungan senibina Islam dan Barat Neo-Klasik. Ianya mempunyai 4 buah anjung dan setiap anjung mempunyai menara kubah. Sesungguhnya, Masjid Abu Bakar merupakan salah sebuah bangunan yang telah disenaraikan oleh Jabatan Muzium dan Antik sebagai nilai warisan yang dilindungi.


Bersama TokMoh aka Mansor di perkarangan Muzium Diraja Sultan Abu Bakar.

Selepas mengunjungi masjid negeri, kami ke Muzium Diraja pula. Muzium Diraja Sultan Abu Bakar pada asalnya merupakan Istana Besar, tempat bersemayam Bapa Pemodenan Johor, Sultan Abu Bakar. Muzium ini telah mula dibina pada tahun 1864 dan siap sepenuhnya pada 1866. Rekabentuk yang menggabungkan senibina Melayu dan Inggris ini diilhamkan oleh Datuk Yahaya Awaluddin. Sesungguhnya, Duke of Endinburgh pernah mengunjungi Istana Besar ini pada tahun 1867. Pada awal tahun 1990an, Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar telah memutuskan bahawa orang ramai sepatutnya diberi peluang untuk melihat Koleksi Keluarga Diraja di dalam muzium yang sempurna dan tersusun. 


Penulis tidak tahu kenapa buaya menjadi moskot Bandaraya Johor Bahru. Mungkin saudara Anuar Mansor boleh menjawapnya.

Baginda juga telah menitahkan agar Istana Besar ditukarkan menjadi muzium dan pada masa yang sama masih digunakan untuk Majlis-majlis Keraian dan Adat istiadat Diraja Johor. Dengan itu, Baginda telah mengisytiharkan dengan rasminya pembukaan Muzium Diraja Sultan Abu Bakar pada 11 Mei 1990. Di dalam muzium ini, tersimpan pelbagai khazanah berharga keluarga Di raja Johor termasuk hasil seni, kelengkapan, peralatan adat istiadat, senjata rasmi, pingat dan darjah kebesaran serta koleksi perhiasan yang diperbuat dari emas, perak dan belian. 


Persisiran Pantai Danga Bay.

Selepas puas melawat muzium ini, kami dibawa oleh Kepten Shafari ke Danga Bay pula. Teluk Danga atau lebih dikenali sebagai Danga Bay merupakan taman rekreasi yang terbesar dalam Negeri Johor. Ianya terletak berhampiran dengan Istana Bukit Serene dan kawasannya merangkumi seluas 1380 ekar. Danga bay yang terletak yang terletak di persisiran pantai telah menjadikan ianya tempat yang amat sesuai untuk melakukan pelbagai aktiviti luaran seperti beristirehat, beriadah, berhibur, menjamu selera dan berkelah. Tambahan pula, pengunjung boleh menaiki bot atau feri untuk menikmati dengan lebih dekat lagi keindahan alam dan melihat pusat perikanan yang boleh diperolehi di Kampung Melayu.


Penulis bergambar kenangan di pintu masuk Bangunan Sultan Ibrahim.

Setelah membeli beberapa helai t-hirt dan cenderamata di Danga Bay, kami berkunjung ke Bangunan Sultan Ibrahim. Oleh kerana kami sampai sudah lewat petang, kami hanya sempat bergambar di hadapan pintu masuk bangunan ini sahaja. Mengikut sumber yang kami dapat tahu, Bangun Sultan Ibrahim telah dikosongkan sepenuhnya pada akhir bulan Mei 2009 yang lalu dan segala urusan Kerajaan Negeri Johor akan dilaksanakan sepenuhnya di pusat pentadbiran yang baru tersebut.


Penulis bersama pemenang Kejohanan YONEX-SUNRISE Malaysia Open GP Gold 2009.


Stadium MBJB tempat berlangsungnya kejohanan badminton.

Bangunan Sultan Ibrahim yang terletak di atas puncak Bukit Timbalan telah dibina sekitar tahun 1936 hingga 1939. Rekabentuknya telah dibuat oleh sebuah firma arkitek British iaitu Palmer and Turner. Ia mula beroperasi pada tahun 1940 dan telah dirasmikan oleh Al-Marhum Sultan Ibrahim pada Tahun 1942. Bangunan ini juga pernah dinobatkan sebagai bangunan tertinggi di Malaya ketika era para-kemerdekaan. Bangunan Sultan Ibrahim yang kini kelihatan sepi dan sangat bersejarah dan sangat berjasa terhadap era kegemilangan dan permodenan Negeri Johor sejak zaman kolonial lagi hinggalah kini.


Hotel penginapan kami di Johor Bahru.

Kami pulang ke Kuala Lumpur setelah selesai menyaksikan perlawanan akhir badminton. Kami bertolak dari Johor Bahru pada jam 9 malam dan sampai di Kuala Lumpur pada jam 12.30 pagi. Pengalaman 3 hari 2 malam di negeri Johor menjadi kenangan indah yang sukar di lupakan.

Tiada ulasan: