Diam tidak diam tahun 2009 sudahpun berada dipenghujungnya. Hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi, fajar 2010 akan muncul dan umur kita juga akan meningkat.
Nur Atikah, satu-satunya anak penulis sudahpun melewati usia 12 tahun dan pada tahun hadapan usianya akan mencecah 13 tahun. Ya, dia akan menjadi anak remaja. Ah, penulis dapat merasakan betapa pantasnya masa berlalu.
Nur Atikah ketika bercuti di Cameron Higland
Sebelum ini, penulis menghantarnya dari hari pertama di sekolah rendah dan berada di tahun satu hingga ke tahun enam dan tahun hadapan, dia akan memasuki sekolah menengah dan pastinya akan menemui rakan-rakan baru di sekolah barunya. Sudah tentulah dia akan mencipta memori baru untuknya juga.
Penulis sendiri, kekadang masih terbayang sewaktu di alam persekolahan dahulu. Lebih-lebih lagi semasa penulis berada di sekolah menengah. Rakan-rakan sekelas penulis yang masih diingati sehingga kini ialah Jelani Jaini, Anuar, Azmi, Ishak, Rosani dan yang lain-lain lagi.
Kekadang penulis merasakan mereka semua seakan-akan masih bersama penulis. Dan merasakan seolah-olah usia penulis dan mereka masih lagi belasan tahun. Tetapi itu semua hanya khayalan penulis sahaja. Kini sudah lebih 22 tahun penulis telah meninggalkan alam persekolahan. Tetapi, penulis seakan merasakan masih berada dialam persekolahan dan bersama rakan-rakan sekolah.
Penulis ketika berada di tingkatan lima
Ah, cepatnya masa berlalu. Pastinya seperti penulis juga, rakan-rakan penulis juga kini telah punya keluarga dan kehidupan masing-masing. Mungkin juga ada diantara mereka tidak lagi menetap di Sungai Besar, tidak mustahil juga ada yang menetap di luar negara?. Mungkin di negara Jerman, Egypt, China dan sebagainya. Penulis pula? sehingga kini, penulis masih lagi setia di sini. Masih setia menjadi warga Selangor. Cuma bezanya dulu di Sungai Besar dan kini di Ampang.
Keada semua rakan lama, apakah kalian juga merasakan apa yang penulis rasakan sekarang? Kerinduan kepada alam persekolahan dahulu? Ah, alangkah indahnya jika kita dapat memutarnya kembali kenangan manis itu... dan kita kembali menjadi kanak-kanak?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan