Setibanya kami di bandar Kuala Kangsar, hujan turun dengan lebatnya. Kamipun singgah di sebuah warung dan pekena segelas teh tarik. Apabila hujan reda, kami bertolak ke Masjid Ubudiah. Sementara menunggu masuknya waktu Magrib, penulis sempat merakam beberapa keping gambar, tetapi hujan masih lagi turun renyai-renyai yang mengakibatkan kualiti foto kurang menarik.
Berlatar belakang masjid.
Masjid yang terletak di atas Bukit Chandan, Kuala Kangsar, merupakan salah sebuah masjid yang tercantik di negara ini dan menjadi simbol keagungan dan peradaban Islam di Perak. Kubah dan menara emas masjid yang tersergam indah membuktikan keindahan dan keunikan senibina masyarakat Islam.
Pembinaan masjid ini bermula semasa pemerintahan Sultan Idris Murshidul Adzam Shah 1, Sultan Perak yang ke-28, tetapi telah tergendala untuk beberapa ketika. Peristiwa dua ekor gajah kepunyaan Sultan Idris dan Raja Chulan yang berlari di atas lantai marmar yang diimport dari Itali, lantas merosakkannya serta Perang Dunia Pertama adalah dua sebab utama tergendalanya projek pembinaan tersebut. Masjid ini kemudiannya telah dibuka secara rasmi oleh Sultan Jalil Karamatullah Shah pada tahun 1917.
Masjid yang unik.
Jika berkunjung ke bandar Kuala Kangsar, tidak lengkap rasanya jika tidak berkunjung ke masjid ini.Di bahagian luar pagar masjid, dihiasi pokok renek sepanjang laluan pejalan kaki manakala papan tanda pula dibuat dengan batu marmar dengan tulisan yang menarik.Reka bentuk pagarnya berkonsepkan ala istana menggunakan cat berwarna putih dan besinya dicat warna keemasan serta hitam.Rumput hiasan ditanam di beberapa bahagian luar masjid serta pokok pinang.
Ruang letak kereta yang luas memudahkan orang ramai berkunjung ke Masjid Ubudiah. Sebuah pondok di bina di belakang masjid untuk kemudahan pengunjung berehat sambil menikmati kedamaian.Di bahagian hadapan masjid, dibina sebuah kolam dilengkapi air pancut yang memberikan kedamaian kepada pengunjung.Di bahagian luar masjid yang menelan belanja kira-kira RM2.9 juta itu dihiasi batu marmar air yang bersih dan bercahaya.
Tiangnya dibuat daripada batu marmar berwarna coklat manakala dindingnya mempunyai reka bentuk yang melambangkan agama Islam.Memasuki ruangan dalaman, anda pasti terpesona dengan kecantikan hiasan lampu dan dinding yang pelbagai warna manakala mimbarnya dibuat daripada kayu bermutu tinggi berukiran warisan tradisional dan Kesultanan Melayu. Pada bahagian atas, terdapat sebuah lampu kristal yang memenuhi ruangan tengah masjid diikuti beberapa lampu kecil.Bahagian silingnya dihiasi kalimah nama Allah dan ukiran siling kapur yang begitu unik.
Masjid yang mempunyai sebuah kubah utama dan beberapa kubah kecil berwarna keemasan itu memang cukup menarik.Selain tempat menunaikan ibadat solat, Masjid Ubudiah memiliki keunikannya sebagai destinasi pelancongan sekali gus menggambarkan Islam itu indah.
Selepas menunaikan solat Magrib, kami dipelawa ke kedai herba en. Talaha. Di sana, lagi sekali kami pekena teh tarik herba.
1 ulasan:
En. Zul,
Masjid Ubudiah adalah masjid yang cukup unik, rumah ibadah yang cukup indah di Negeri Perak Darul Ridzuan, selain menjadi tumpuan para pelancong.
Kalau kita sama-sama dapat menunjukkan keistimewaan masjid ini kepada khalayak satu dunia melalui blog-blog kepunyaan rakyat Malaysia, alangkah baiknya, menarik pelancong seluruh dunia ke negara kita.
Kita sebenarnya kurang menyadari bahawa wang yang dibelanjakan oleh pelancong di negara kita turut memantapkan ekonomi negara, disamping menguatkan nilai wang kita di persada dunia.
Bila kita melancong ke negara lain, baru kita sedari bahawa ringgit kita tinggi nilainya. Ini semua bukan kebetulan sahaja. Ianya berkait rapat dengan kedudukan ekonomi negara kita.
Cukup cantik gambar-gambar Masjid Ubudiah. En. Zul tidak berkesempatan untuk mengambil gambar Kolej Darul Ridzuan yang terletak berhampiran dengan Masjid Ubudiah.
Catat Ulasan