Pulang dari Gerik, kami berkesempatan untuk berjalan-jalan di sekitar daerah Lenggong termasuklah ke Tasik Raban. Kebetulan ketika itu hujan turun renyai-renyai, namun kami tetap meneruskan perjalanan ke pinggir Tasik Raban untuk makan tengahari.
Pemandangan indah Tasik Raban.
Alam merupakan anugerah yang tidak ternilai harganya. Keindahan panorama serta kehijauan pemandangan yang dapat dilihat terasa begitu menenangkan jiwa dan fikiran yang bercelaru.
Resort Tasik Raban menawarkan ilham alam semulajadi yang masih terpelihara keasliannya. Keindahan hadir untuk dinikmati oleh mereka yang cintakan suasana kehijauan alam dan menjadi syurga kaki pancing.
Tasik Raban.
Suntikan Panorama Tasik Raban Tasik Raban asalnya adalah sebahagian daripada Tasik Chenderoh, iaitu salah satu daripada empat tasik yang terdapat di Hulu Perak. Tasik yang mendapat nama daripada kampung tempatan yang terletak berhampirannya, sering menjadi tumpuan dan kunjungan ramai dengan suntikan pemandangan yang indah.
Terpesona dengan keindahan Tasik Raban.
Resort Tasik Raban yang terletak di Daerah Hulu Perak mampu menjadi lokasi ideal kepada pencinta alam dan juga mereka yang ingin melarikan diri sebentar dari kesibukan kota. Bagaikan tersulam indah baitbait lagu ‘Hijau’ dendangan Zainal Abidin, begitulah jua yang dirasakan oleh penulis dan jurugambar tatkala menyusuri perjalanan ke Resort Tasik Raban ini. Satu persatu perkampungan dilalui dengan hidangan suasana alam menghijau yang mendamaikan jiwa.
Kami berhenti makan di pekan Lenggong.
Melalui Jambatan Raja Muda Nazrin yang merentangi Tasik Raban yang terbentang luas memberikan eksplorasi lebih menarik ke destinasi utama kami. Segala kegusaran terlerai di hati tatkala mula menjejakkan kaki ke Resort Tasik Raban ini. Berbekalkan suasana kedamaian dan kehijauan yang menjadi tarikan utama, pastinya ia menjadi pilihan yang tepat untuk merehatkan diri dan juga minda.
1 ulasan:
En. Zul,
Tasik ini cukup indah. En. Zul belum lihat dari sebelah Kampong Beng, juga di tepi Tasik Chenderoh ini - bila bertemu simpang empat selepas Jambatan Raja Dr Nazrin itu, belok ke kanan untuk melihat tebing kiri Sungai Perak.
Kalau masuk ikut Muzium Arkeologi, menyeberang Sungai Perak kita akan sampai ke Kampong Beng. Suasana Tasik Chenderoh sebelah sini juga cantik.
Di sinilah penggambaran iklan raya Petronas "Janda Beranak Tujuh"- yang anak-anaknya beli lembu sekor sampai dia pengsan itu - dibuat.
Lenggong memangnya terletak di hulu negeri. Kalau dekat dengan KL, habis tanah tepi tasik tu dibeli dek orang kaya buat istana masing-masing.
Itulah sebabnya saya letakkan motto "East and West, Lenggong still the best."
Sampai di sini dahulu.
Catat Ulasan