Khamis, 18 Mac 2010

Memori Panggung Wayang

Minum air tin sambil mengunyah kuaci ketika menonton wayang pada era 80an dan 90an masih segar di ingatan penulis. Menonton filem ‘pecah panggung' pada zaman tersebut seperti filem arahan Yusuf Haslam dan Aziz M. Osman menjadi antara kenangan terindah buat penulis ketika itu.

Panggung Faderal di Jalan Raja Laut.

Walaupun panggung wayang ketika itu tidak secanggih sekarang, namun sambutan daripada penonton sangat menggalakkan. Barisan pawagam seperti Cathay, Rex, Capitol, Odeon, dan Colesium penuh dengan penonton setiap kali ada tayangan filem baru.


Panggung Capitol di Jalan Raja Laut.

Ketika zaman kegemilangannya, pawagam ini penuh sesak dengan orang ramai yang berasak-asak untuk mendapatkan tiket filem-filem terkenal. Walaupun hanya duduk di kerusi kulit lusuh dengan bauan pawagam lama, tetapi keadaan pada masa itu tetap meriah dan dipenuhi dengan peminat-peminat filem.

Bagi penulis yang sememangnya meminati filem Melayu, panggung Odeon dan Coliseum akan menjadi pilihan. Jika penulis ingin menonton filem Inggeris pula, penulis akan ke panggung Rex atau Cathay. Sekali sekala, penulis akan ke panggung Capitol untuk menonton filem-filem Cina, Tamil dan Hindi.

Panggung Odean di Jalan TAR.

Inilah senario yang dapat penulis lihat pada zaman kegemilangan bandaraya Kuala Lumpur dengan pawagam-pawagam lama ini membina nama dengan begitu gah sekali. Tetapi kini, segala-galanya sudah berubah, ekoran pembangunan dan perancangan bandar.

Panggung Coliseum di Jalan TAR.

Walaupun bangunan pawagam-pawagam lama ini masih wujud, tetapi hanya tinggal papan tanda yang kelihatan dan ada di antara pawagam ini terbiar kosong. Ada juga yang telah diubah suai oleh pemilik-pemilik baru dan dijadikan kedai berkonsep moden sesuai dengan keadaan sekarang.

Teket panggung REX di Jalan Silang.

Kewujudan pasar raya besar yang memuatkan pawagam baru telah membunuh kemeriahan pawagam tradisional ini. Malah, pawagam baru yang menawarkan konsep menarik seperti ruang penganjuran acara korporat sosial eksklusif, meja pool, mesin muzik, televisyen plasma, khidmat melayari internet secara percuma dan persekitaran kondusif serta makanan yang enak mematikan terus ingatan kepada nostalgia pawagam tradisional.

Malang sekali, bangunan yang sepatutnya menjadi antara peninggalan sejarah dan tumpuan pelancong itu kini ‘hilang’ sekelip mata.

Tiada ulasan: