Dulu, Penulis pernah bertugas di Muzium Negara pada tahun 1988 hingga 1990. Rasanya lama benar penulis tidak ke sana. Semalam, entah kenapa, tergerak hati penulis hendak membawa anak melawat Muzium Negara. Mungkin juga kerana penulis masih rindukan rakan-rakan yang masih bertugas di sana.
Hadapan pintu gerbang Muzium Negara.
Muzium Negara Malaysia merupakan salah sebuah bangunan yang unik di Malaysia. Seni bina bangunan Muzium Negara adalah bercirikan rekabentuk bangunan Istana Melayu tradisional negeri Terengganu.
Rekabentuk yang tersergam indah ini dipilih sendiri oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Bapa Kemerdekaan dan Perdana Menteri pertama Malaysia. Di bahagian hadapan bangunan ini terdapat hiasan mozek yang besar.
Muzium ini memuatkan banyak barangan bersejarah mengenai Malaysia. Di dalamnya terdapat banyak galeri yang mempamerkan kebudayaan kehidupan masyarakat di Malaysia, iaitu kebudayaan orang Melayu, Cina dan India. Turut dipamerkan ialah barang-barang seni, tembikar, kegiatan ekonomi, flora dan fauna di Malaysia dan sebagainya.
Di fahamkan Muzium Negara selalu menganjurkan program menarik pada setiap bulan untuk menarik perhatian pelancong tempatan dan asing datang melawat ke Muzium Negara. Sepanjang tiga bulan ini, Muzium Negara sedang mengadakan pameran keranda. Pameran ini akan berakhir pada 20hb jun 2010 nanti.
Kini, Kandungan Muzium Negara telah banyak berubah. Tentunya lebih menarik kerana reka bentuk pameran yang lebih tersusun dan diselangi dengan peranan multimedia berbanding dengan hanya pada kepingan-kepingan nota-nota mati di dinding sahaja. Manakala suasananya yang lebih segar dan nyaman. Berbeza ketika penulis bertugas dahulu, tiada lagi bau najis kelawar di geleri tingkat atas.
Namun begitu, masih banyak yang perlu dilakukan untuk menarik murid-murid sekolah mengunjunginya sambil mempelajari sesuatu yang kurang mendapat perhatian di hati mereka - iaitu subjek sejarah. Pihak pengurusan Muzium Negara perlu memikirkan perkara seperti ini.
Selesai melawat, kami singgah ke kedai muzium. Agak terkejut juga, apabila terlihat patung kartun yang dijadikan keychain yang turut terjual di kedai ini. Seharusnya muzium-muzium di Malaysia terutamanya mengenai peranan kedai muzium yang seharusnya lebih giat lagi mempromosikan buku mengenai sejarah dan pameran tentunya.
Lebih menarik sekiranya muzium-muzium di Malaysia mencontohi apa yang telah dilakukan secara kreatif di Petrosains, yang lebih berjaya menarik minat orang awam terhadap sains. Kaedah yang sama perlu dilakukan terhadap sejarah, yang juga perlu dikreatifkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan