Paling bermakna pada tarikh 28 Julai hingga 31 Julai 2010 kerana berlangsungnya Kejuaraan Nasional Kempo di Dumai, Sumatera Tengah, Indonesia. Kejohanan ini dianjurkan oleh Pertubuhan Kempo Indonesia (Perkemi) di mana Pertubuhan Kempo Dumai telah dipilih sebagai tuan rumah pada tahun ini. Kami dari Pertubuhan Shorinji Kempo Wilayah Persekutuan dan Selangor hanya dijemput sebagai tetamu undangan sahaja.
Sebelas peserta yang turut bertindak sebagai ahli jawatan kerja adalah di kalangan ahli Pertubuhan Shorinji Kempo Wilayah Persekutuan dan Selangor. Mereka yang terbabit ialah en. Samson dan Guru Henry sebagai pemerhati manakala en. Suhaimi, Zainal, Ganesh dan Saravanan sebagai pegawai sukan serta en. Benjamin dan Azlan sebagai atlit dan penulis sendiri sebagai jurufoto.
Program ini sangat santai, terima kasih kepada Pertubuhan Kempo Dumai yang diketuai oleh Bapak Annora Arsan, sambutan di Pelabuhan Umum Dumai cukup meriah, tiada tekanan dan semua peserta ceria. Sepanjang perjalanan, cuaca baik dan feri bergerak lancar tanpa sebarang masalah di tengah-tengah Selat Melaka. Sebaik sahaja tiba di Dumai semua peserta terus dibawa ke Restoran Pak Datuk untuk menikmati jamuan tengahari nasi padang.
Hari pertama tidak padat dengan aktiviti, kami diberi kebebasan untuk melakukan aktiviti sendiri, biasalah ramai peserta ke pasar Senggol untuk membeli belah. Agak mendukacitakan juga kerana tiada cenderamata/ole-ole sebagai kenangan untuk dibeli supaya boleh dibawa pulang ke tanah air. Kebanyakan produknya seperti pakaian/makanannya adalah sama seperti di Malaysia cuma harganya sahaja yang berbeza.
Menurut Asran yang bertindak sebagai pemandu pelancung kami, dahulu bandar Dumai ini hanyalah sebuah perkampungan nelayan kecil yang sunyi. Perkampungan persisiran pantai ini merupakan di dalam daerah Riau. Kini, bandar Dumai yang kaya dengan hasil buminya merupakan sebuah pelabuhan petroleum sejak tahun 1999. Hampir setiap hari pelabuhan ini menjadi tumpuan tempat persinggahan kapal-kapal besar dari seluruh dunia.
Hari kedua pada sebelah petangnya, kami ke pusat sukan Dumai untuk menghadiri perasmian Kejuaraan Nasional Kempo antara Kota Wilayah 1. Kejohanan ini dirasmikan oleh Bapak Zulkifli AS yang juga merupakan Walikota Dumai. Tidak sangka kejuaraan kempo di sini cukup meriah dan disertai oleh ramai atlit dari pertubuhan kempo (Perkemi) di seluruh Sumatera. Kami dari Pertubuhan Shorinji Kempo Wilayah Persekutuan dan Selangor tidak menyertai kejuaraan kali ini. Kami hanya dijemput sebagai pemerhati, mempelajari teknik-teknik dan mempelajari undang-undang pertandingan untuk persediaan di Sukan Sea Jakarta pada tahun hadapan.
Pada keesokan hari kami sempat di bawa melawat ke tempat-tempat menarik di sekitar bandar Dumai. Terkejut juga kerana di Dumai Bahasa Melayu Riaunya lebih kurang sama dengan Bahasa Melayu di Malaysia. Begitu juga dengan kebudayaannya, semuanya hampir sama kerana kita adalah serumpun, kaum Melayu. Selain sebagai bandar pelabuhan, Dumai merupakan salah satu pengeluar minyak kelapa sawit terbesar di Indonesia. Terdapat banyak ladang kelapa sawit di sini. Penulis fikir, pada masa akan datang negara Indonesia akan menjadi pengeluar utama minyak kelapa sawit dunia.
Hari terakhir pada 31 Julai tiba akhirnya, beberapa ahli Pertubuhan Kempo Dumai yang diketuai bapak Yanto menghantar kami ke Pelabuhan Umum Dumai. Sepatutnya feri kami bergerak pada pukul 12 tengahari (WIB) tetapi disebabkan ada beberapa masalah teknikal, kami terpaksa berlepas dari Dumai kira-kira pukul 1 petang. .
Memang sepanjang perjalanan dari Dumai menuju ke Pelabuhan Melaka ombak besar tidak pernah dirasai sebelum ini, penumpang di dalam feri semuanya kelihatan cemas tetapi mujur kepten feri yang berpengalaman berjaya mengendalikan feri yang kami naiki selamat tiba di Melaka walaupun terpaksa berdepan ombak besar Selat Melaka.
Selesai sahaja urusan di kuanter imigresen jeti Melaka, kami ditahan oleh sepasukan polis untuk menjalani ujian air kencing secara rambang. Agak terperanjat juga tetapi memahami akan tugas pasukan keselamatan negara, kami sedia berkerjasama dengan mereka. Agak kelakar juga apabila kami diminta membuat ujian air kencing. Rasanya seperti penagih sahaja. Selalunya penulis akan membuat ujian air kencing hanya di klinik sahaja. Walaubagaimanapun kami tidak akan serik dan insyallah pada tahun hadapan pertubuhan kami akan merancang untuk bertandang ke Jakarta untuk menyertai Kejuaraan Sukan Sea pula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan