Seingat penulis, buat pertama kalinya berpuasa ketika berusia tujuh tahun iaitu pada tahun 1976. Setelah genap sebulan berpuasa, maka tibalah masanya kami sekeluarga berhari raya Aidilfitri. Masih ingat lagi, pagi-pagi lagi, kakak akan kejutkan dan diminta bersiap. Maka, penulispun segera terjun ke parit di hadapan rumah untuk mandi sunat Aidilfitri.
Setelah mengenakan baju baru, kami sekeluarga pergi ke surau untuk menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri. Selesai solat, penulis menyertai orang kampung berkumpul untuk mengadakan majlis baraan iaitu bertakbir dari rumah ke rumah. Rasanya, ketika itu masih belum ada budaya meronda-ronda ke rumah jiran untuk mencari duit raya.
Air Sirap.
Apabila masuk sekolah rendah, penulis diajar berpuasa oleh arwah ayah. Letihnya... mak aih, jangan cakaplah. Tetapi alhamdulillah, penulis mampu bertahan sehingga ke petang. Masih ingat lagi alunan muzik yang akan berkumandang apabila menjelang waktu Maghrib, alunan muzik ghazalnya yang sungguh melankolik itu amat simbolik sekali. Tetapi hari ini, muzik seperti itu sudah tiada kedengaran lagi.
Ketika itu, menunggu waktu berbuka terasa amatlah lama. Tidak seperti sekarang, tidur sahaja, apabila bangun sudah dekat waktu hendak berbuka puasa.
Jika dahulu hendak membeli ais batu amat sukar sekali. Penulis dan rakan-rakan terpaksa mengayuh basikal beberapa kilometer jauhnya untuk membeli ais batu di pekan. Ais batu itu disimpan di dalam habuk kayu supaya ia tidak cair dengan cepat. Ais batu itu dijual dengan harga sepuluh sen seketul. Sungguh kelakar, jika terlewat dibawa pulang, ais batu itu akan cair dan hanya tinggal separuh sahaja.
Apabila kakak penulis yang tinggal di pekan sudah membeli peti sejuk, maka penulis tidak membeli ais batu lagi. Apabila waktu petang, penulispun mengayuh basikal ke rumah kakak untuk mengambil ais batu. Kadang-kadang ais batu yang dibawa tidak berapa keras. Apabila sampai rumah, banyak sudah yang cair..
Dan alangkah indahnya bila berbuka dengan ais batu yang dibuat sirap ais atau ais bandung siap ditambah buah selasih...emm... terasa nikmatnya...
Kini, setiap buah rumah sudah ada peti sejuk. Maka, tidak berapa lakulah ais batu di kedai runcit. Ais batupun sudah berubah dari empat segi tepat ke bentuk kiub. Air minumanpun sudah pelbagai jenis... Setakat air sirap selasih tu...ala...apa kelas...he...he...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan