Selasa, 17 Ogos 2010

Rezeki Isteri di Bulan Ramadhan

Sepanjang bulan Ramadhan ini, isteri penulis banyak menghabiskan masanya untuk menyiapkan tempahan baju baju raya. Semua tempahan ini diterima sebulan sebelum puasa lagi. Sudahlah banyak, kebanyakkan pelanggan pula mahukan kemasan leher baju menggunakan jahitan tangan seperti jahitan mata lalat dan tulang belut. Ini akan memakan lebih banyak masa dan jahitan perlu dilakukan dengan lebih kemas dan teliti.

Mesin jahit yang menjadi teman setia isteri penulis sekarang.

Biasanya isteri penulis akan menghabiskan dua jam untuk menyiapkan jahitan kemasan leher baju ini. Jika di musim perayaan seperti sekarang, tempahan baju raya terlalu banyak, isteri penulis terpaksa mengupah rakannya dengan harga RM 10.00 bagi setiap helai kemasan leher baju.

Isteri penulis sedang menjahit kemasan leher.

Walaupun begitu, isteri penulis masih mengambil upah menjahit dengan harga RM 30.00 bagi setiap pasang baju kurung biasa. Harga ini agak murah berbanding dengan harga di sekitar Bandar Ampang iaitu sekitar RM 35.00 hingga RM 40.00 sepasang. Manakala jika di butik pula ada yang mencecah RM 60 hingga RM 100.00 sepasang.

Antara baju kebaya kanak-kanak yang isteri penulis hasilkan.

Bayangkan jika beliau membayar RM 10.00 untuk membuat kemasan leher, tinggallah bakinya RM 20.00 sebagai upah penat menjahit. Isteri penulis tidak menaikkan upah menjahit yang sedia ada kerana ada di antara pelanggan adalah ‘regular customer’. “Segan pula hendak naikkan harganya”, katanya.

Penulis terpaksa ke Bazar Ramadhan setiap petang.

Oleh kerana sibuk menjahit, isteri penulis hanya memasak yang simple-simple sahaja seperti memasak nasi dan ikan goreng untuk hidangan berbuka puasa. Jika hendak makanan yang lebih lazat dan sedap, terpaksalah penulis ke Bazar Ramadhan untuk membeli lauk-pauknya. Biasanya hampir RM20.00 juga penulis berbelanja di Bazar Ramadhan ini. Ingatkan dibulan Ramadhan ini jimatlah duit poket penulis, rupa-rupanya kena berbelanja lebih dari hari biasa... hehe...

1 ulasan:

Cikgooden berkata...

rezeki sekali setahun...

hang tak terai buat tulang belut n mata lalat ka bro?..heheheheh