Hari ini, hampir dua minggu kita telah merayakan Hari Raya Aidilfitri. Sempena di bulan Syawal yang mulia ini, penulis hendak menceritakan pengalaman manis mengenai salah satu budaya dalam masyarakat orang-orang kampung di daerah Sabak Bernam, Selangor ketika menyambut Hari Raya Aidifitri. Aktiviti tersebut ialah bara’an (berhari raya dari rumah ke rumah).
Semenjak penulis berumah tangga, jarang sekali penulis berpeluang mengikuti aktiviti bara’an pada hari raya pertama di kampung kelahiran penulis ini. Oleh kerana pada malam raya, isteri penulis masih lagi sibuk menyiapkan tempahan baju raya, kami sekeluarga hanya dapat balik ke kampung pada hari raya kedua atau ketiga. Penulis amat merindui aktiviti setahun sekali seperti baraan ini. Ia amat menyeronokkan sekali. Penulis berharap pada hari raya yang akan datang, penulis dapat menyertai semula aktiviti bara'an ini.... insyallah....
Kenangan rumah pusaka di kampung.
Penulis sendiri tidak tahu istilah bara’an di dalam bahasa melayu, dipanggil apa. Setahu penulis, asal-usul istilah bara’an ini ditutur oleh di kalangan orang-orang Jawa. Tetapi kini, istilah ini telah diguna pakai oleh semua masyarakat di daerah Sabak Bernam, Selangor.
Tradisi aktiviti bara’an ini ialah budaya kunjung-mengunjung dari sebuah rumah ke rumah yang lain. Biasanya rumah-rumah yang diziarahi itu ialah rumah ahli kariah surau di kampung masing-masing. Jika di kampung Tali Ayer 13, Sungai Besar, Selangor aktiviti bara’an ini dibuat mengikut blok sawah yang telah sedia ada. Setiap tahun aktiviti bara’an ini akan dimulakan selepas solat hari raya sekitar jam 9 pagi sehinggalah ke petang. Ahli-ahli bara’an terdiri daripada penduduk kampung serta anak-anak dan saudara mara mereka yang pulang beraya.
Tradisi ini sudah lama wujud sejak penulis masih kecil lagi. Sejarah bermulanya aktiviti bara’an di daerah Sabak Bernam ini, tidak pula penulis mengkaji. Sesiapa yang tahu bolehlah share dengan penulis. Walaupun aktiviti bara’an di kampung Tali Ayer 13 ini tidak sehebat bara’an di kampung-kampung jiran. Namun begitu, bagi penulis ini sudah cukup bagi kami merapatkan silaturrahim sesama masyarakat di kampung di kampung Tali Ayer 13 ini.
Kebiasaannya, setiap rumah akan menyediakan satu menu istimewa bagi setiap rumah disamping kuih raya yang lain. Antara menu special yang menjadi pilihan masyarakat kampung Tali Ayer 13 ini ialah ketupat, rendang, mihun sup, soto, lontong, pecal dan ada juga yang menyediakan nasi ayam. Oleh kerana setiap rumah tidak mengetahui menu istimewa rumah lain, ada ketikanya menu utama tersebut hampir sama bagi setiap rumah.
Kanak-kanak sempat bermain meriam ketika majlis bara'an.
Oleh kerana tradisi aktiviti bara’an ini di jalankan secara berterusan sehingga selesai rumah peserta, keletihan dan kekenyangan menjadikan aktiviti bara’an ini sesuatu yang membebankan bagi sesetengah orang. Bayangkan jika terpaksa berkunjung ke dua puluh buah rumah dalam masa setengah hari sudah tentu perut kita tidak mampu menampung makanan lagi terutamanya apabila tiba pada rumah-rumah yang terkemudian. Buat yang sudah biasa mengikuti bara’an ini, sudah semestinya mengetahui teknik dan taktik menghadapi juadah hari raya dari setiap rumah.
Memori bara'an yang sukar dilupakan. Penulis merindui suasana seperti ini.
Akhir kata, penulis berharap tradisi ini dapat diteruskan oleh generasi seterusnya. Ia dapat mengeratkan lagi tali persaudaraan sesama masyarakat di kampung Tali Ayer 13, Sungai Besar, Selangor terutamanya jiran-jiran yang berdekatan dengan rumah kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan