Restoran mamak memang menjadi pilihan utama kebanyakan masyarakat kita. Tidak kiralah masyarakat Melayu, Cina dan India. Masyarakat Malaysia lebih sukakan restoran mamak dan lebih suka memilih restoran ini berbanding restoran kaum sendiri. Di kawasan perumahan penulispun sudah ada enam buah restoran mamak yang sentiasa penuh dengan pelanggan.
Mengapa perkara ini berlaku? Sedangkan kita sering tendengar perkara buruk yang tidak sepatutnya berlaku di restoran mamak. Ada yang mendakwa, restoran mamak bukan Islam menyamar sebagai muslim dan terdapat benda pelik di dalam masakan mereka. Bahan pelik ini, kononnya menjadi azimat untuk menarik ramai pelanggan. Penulis sendiripun tidak pasti kebenarannya. Penulis hanya berminat membincangkan isu mengenai kualiti yang ada di restoran ini yang menyebabkan restoran mereka menjadi pilihan orang ramai.
Restoran ini agak popular di tempat penulis.
Boleh dikatakan setiap restoran mamak mempunyai ramai pekerja yang begitu efisyen. Dengan berpakaian seragam, mereka menunggu pelangan datang ke restoran mereka. Jika ada pinggan atau gelas terbiar di atas mana-mana meja, mereka terus mengangkat walaupun meja itu diuruskan oleh pekerja lain. Jika kita memanggil mereka ketika dalam perjalanan masuk ke restoran, pastinya mereka terus datang kepada anda dan meminta menunggu sebentar atau memanggil pekerja lain untuk melayan anda. Pendek kata mereka sentiasa sedia untuk berkhidmat!
Apabila anda ke restoran mamak, pekerja mereka segera mendekati anda untuk mengambil pesanan. Kadangkala selepas pekerja lain mengambil pesanan, pekerja lain pula akan datang bertanya kerana melihatkan tiada siapa di meja itu untuk melayan anda. Walaupun ada dikalangan mereka tidak fasih berbahasa melayu tetapi mereka masih lagi cuba menyebutkan barisan menu makanan yang ada untuk memberi cadangan menu yang terbaik kepada anda. Sekiranya anda pelanggan tetap di restoran itu, pastinya mereka akan beramah mesra dengan anda sebelum mengambil pesanan. Sungguh mengkagumkan apabila melihat bagaimana mereka boleh menghafal pesanan tanpa menulis. Tetapi, ada juga dikalangan mereka yang terlupa menu yang dipesan itu. Selepas makanan dihantar, dan sekiranya ada lagi permintaan, pasti mereka akan melayan anda. Sama ada masakan itu terlebih masin atau tidak seperti yang diminta.
Customer always right, itulah yang biasanya berlaku di restoran mamak. Jika anda ingin memarahi mereka kerana lewat, silakan. Mereka hanya menggelengkan kepala dan menuju ke dapur sebagai tanda bahawa mereka akan berusaha mempercepatkan masakan. Walaupun kedai sesak dengan pelanggan sudah cukup menjadi alasan kukuh untuk tidak dimarahi, tetapi mereka tetap menelan apa sahaja kemarahan pelanggan mereka. Tidak seperti sesetengah restoran kaum kita. Ternyata mereka dari golongan yang mempunyai kekebalan hati yang cukup kuat.
Daripada Eastern ke Western, roti, nasi, mee dan sebagainya, macam-macam ada di restoran mamak. Kadangkala dalam satu keluarga ada banyak jenis selera. Jika anda ke restoran lain, mungkin hanya selera Eastern saja yang ada. Inilah yang membuatkan mengapa orang lebih suka ke pasaraya besar berbanding kedai runcit kecil. Kerana apabila mereka ke pasaraya, semua barang yang mereka inginkan ada di sana. Mereka tak perlu ke beberapa kedai berasingan untuk mendapatkan kesemuanya.
Boleh dikatakan kebanyakan kedai mamak yang besar sudahpun menjalankan perniagaan mereka 24 jam. Perkara ini amat melegakan kebanyakan pelanggan. Waktu dan selera makan manusia ini pelbagai. Jika kita teringin untuk makan roti canai di tengah malam, di mana kita akan pergi jika tidak ke kedai mamak? Sehingga kita teringin makan nasi berlauk pun, kedai mamaklah tempatnya.
Jarang kelihatan mana-mana restoran yang terpaksa meletakkan kerusi dan meja tambahan di tempat meletak kereta, melainkan restoran mamak. Apabila anda datang, anda mempunyai 10 ke 20 tempat untuk dipilih untuk seisi keluarga. Sekiranya anda sekeluarga sedang berdiri untuk mencari tempat, pasti mereka akan segera datang dan membantu anda. Jika masih tiada tempat, mereka sudah bersedia dengan meja dan kerusi tambahan. Kadang kala penulis juga terasa bengang dengan sesetengah restoran lain yang sangat lemah dalam hal ini. Sudahlah penat menunggu akhirnya kita membuat keputusan untuk ke restoran lain, kerana rasa tidak dihargai.
Penulis bukanlah peminat TV dan bukannya hendak promote TV. Tetapi itulah hakikatnya antara sebab mengapa ramai orang datang ke kedai mamak. Semakin lama, semakin banyak kedai-kedai lain juga memasang TV besar. Mungkin mereka mula menyedari perkara ini yang menarik ramai pelanggan ke restoran mamak.
Restoran ini memasang skrin besar di tempat letak kereta di hadapan restorannya.
Demikianlah beberapa sebab mengapa ramai orang memilih untuk menjamu selera di restoran mamak. Apa pun sebabnya ingin penulis berkongsi sedikit perkara dalam hal makan di luar. Hakikatnya makan di luar ini, tidak kiralah restoran mamak atau restoran lain, bukanlah sesuatu yang bagus sangat. Lebih elok sebenarnya jika kita makan di rumah bersama keluarga.
Bahkan makan di luar ini juga sebenarnya mengurangkan taqwa. Seorang suami juga tidak boleh sewenang-wenangnya makan di luar sedangkan isterinya sudah masak makanan di rumah. Dari segi harga pun, boleh dikatakan harga makanan di kedai-kedai seperti ini amat tinggi. Lebih jimat sekiranya kita makan di rumah bersama anak dan isteri.
Kita tidak tahu sebenarnya apa bahan yang digunakan oleh mereka di dalam masakan mereka sebenarnya. Dari segi khasiat, kebersihan, kesucian dan kehalalannya. Pastinya akan ada perasaan yang berbeza sekiranya orang itu sering makan di rumah berbanding dengan orang yang sering makan di luar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan