Selasa, 17 April 2012

Taman Tasik Ampang Hilir

Pembukaan Taman Tasik Ampang Hilir sememangnya memberi alternatif kepada penduduk di kawasan Ampang dan sekitarnya untuk beriadah dan bersiar-siar bersama keluarga.Suasana taman yang penuh kehijauan di samping ketenangan air tasik mampu menggamit kehadiran pengunjung untuk ke sana.

Pintu masuk Taman Tasik Ampang Hilir.

Taman tasik itu telah mula dibuka kepada orang ramai sejak tiga tahun lalu. Ternyata sambutan yang diterima daripada orang ramai amat positif. Selain landskap tasik yang mendamaikan mata memandang, ia turut menyediakan pelbagai kemudahan untuk kegunaan pengunjung. Antaranya surau, tandas, gerai, kawasan permainan kanak-kanak, bangku duduk serta peralatan senaman individu.

Tasik Ampang Hilir.

Bagi penulis, persekitaran taman ini sangat menarik. Ia memang sesuai dijadikan destinasi riadah untuk keluarga. Cuma, buat masa ini gerai-gerai yang disediakan masih belum banyak dibuka. Ini secara tidak langsung membuatkan pengunjung perlu membawa air minuman sendiri untuk melepaskan dahaga selepas penat berjalan atau melakukan aktiviti kecergasan

Taman Permainan Kanak-kanak.

Taman Tasik Ampang Hilir yang berhampiran dengan kediaman penulis ini meliputi kawasan seluas kira-kira 16 hektar termasuk tasik seluas 12 hektar. Secara keseluruhan, terdapat 14 buah taman-taman rekreasi awam di sekitar Kuala Lumpur. Ia termasuk Taman Tasik Perdana, Tasik Titiwangsa, Tasik Permaisuri, Tasik Bukit Jalil, Tasik Manjalara, Tasik Metropolitan Batu, Tasik Metropolitan Kepong, Rimba Kiara, Datuk Keramat, Arboretum Bukit Kiara, Pudu Ulu dan Alam Damai.

Ada senam tari di dataran Tasik Ampang Hilir setiap petang minggu.

Apa yang pasti, pembukaan Taman Tasik Ampang Hilir memberi ruang kepada warga Ampang untuk beriadah bersama keluarga mereka.

Tiada ulasan: