Setelah didesakkan oleh isteri, penulis terpaksa berhari raya di rumah abang ipar di Jempol, Negeri Sembilan. Sebelum ini keluarga penulis cuma berhari raya di Ampang kemudian ke Sungai Besar sahaja. Bagi penulis, ada perbezaan berhari raya di Negeri Sembilan, terutama dari segi budaya dan makanannya. Sungguh menyeronokkan kerana ini merupakan satu pengalaman baru yang amat menarik bagi keluarga penulis.
Anak saudara, Kak Lin menjadi pemandu kami.
Kami bertolak dari Ampang pada jam 11 pagi dan sampai di Kuala Pilah pada jam 2 petang. Perjalanan agak lewat kerana mengalami kesesakkan jalan raya di sepanjang jalan Bukit Putus. Kami berehat sebentar di Pekan Kuala Pilah. Setelah selesai membeli beberapa batang lemang, kami terus bertolak ke Jempol yang jauhnya lebih kurang lima puluh kilometer sahaja
Anak penulis yang tertidur keletihan sepanjang perjalanan.
Kami sampai di rumah abang Zali tepat pada jam 3 petang. Ketika itu, keluarga abang Zali sedang sibuk berkemas rumah untuk persiapan hari raya. Manakala kami terus sahaja berehat kerana keletihan. Selepas berbuka puasa, penulis hanya menolong ala kadar, abang Zali berkemas rumah seperti membersihkan halaman dan memasang pelita. Isteri penulis pula membantu Kak Leha membuat kueh raya di dapur. Manakala anak dara penulis mengikut kakak-kakak saudaranya bershoping baju raya di Bandar Bahau.
Waktu berbuka puasa.
Pada keesokkan harinya, setelah mandi sunat hari raya, keluarga penulis memakai sedondon baju yang berwarna biru dan mengikuti abang ipar ke Masjid daerah Jempol untuk bersembahyang sunat hari raya Aidilfitri. Difahamkan masjid ini baru sahaja siap dibina dan boleh memuatkan lebih lima ribu jemaah. Ketika sampai, masjid sudah dipenuhi oleh jemaah untuk bersembahyang sunat hari raya. Maklumlah ramai yang balik kampung.
Setelah bersembahyang sunat hari raya, kamipun bermaaf-maafan dengan keluarga abang ipar. Suasana menjadi riuh rendah, syahdu dan amat meriah sekali kerana keluarga abang ipar agak ramai dengan penuh gurau sendanya. Penulis cuba merakam suasana yang menarik itu tetapi malangnya lens kamera penulis tidak boleh berfungsi. Hampir kesemua foto yang diambil kelihatan blur semacam sahaja. Frust betul kerana tidak dapat merakamkan suasana menarik itu tambah-tambah lagi pemandangan perkampungan di Negeri Sembilan yang amat menarik. Penulis seolah-olah berada di Kota Tinggi, Sumatera, Indonesia. Sepanjang hari itu, penulis asyik membelik kamera sehinggalah ditegur oleh abang ipar... he...he... Ketika itu, mood hari raya penulis sudahpun hilang!
Bergambar beramai-ramai sebelum kerumah saudara mara untuk berhari raya.
Selepas selesai sesi bergambar, kami semua ke Rembau untuk berhari raya di rumah ibu mertua kak Leha pula. Sungguh meriah berhari raya di rumah pusaka ini kerana adik beradik Kak Leha yang ramai itu semuanya pulang ke kampung sehingga ibu mertua Kak Leha terpaksa mendirikan khemah untuk menampung kedatangan saudara-mara yang ramai. Suasasa seperti majlis perkawinan. Bermacam-macam hidangan disediakan seperti lemang, rendang, soto, mee sup, nasi beriani dan kueh-mueh.
Selepas kami kekenyangan menjamu selera di Rembau, kami beramai-ramai ke rumah kakak ipar di Bukit Rokan pula. Di sini kami lagi sekali di jamu dengan mee sup berasap yang sungguh power. Walaupun perut kami masih lagi kenyang, tetapi kami tetap melantak juga hehe... kata orang, rezeki jangan di tolak... Bukannya selalu, hanya setahun sekali jerk. Setelah bermaaf-maafan dengan keluarga kakak ipar, kami sekeluarga ke pusara bapa mertua untuk membersihakan kubur dan sedekahkan surah Al-Fatihah kepada allahyarham. Haripun semakin gelap, kamipun pulang semula ke Jempol. Di sebelah malam kami hanya berehat sambil menonton siaran tv. Manakala keluarga abang Zali dan Kak Leha melayan tetamu datang beraya ke rumahnya.
Melantak mee sup power di rumah Kak Ngah Piah.
Pada hari raya kedua, kami bercadang-cadang hendak beraya di rumah abang ipar yang sulung di Kuala Pilah. Tetapi cadangan itu terpaksa ditunda kerana Abang Zali menerima sms dari kakak iparnya yang memberi tahu beliau akan akan datang bersama anak menantunya beramai-ramai. Kami terpaksalah menunggu dan menyediakan masakan tengahari untuk mereka. Ketika melayan tetamu, penulis pula menerima SMS sedih dari Tok Ciakz yang mengatakan rakan pejabat kami, iaitu en. Mohd Razuan Hassan telah kembali ke Rahmutullah kerana serangan sakit jangtung. Berita ini sungguh memeranjatkan, kerana baru hari Khamis yang lalu penulis berurusan tentang kerja dengan beliau. Al-Fatihah untuk allayarham Mohd. Razuan.
Membakar sate hingga ke pagi.
Setelah keluarga kakak ipar pulang, kami berehat sebentar. Tepat jam 5 petang, kami bertolak ke rumah Abang Long di Kuala Pilah. Abang Long merupakan seorang pesara tentera yang suka bercerita. Kami terpaku mendengar ceritanya yang kelakar. Salah satu cerita yang menarik ialah tetang beruk yang dibelanya. Menurutnya, beruknya itu akan diberi minuman air coca cola, diberi makan dua biji telor setengah masak dan sebiji buah epal sebagai upah memetik buah kelapa. Kami ketawa terbahak-bahak apabila mendengarnya...
Setelah selesai bersembahyang Magrib di rumah Abang Long kami harus segera pulang ke Jempol kerana kami difahamkan ada tetamu istimewa sedang menunggu di sana. Kami suspen juga siapakah tetamu istimewa tersebut. Rupa-rupa keluarga besar Atih Tipah sedang menunggu. Suasana bertambah meriah kerana Atih Tipah datang bersama anak menantu serta cucu-cucunya. Sehinggakan segenap ruang di rumah Abang Zali dipenuhi dengan keluarga Atih Tipah ini. Suasana menjadi riuh rendah apabila keluarga ini berborak dan bergurau senda sesama mereka. Sepanjang malam tersebut, aktiviti kami hanya membakar dan memakan sate sahaja....
Keesokkan pagi kami akan pulang ke Ampang dan bersiap sedia pulang Sungai Besar pula....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan