Rabu, 14 Mei 2014

Nasi Ayam & Sup Meletup Bandar Tun Razak

Sup Meletup di Bandar Tun Razak, Cheras sentiasa menjadi pilihan kami suami isteri. Kedudukannya yang tidak berapa jauh dari kediaman penulis menjadikannya lokasi menarik untuk dikunjungi. Selain popular dengan sup meletupnya, terdapat juga nasi ayam yang dijual seawal 10 pagi sehinggalah lewat malam.
Medan Selera Bandar Tun Razak
Salah satu menu yang paling penulis dan isteri minati adalah Nasi Ayam dan Nasi Goreng Ayam mereka. Kenapa agaknya yer? Sebenarnya, penulis lebih suka makan Nasi Ayam daripada Nasi Goreng Ayamnya. Namun, tiada perbezaan sangat pada kedua-dua menu ini kecuali nasinya sahaja yang digoreng. Namun kedua-dua menu ini memang sedap dan terbaik.
Gerai Sup Meletup Bandar Tun Razak.
Penulis sukakan daging ayamnya. Nasi ayamnya menepati cita rasa kami. Manakala daging ayamnya digoreng dengan sempurna serta sosnya yang pekat memang merupakan hidangan yang hebat!. Nasi ayamnya juga amat memuaskan, banyak dan sedap. Selalunya penulis akan makan nasi ayam si sini sehingga licin.
Nasi Ayam Sup Meletup!...
Ada satu lagi bahan sebagai penambah selera. Apa lagi, jika bukan kuah Sup Meletupnya yang menjadi buah mulut masyarakat sekitar. Jika anda merasakan kuah sup mereka tidak mencukupi, jangan malu, minta sahaja sup tambahan, pastinya mereka akan berikan satu sup kosong dengan mangkuk yang besar. Panas, berasap dan berwap-wap lagi.
Nasi Ayam.
Jika dimusim hujan dan jika anda menghirup sup ini, memang satu kenikmatan yang tidak terkata. Itu sahaja yang dapat penulis kongsikan. Jika anda semua ada masa, datanglah ke gerai ini. Bagi yang hendak mencari gerai ini, silahlah ke Medan Selera Bandar Tun Razak yang terletak di belakang Stesen Minyak BP dan berhadapan puladengan Pasaraya Pak Aji.

Isnin, 12 Mei 2014

Masjid Jamek Kampung Baru dalam Pengubahsuaian

Hari Jumaat minggu lepas, penulis sempat bersolat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Baru. Sebelum waktu Sembahyang Jumaat tiba, penulis sempat merayau-rayau di Bazar di sebelah Masjid Jamek Kampung Baru sambil menyaksikan kerenah para pembeli dan peniaga di situ.
Bangunan lama Masjid Jamek Kampung Baru dalam pengubahsuaian.
Ada gerai Nasi Beriani gam di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru.
Penulis dapati, ramai yang berniaga makanan dan tidak kurang juga yang berniaga pakaian, minyak wanggi dan ubat-ubatan tradisional. Penulis dapati peniaga di bazar ini tidak semeriah seperti bazar di Masjid Negara. Mungkin disekitar Masjid Jamek kampung Baru ini sudah banyak warung, gerai dan restoran yang menyediakan menu makanan yang sedap lagi terbaik. Disebabkan itu tidak ramai peniaga makanan di sini.
Boleh tahan sedap juga nasi Beriani Gam Ayam.
Tempat mengambil air sembahyang yang agak merbahaya.
Penulis cuma berehat sekejap dan sempat merakamkan beberapa keping menarik di bazar tersebut. Tiba-tiba penulis terlihat ada sebuah gerai yang menjual nasi beriani gam di hadapan masjid. Kebetulan perut tengah lapar, penulis pun order sepingan Nasi Beriani Ayam. Alhaamdulillah, nasi beriani dia memang terbaik dan sedap. Selesai sahaja makan nasi beriani, azan Jumaat pun berkumandang. Penulispun terus menuju ke dalam masjid.
Bahagian belakang bangunan tambahan masjid.
Pemandangan bangunan tambahan Masjid Jamek Kampung Baru.
Tiba di bangunan masjid, rupa-rupanya penulis masuk melalui pintu belakang bangunan tambahan masjid. Agak sukar hendak mencari tempat wuduk di situ. Mujurlah di dalam bangunan lama masjid masih ada paip air yang masih berfungsi. Namun di dalam masjid tersebut agak merbahaya kerana masih dalam pengubahsuaian. Manalah tahu, ketika sedang mengambil air sembahyang, tiba-tiba bumbung runtuh. Buat masa ini bangunan lama Masjid Jamek Kampung Baru sedang dalam kerja-kerja ubah suai bangunannya.
Khatib membaca khutbah dari aras tiga.
Gerai barangan kulit.
Penulis bersembahyang di belakang bangunan tambahan masjid yang hampir siap dibina. Penulis dapati bangunan tambahan ini mengandungi pejabat pentadbiran, ruang dapur, bilik pengurusan jenazah, kelas-kelas dan dewan kuliah. Kini, hanya bangunan lama masjid sahaja belum siap sepenuhnya. Ianya masih lagi dalam pembinaan. Keseluruhan projek ubah suai Masjid Jamek Kampung Baru ini dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun ini. Difahamkan kos ubahsuai bangunan masjid ini sebanyak RM20 juta.
Suasana selepas sembahyang Jumaat.
Suasana di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru.
Selesai sahaja bersolat Jumaat, penulis singgah kembali ke bazar sekali lagi. Di bazar tersebut, rupa-rupanya ada peniaga yang menjual cermin mata. Penulis memang sedang mencari cermin mata. Cermin mata yang penulis beli di kedai cermin mata dengan harga agak mahal, kebanyakkanya sudah pecah atau patah. Harga cermin mata di sini cuma rm10.00 sahaja. Apa lagi penulis pun borong sampai tiga lah!...
Gerai Cermin Mata.
Gerai Cendol menjadi tumpuan ramai.
Ada cendol sedap di hadapan masjid jamek ini. Penulis dapati di gerai cendol ini dikerumuni ramai semata-mata hendak beli cendol. Penulis rasa sudah tentu cendol ini memang sedap. Jika korang hendak cuba datanglah ke Masjid Jamek Kampung Baru dan gerai-gerai disini hanya beroperasi sempena solat Jumaat sahaja.

Jumaat, 9 Mei 2014

Pekena Rojak Mamak Bandar Tun Razak

Selepas membayar pelbagai bil di Pos Malaysia, perut penulis terasa lapar. Semasa dalam perjalanan pulang, penulis ternampak sebuah gerai mamak. Sebuah lori/gerai bergerak yang berniaga rojak dan cendol di tepi jalan. Penulispun singgah untuk mengisi perut.
Tauke gerai mamak rojak sibuk melayan pelanggannya.
Yang menariknya, sebelum penulis mematikan enjin motosikal untuk parking motosikal, mamak itu sudah bertanya kepada penulis “encik mau makan ke bungkus?” penulis jawab “makan". Mamak itu bertanya lagi “encik mau makan rojak biasa atau sotong? penulis kata “nanti, biarkan saya duduk dulu”. Pergh.... begitu hebat sekali layanan mamak tersebut terhadap pelanggannya.
Warung mamak sebelum waktu puncak.
Sementara menanti pesanan tiba, penulis sempatlah merakamkan beberapa keping gambar menarik di gerai ini. Jom! kita layan gambar suasana menarik gerai rojak di Bandar Tun Razak ini yang pelanggannya terdiri dari berbagai bangsa.

Pekerja sedang membuat rojak.
Penulis sampai sebelum lunch time jadi, rojak dan cendolnya masih banyak lagi. Jika penulis datang di waktu puncak, khabarnya semua tempat duduk akan dipenuhi dengan pelanggan-pelanggannya. Pelanggannya memang ramai diwaktu lunch time. Oleh itu, tidak hairanlah tauke mamak ini ada lima orang pekerja. Dua orang lelaki dan tiga orang perempuan.
Rojak Sotong.
Siapa yang sukakan rojak dan cendol mamak? Jika ada rojak mamak mesti ada cendol. Rojak dan cendol memang saling melengkapi. Jika disebut rojak dan cendol, pelbagai bangsa dan kaum mengemari makanan ini. Makanan seperti rojak ini ada pelbagai jenis tetapi rojak mamak juga yang digemari orang ramai.
Cendol.
Mamak ini sudah lama berniaga di sini. Cuma ini kali pertama penulis singgah ke gerai ini. Rojaknya menjadi tumpuan orang ramai kerana rasanya yang sedap. Rojak ini menjadi sedap kerana dilengkapi dengan ramuan seperti cucur udang, tauhu, taugeh, telur rebus, sengkuang dan timun. Tetapi, bahan utama yang menjadi tarikan orang ramai ialah kuahnya.
Gerai Rojak Mamak di Bandara Tun Razak.
Kepada anda yang belum mencuba, jom lah singgah ke Bandar Tun Razak. Bersebelahan dengan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur atau berhadapan dengan Sekolah Sains Selangor. Dilain hari, penulis bercadang hendak makan Rojak Sotong dan Cendol di sini lagi. Tidak puas rasanya makan makan rojak itu hari. Harga untuk Rojak Sotong dan Cendol cuma RM 8.00 sahaja.

Khamis, 8 Mei 2014

Pekena Nasi Arab AFC

Penulis sudah seperti wartawan Jalan-Jalan Cari Makan pula. Entah kenapa semenjak kebelakangan ini penulis asyik menulis tentang makanan sahaja. Mungkin hanya ada cerita tentang makanan sahaja di kepala penulis sekarang. Kebetulan pula, semalam penulis makan nasi arab di Restoran Nasi Arab AFC di Taman Greenwood, Gombak. Taman Greenwood ini tidak berapa jauh atau tidak berapa dekat dengan kediaman penulis di Ampang. Jika memandu, jika tiada kesesakkan di jalan raya, setengah jam sudah sampai ke lokasi.
Restoran Nasi Arab AFC.
Apa maksud AFC? Nama seperti Asian Football Club. Tetapi AFC ini tiada kena-mengena dengan mana-mana kelab dan pasukan bolasepak. AFC adalah singkatan untuk “Al-Amin Food Corner”. Macam mana penulis tahu? Memang sudah terang-terang tertulis di papan tanda restoran itu. Pada mulanya penulis hendak snap gambar papan tanda restoran, tetapi penulis segan pada pelanggan-pelanggan yang lain. Nanti mereka ingat wartawan dari stesen tv mana pula.
Suasana di dalam Restoran Nasi Arab AFC.
Berdasarkan stiker JJCM di pintu masuk, rupa-rupanya restoran ini penah dikunjungi oleh krew TV3 untuk rancangan Jalan Jalan Cari Makan. Sebuah program rancangan makanan yang sangat popular dan digemari ramai temasuklah penulis sendiri. Semenjak berita restoran ini keluar di program JJCM TV3 tahun lepas, restoran ini semakin popular dan dikunjungi ramai. Penulis sendiri pun sudah lama hendak makan nasi arab di restoran ini tetapi hanya semalam hajat itu tercapai.
Susu Kambing, Minyak Biji Anggur dan Jus Delima ada dijual di restoran ini.
Walaupun restoran ini mempunyai 2 lot kedai tetapi ruang di dalamnya masih agak kecil. Mungkin disebabkan lot kedai di Taman Greenwood ini agak kecil. Walaupun sudah mempunyai 2 lot kedai pun masih kelihatan kecil. Walaupun kecil, tetapi masih lagi selesa untuk pelanggan makan bersama keluarga. Terdapat dua pilihan tempat duduk di restoran ini, penulis duduk di kawasan yang ada berhawa dingin sebab cuaca panas di luar.
Air suam dan Air Teh Arab Daun Pudina.
Apabila masuk ke dalam kita akan disambut oleh pelayan restoran dengan senyuman. Selepas di persilakan duduk, pelayan tersebut akan segera menghulurkan menu. Alhamdulillah, servis nya pantas, penulis tidak perlu menunggu lama. Tidak sampai sepuluh minit Teh Arab Daun Pudina yang di pesan telah sampai di meja penulis. Apabila di layan sebegini, pelanggan sudah tentu lah berasa gembira. Apabila mereka berpuas hati, sudah tentulah mereka akan datang lagi.
Daging kambing Goreng.
Penulis hendak mencuba menu Nasi Arab Daging Kambing Goreng. Khabarnya restoran ini sedang membuat promosi untuk Daging Kambing Goreng yang berharga cuma RM10.00 sahaja. Penulis pun order Daging Kambing Goreng bersama Teh Arab. Dalam masa 10 minit menunggu. menu yang penulis pesan tadi telahpun tiba. Penulis pun kehairanan, kenapa mereka hanya menghidangkan Teh Arab bersama Daging Kambing Goreng sahaja.
Nasi arab yang dinanti akhirnya tiba.
Dengan sabar penulis menunggu nasi arabnya tiba. Setelah lebih kurang 15 minit menunggu, nasi arab tidak juga sampai-sampai. Penulis pun bertanya kepada salah seorang pelayan restoran tersebut. Dik, mana nasi arabnya? Pelayan itu kata “ Encik, promosi ini hanya untuk Daging Kambing Goreng sahaja”. Rupa-rupanya nasi arab, sambal dan kuah sup kena order lain. Erggg.... apa laa... lain kali cakaplah awal-awal, penat penulis menunggu macam orang bodoh pula... Pui!!
Nasi Arab dengan Daging kambing Goreng.
Nasi arab ini agak sedap dan amat istimewa dari nasi-nasi yang lain kerana beras yang digunakan adalah beras basmathi (jenama Jasmin). Jadi, apabila menggunakan beras ini memang berbaloilah makan nasi arab di restoran ini. Penulis pernah makan nasi dengan harga yang mahal tetapi beras yang mereka gunakan adalah beras biasa-biasa sahaja. Jadi, tidak berbaloi rasanya dengan harga yang di tawarkan.
Tapau Nasi, Arab Ayam Berempah.
Harga makanan di restoran ini memang berbaloi dan rasa makanan arabnya yang boleh di katakan sama sahaja dengan mana-mana restoran nasi arab popular yang penulis pernah makan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor walaupun pekerja dan tukang masak adalah orang Jawa berketurunan Melayu.

Rabu, 7 Mei 2014

Sesekali Lepas Geram!...

Tiba-tiba sahaja perut penulis terasa lapar. Kebetulan penulis berada di Cheras. Penulis pun singgah makan Udang Galah atau Nasi Ayam Kampung di salah sebuah gerai makan di Medan Selera, Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur. Sebenarnya gerai-gerai makan di medan selera ini lebih terkenal dengan Nasi Ayam Kampung dan masakan ala Kelantannya.
Medan Selera DBKL Velodrom, Cheras. KL
Orang ramai sedang memilih lauk.
Hanya di gerai ini sahaja yang menyediakan menu istimewa iaitu masakan yang berasaskan Udang Galah. Ada dua ketogori Udang Galah di sini iaitu Udang Galah Liar dan Udang Galah Sangkar. Udang Galah liar agak mahal iaitu boleh mencecah RM60.00 seekor. Manakala harga Udang Galah Sangkar mengikut saiz. Udang Galah sangkar ada yang bersaiz kecil, sederhana dan besar. Harganya pula bermula dari RM25 sehinggalah RM35 seekor.
Lauk pauk yang menyelerakan. Penawar buat penyakit Ghaot he..he...
Udang Galah masak sos dan masak lemak cili api.
Penulis melepaskan geram dengan mengambil seekor Udang Galah yang bersaiz paling besar. Walaupun harganya agak mahal, tetapi penulis tidak kisah kerana sudah teringin sangat hendak makan Udang Galah. Walaupun sudah kenyang breakfast di pejabat, tetapi hendak juga makan makan tengahari di medan selera itu semata-mata hendak makan Udang Galah punya pasal. Lagipun bukan selalu dapat makan Udang Galah ni. Hanya setahun sekali sahaja. Lainlah jika dapat makan free atau ada orang belanja, setiap haripun boleh... he...he...
Ikan bakar pun ada.
Pelbagai menu selera kampung yang menyelerakan.
Udang Galah yang bersaiz besar, isinya banyak sehingga kakinya pun ada banyak isi. Pada hari itu penulis makan seekor Udang Galah yang dimasak sos, sepinggan sayur masak lemak, ulam-ulaman dan seketul ayam kampung goreng. Penulis memang puas hati. Insyallah, jika ada rezeki lebih, lain kali penulis akan singgah lagi....
Medan selera di sini popular dengan ayam goreng kampungnya.
Lepas geram. Makan udang galah yang paling besar sekali.
Ramai rakan-rakan sepejabat yang bertanya, gerai makan ini terletak di mana?. Sebenarnya gerai ini terletak di Medan Selera DBKL Bandar Tun Razak. Medan selera ini yang berhampiran dengan Velodrom Lumba Basikal Kuala lumpur. Gerai sentiasa menjadi tumpuan untuk orang ramai makan tengahari. Kebanyakan gerai di sini menjual Nasi Ayam Kampung. Cuma hanya gerai ini sahaja yang menjual menu masakkan Udang Galah.

Selasa, 6 Mei 2014

Sate Pak Arab?

Penulis ada mesyuarat kelab di Petaling Jaya pada hari Sabtu yang lalu. Semasa dalam perjalanan pulang, hujan turun dengan lebatnya di lebuhraya yang berhampiran dengan Bandar Tun Razak. Penulispun singgah dan berteduh di sebuah Medan Selera di situ. Sementara menanti hujan berhenti, penulis pun memesan Sate dan soto di salah sebuah gerai di medan selera tersebut..
Medan Selera Bandar Tun Razak.
Aroma dari Sate Pak Arab ini amat menyelerakan penulis. Tanpa membuang masa, penulispun memesan satu set sate iaitu 5 cucuk sate ayam dan 5 cucuk sate daging. Secucuk sate berharga 80sen, ada ayam dan daging. Satenya ada rasa kemanisan rempah perapan dan kemanisan daging/ayam itu sendiri, dibakar dengan sempurna, memang enak dimakan begitu sahaja.
Gerai Sate Pak Arab.
Tidak lengkap sate jika dimakan tanpa kuah, kuah kacangnya memang sedap. Jika anda membeli sate secara bungkus, anda akan mendapat kuah yang banyak. Yang kelakarnya, satenya sudah habis anda makan tetapi kuahnya masih banyak lagi. Anda pasti berpuas hati kerana nasi impit, bawang dan timun juga diberi banyak.
Sate Pak Arab.
Sate Pak Arab ini didatangkan sekali dengan kuah + timun + bawang. Nasi impit sepeket RM1, sesuai untuk makan 2 orang. Sate Pak Arab ini hanya ada sate ayam dan sate daging sahaja. Tetapi apabila makan sate ayam dia memang berpuas hati kerana tiada lemak diantara ketulan ayamnya.
Segelas Teh O dan Soto Ayam.
Sementara menanti sate tiba, penulis memesan Soto Ayam. Di sini, juga menjual Soto Ayam berserta kuah yang pekat, carikan ayam, tauge, nasi impit dan dicampur pula dengan sambal kicap. Penulis memang suka makan soto ini dengan sate. Nasi impit di dalam soto itu, yang sudah bergabung mesra dengan kuah sup dia. Selepas itu dicelup pula dengan kuah kacang sate... pergh.... amat menyelerakan.. nyum..yum....
Soto Ayam.
Gerai Sate ini terletak di medan selera di belakang stesen BP Petrol Bandar Tun Razak, di hadapan Pasaraya Pak Aji. Anda boleh juga membuat tempahan sate tetapi kena datang awal seawal jam 5 petang. Penulis tidak pasti dia buka jam berapa kerana penulis jarang datang ke medan selera ini. 

Isnin, 5 Mei 2014

Spider-Man2

Mampukah manusia hidup dalam kegelapan dan masa silam? Itulah perkara yang membelenggu fikiran penulis ketika menonton filem yang penuh aksi ini. Seperti filem-filem Spiderman yang pernah ditayangkan sebelum ini, filem The Amazing Spider-Man 2 masih lagi mengekalkan jalan cerita berdasarkan komik asal dan tidak lari dari cerita sebenar
Menonton Spiderman di MBO Ampang.
Dengan menampilkan pelakon terkemuka seperti Andrew Garfield, Emma Stone, Dane De Haan dan Jamie Fox, filem yang memulakan tayangannya pada 1 May 2014 yang lalu, sudah pasti dapat menarik peminat segenap masyarakat. Jika anda masih ingat, dalam filem The Amazing Spiderman terdahulu memaparkan penamat yang begitu meruntum jiwa dengan kematian bapa kepada Gwen.
Teket menonton spiderman....
Kali ini, Peter Parker masih lagi dilanda konflik jiwa apabila dia tidak dapat melupakan kematian bapa kekasihnya, Gwen Stacy hingga terbawa-bawa bayangan lelaki itu kemana saja. Oleh kerana itu, perasaan yang ada terpaksa dipendam dek kerana janji yang pernah dibuat kepada mendiang bapa Gwen sekaligus menyebabkan pergolakan hubungan mereka semakin serius.
Foster Spiderman - Foto Google
Malah, kali ini, Peter bukan hanya berseronok berayun di antara bangunan pencakar langit bersama kekasihnya, Gwen Stacy, tetapi turut berdepan dengan musuh lebih kuat iaitu Elektro dan sahabat lamanya, Harry Osborn. Konflik bermula apabila Max yang begitu obses dengan Spiderman terkena renjatan elektrik dan jatuh ke dalam tangki belut listrik sewaktu membaiki kerosakan yang berlaku di makmal tempat kerjanya.
Spiderman - Foto Google
Nasib tidak menyebelahi Max apabila dia mula berubah dan mempunyai kuasa untuk menyerap kuasa elektrik dan berubah menjadi Elektro. Dia kemudiannya merayau ke kawasan tumpuan dan menimbulkan kebimbangan orang ramai termasuklah Spiderman. Pada awalnya, Max cuba untuk meminta pertolongan Spiderman terhadap apa yang terjadi. 

Bagaimanapun, tindakan seorang anggota polis yang melepaskan tembakan ke arahnya, menyebabkan dia berang serta menganggap Spiderman bersubahat dengan anggota polis untuk memerangkapnya. Dari situlah bermulanya kebencian Max ataupun Elektro kepada Spiderman. Konflik bertambah apabila sahabat baik Peter, iaitu Harry menginginkan darah Spiderman untuk merawat penyakit ganjil yang dihidapi, namun permintaannya tidak berhasil
Hero dan heroin - Foto Google
Akibat marah dan dendam, Harry telah berusaha mencari Elektro dan bergabung tenaga untuk mengalahkan Spiderman. Lebih menarik, filem ini turut mendedahkan tentang identiti sebenar ibu bapa Peter dan kaitannya dalam Oscorp Industries hingga bapanya disingkirkan. 

Padat dengan cinematografi yang tidak kurang hebatnya, filem arahan Marc Webb ini dilihat mampu menarik perhatian para pencinta peminat Marvels. Nak tahu lebih lanjut? Kenalah menonton filem ini sendiri, dan anda pasti tidak akan hampa dengan jalan ceritanya yang penuh adegan mendebarkan. Jadi, apa tunggu lagi, jom serang panggung yang berdekatan sekarang!....

Sumber Sinopsis: Oh! Bulan...