Isnin, 2 November 2009

Bas Mini Dalam Kenangan

Ketika penulis bertugas di Muzium Negara dahulu, hampir setiap hari menaiki bas mini dari Jalan Silang ke Bangsar. Ketika itu bas mini adalah zaman kenangan manis bagi penulis. Bayangkanlah ketika hendak menaiki bas, kami pasti berebut-rebut dan kemudianya berhimpit-himpit pula di dalam bas. Ketika berhimpit-himpit itulah, kadang-kadang penulis terasa benda yang lembut ataupun benda yang keras. Manakala baunya bermacam-macam jugalah. Ada yang bau wangi, masam dan hanggit. 

Pada mulanya harga teket bas mini berharga 30 sen, kemudiannya dinaikkan 50 sen dan 60 sen.

Manakala bas pula dipandu dengan cara yang merbahaya serta laju tanpa memikirkan keselamatan para penumpangnya. Pernah sekali penulis hampir terjatuh dari dari bas mini yang bergerak laju. Penulis hanya berpaut sebelah tangan dan sebelah kaki di pintu bas mini. Penulis sudah rasa cemas, seperti hendak terjatuh tetapi mujurlah ada seorang penumpang memegang tangan penulis dan menariknya ke dalam bas. Penulis tidak dapat bayangkan jika terjatuh dari bas mini tersebut. Sudah pasti penulis tercedera atau telahpun meninggal dunia. Syukur alhamdulilah kepada Allah SWT kerana memanjangkan nyawa hambanya ini.

Manaka konduktor bas mini pula bermacam-macam ragam. Ada yang garang dan ada yang lucu. Pengalaman penulis menaiki bas mini ke tempat kerja Bangsar, ada satu dialog abang konduktor yang penulis tidak lupa ialah “masuk-masuk... masuklah sampai ke dapur, jangan malu-malu.”. Kadang kala katanya. “masuklah, jangan buka kasut.” Ada seorang konduktor bas perempuan (yang agak garang) pula berkata “masuk lagi, abang! masuklah dalam-dalam.” Ada seorang penumpang lelaki pula menjawab. “abang sudah tidak tahan lagi ni, sudah terhimpit.

Bas mini adalah zaman kenangan manis bagi penulis.

Selalu juga penulis mendapat teket percuma. Apabila konduktor menghampiri penulis, penulispun buat muka selamba dan tidak tahu sahaja. Jadi, konduktor bas itu pun menjadi keliru sama ada penulis sudah membeli teket ataupun belum. He... he... kelakar, nakal juga penulis pada masa itu. Pada mulanya harga teket bas mini berharga 30 sen, kemudiannya dinaikkan 50 sen dan 60 sen. Sebelum perkhidmatan bas mini digantikan dengan syarikat Intrakota, harga tiketnya adalah 70 sen.

Apabila penulis berkerja di DBP, penulis tidak menaiki bas mini lagi sebab sudah membeli sebuah motosikal baru.

Khamis, 29 Oktober 2009

Jalan Silang, Dulu dan Kini

Jalan Silang adalah nama sebuah jalan di Kuala Lumpur yang terletak berhadapan pasaraya Mydin, bersebelahan Bangunan Cahaya Suria dan di belakang kompleks Kota Raya.

Hadapan Pasaraya Mydin.

Pada akhir tahun 80-an, penulis sudah biasa dengan kawasan ini kerana ianya terletak stesen bas di mana semua bas awam dan dan bas mini ketika itu berhenti untuk menurunkan penumpang yang hendak ke pusat bandar. Lagipun pada masa itu manalah ada LRT, komuter atau monorel. Jika hendak ke pusat bandar, cuma ada tiga pilihan, iaitu naik bas awam, teksi atau yang paling terkenal sudah tentulah bas mini. Jika penuli hendak bershoping, cuma ada tiga pasaraya yang terkenal iaitu Kompleks Pertama, Kompleks Campbell atau jika hendak mewah sedikit di Plaza Sungai Wang

Perhentian bas di Jalan Silang.

Bercerita mengenai Jalan Silang, pada tahun 1988 hingga 1990 yang lalu, di sinilah tempat persingahan penulis naik atau turun bas ke tempat kerja. Pada setiap hari minggu, penulis perhatikan tempat ini dipenuhi dengan pelajar-pelajar yang hendak ke kelas tiusyen, merayau atau berdating. Pada masa itu McDonald di Jalan Silang ini menjadi tempat persingahan utama jika mereka hendak berdating dan bertemu janji dengan pasangan masing-masing.

Mc Donald di Jalan Silang.

Selepas jumpa awekz di McDonald, selalunya ia akan berakhir di panggung wayang Rex yang terletak di hadapan Kotaraya Kompleks. Menurut rakan penulis yang suka berdating, ketika itu RM20 sudah mencukupi untuk keluar dating dengan awek. Kata mereka, tiket wayang dua orang cuma RM10. Di McDonald, jika sekadar makan beef burger dengan coke baru tujuh atau lapan ringgit. Tambang bas mini pergi dan balik baru seringgit, pasti mencukupi katanya

Pawagam Rex kini sudah menjadi hostel.

Kini Jalan Silang masih lagi seperti dulu, sibuk dan hingar bingar.

Cuma bezanya Jalan Silang kini sudah dikenali sebagai Little Yangoon, semuanya kerana ia kini dipenuhi dengan mamat-mamat Myanmar yang bersepah lepak di situ. Jika pada hujung minggu, Jalan Silang ini sudah tidak seperti negara kita. Tempat ini dipenuhi orang Filipina, Vietnam, Bangladesh, Indonesia dan semestinya, Myanmar

Ternyata zaman telah berubah, manusiapun berubah, tetapi Jalan Silang masih kekal dengan imejnya yang tidak pernah ubah-ubah!

Rabu, 28 Oktober 2009

Cuba-cuba Ambil Gambar Pengantin

Cuti persekolahan akan bermula tidak lama lagi. Apabila musim cuti persekolahan bermula nanti, ramai yang akan mengadakan majlis perkahwinan anak-anak mereka. Pada masa inilah, waktu yang paling sibuk buat seorang juru foto pengantin.

Malam berninai.

Pose istimewa dari pengantin.

Comel Nani pada malam tu.

Nani dan Abey E.

Hobi mengambil gambar ini adalah hobi lama penulis. Semenjak dibangku sekolah lagi penulis sudah suka mengambil gambar dan menyimpan gambar. Tetapi ketika itu penulis tidak mampu membeli kamera mahal. Dahulu kamera semuanya menggunakan filem tetapi kini, hanya menggunakan memori kad sahaja... zaman digital lah katakan!

Macam gaya harimau pula pengantin ni.

Pose maut.

Makan beradap.

Hadapan rumah pengantin perempuan.

Pada zaman 80an dulu, kakak penulis ada membeli sebuah kamera berjenama Canon outomatik. Ketika itu penulis ada curi-curi menggunakannya tetapi dia pasti tahu apabila mencuci filemnya. Itu dulu, tidak seperti sekarang, kita boleh buang on the spot mana-mana shoot yang tidak menjadi, sungguh senang!

Gaya istimewa di atas pelamin.

Di jeti Bagan Datok.

Di jeti Bagan Datok.

Pose maut dari pasangan pengantin.

Pada hari Sabtu yang lepas, penulis sebagai backup fotoghrapher untuk seorang rakan. Bermula dari majlis malam berinai, majlis persandingan dan hinggalah pengantin hendak membuat shoot outdoor di jeti Bagan Datok. Penulis follow sahajalah sambil mencuba kamera yang baru dibeli iaitu Canon EOS 1000D+18-55 mm kitlens.

Sesi outdoor di tepi pantai Bagan Datok.

Pengantin perempuan ni sudah macam Elyana lah pula.
Salah satu pose istimewa dari pengantin.

Bagaikan puteri bunian.

Pada mulanya hanya mengambil gambar pengantin ini hanya sekadar hobi sahaja. Tetapi sejak akhir-akhir ini sudah semacam hendak menjadi serius pula. Ada juga permintaan, tetapi penulis terpaksa menolak kerana tidak berkayakinan lagi. Takut pelanggan tidak puas hati pula. Tetapi tidak mengapalah, penulis cuba cari pengalaman dulu.

Selasa, 27 Oktober 2009

Bila Lelaki Berambut Panjang

Pagi tadi, penulis terbaca sebuah majalah, penulis tertarik dengan sebuah artikel yang disiarkan. Di dalam artikel itu ada menyatakan tentang penampilan seorang lelaki yang berambut panjang.

Penulis ketika berambut panjang?

Bagi penulis, kebanyakkan lelaki di Malaysia tidak suka berambut panjang. Penulis lebih suka dengan gaya rambut panjang seperti penyanyi Faizal Tahir. Faizal Tahir kelihatan smart dengan emejnya seperti itu. Tetapi, penulis tidak suka dengan gaya rambut panjang seperti kebanyakkan penyanyi rock. Ianya kelihatan seramai dan selekeh.

Seumur hidup penulis, pernah sekali penulis menyimpan rambut panjang. Ketika itu, selepas sekolah menengah. Satu tahun tidak memotong rambut dan hasilnya rambut penulis memcecah hingga ke bahu. 


Rambut panjang Faizal Tahir.

Bukan tiada duit hendak memotong rambut, tetapi sengaja suka-suka sebab terpengaruh kawan-kawan yang berambut panjang. Sudah menjadi satu trend ketika itu kerana pengaruh musik rock yang sangat kuat. Kumpulan musik rock seperti Search dan Wings menjadi idola kebanyakkan remaja. Peminat mereka berambut panjang termasuklah penulis sendiri. 

Oleh kerana tuntutan disiplin kerja, akhirnya penulis terpaksa mengambil keputusan untuk memotong rambut. Lagipun penulis tidak kisah sebab lebih selesa apabila berambut pendek.

Kumpulan Search di zaman kegemilangannya adalah berimejkan rambut panjang.

Bagi penulis, sebab utama lelaki tidak suka berambut panjang ialah:
  • tidak selesa semasa melakukan sebarang urusan.
  • kelihatan tidak kemas kemas.
  • banyak duit dihabiskan untuk membeli gel rambut dan shampoo.
  • tidak membuang masa hendak bersikat, guna jari pun boleh.
  • orang akan tersalah anggap tentang jantina
  • lain-lain lu pikir sendiri.
Jika menurut pandangan kaum wanita, penulis tidak pasti bagaimana. Mungkin mereka boleh terima atau tidak lelaki yang berambut panjang?. 

Sekarang ini penulis sudah tidak kisah sama ada panjang atau pendek, yang penting penulis happy dengan keadaan sekarang.

Isnin, 26 Oktober 2009

Pawagam Happy dalam Kenangan

Entry kali ini masih lagi mengenai Sungai Besar. Kali ini penulis hendak berceritakan pengalaman menonton wayang di pawagam Happy yang terletak di tengah-tengah pekan Sungai Besar.

Teket panggung wayang Happy.

Sejak dari kecil lagi penulis gemar menonton wayang gambar di pawagam. Seingat penulis, di zaman kanak-kanak lagi telah didedahkan menonton wayang di Pekan Sungai Besar. Penulis berpeluang menonton wayang bukan selalu cuma sekali-sekala sahaja dalam setahun. Itupun di musim perayaan yang ada menayangkan filem melayu sahaja.

Setiap tahun, apabila tibanya hari raya, keluarga penulis pasti akan membawa kami menonton filem melayu di panggung Happy di Sungai Besar.

Panggung wayang Happy Sungai Besar. Foto ehsan En. Syafiq.

Panggung ini sentiasa dikunjungi terutama ketika tayangan filem melayu dan filem hindustan. Seingat penulis, para penonton amat susah hendak membeli teket. Ruang kuanter teket amat kecil. Hanya memuatkan satu tangan orang dewasa sahaja. Manakala para penonton berebut-rebut membeli teket. Penulispun hairan bagaimana kakak boleh mendapatkan teket dengan begitu mudah. Mungkin ada seseorang yang membantunya kot!.

Dahulu pawagam ini sentiasa dikunjungi pengunjung. Foto ehsan En. Shafiq.

Panggung ini yang boleh memuatkan 200 penonton dalam satu-satu masa hanya berkerusikan kayu dan berkipas siling. Apabila sudah penuh, ada penonton yang duduk dikali lima sahaja. Namun begitu penonton masih lagi selesa dengan suasana yang penuh sesak, panas dan ganguan bunyi bising dari kipas siling.

Kini pawagam ini menjadi bangunan tinggal. Foto ehsan En. Shafiq.

Ketika menonton, lain pula ceritanya. Suasana menjadi riuh rendah apabila tayangan terhenti/tergendala dipertengahan cerita, pasti penonton akan bersorak dan membuat bising dengan hentakan kerusi kayu yang boleh dilipat itu. Dulu, tayangan filem akan tergendala di pertengahan cerita. Mungkin ketika itu petugas panggung sedang menukarkan sambungan filem kedua.

Apabila bersekolah menengah, penulis sudah pandai pergi sendiri menonton wayang dengan menaiki bas ke pekan Sungai Besar. Jika bukan di musim perayaan, panggung Happy ini selalunya menayangkan filem-filem kungfu dari Hongkong. Kali terakhir penulis menonton di panggung wayang Happy ini pada tahun 1983. Ketika itu penulis menonton filem “Azura” lakonan Jamal Abdillah dan Fauziah Ahmad Daud.

Pada tahun 1985 ketika bersekolah asrama di Kelang, panggung wayang Happy ini telah bertukar kepada kedai perabut dan tempat permainan snooker dan kemudian di biarkan kosong. Sekarang, penulis difahamkan bangunan panggung wayang tinggal ini ada orang menjaganya dan menjadikannya sebagai tempat kediaman

Rabu, 21 Oktober 2009

Kampung Halamanku, Sungai Besar

Sudah banyak negara dan tempat menarik yang telah dilawati. Semuanya telahpun penulis ceritakan. Tetapi, tempat kelahiran penulis sendiri sebaliknya. Mungkin penulis terlupa atau terlepas perhatian?. Ok lah, Kali ini penulis akan menceritakan sedikit sebanyak mengenai Sungai Besar. Mungkin hanya sebilangan rakyat negara ini tidak sangka tempat ini wujud di peta Malaysia. Kebanyakkan kenalan penulis, berasa agak baru dengan tempat yang bernama Sungai Besar ini. 

Pekan Sungai Besar. Foto ehsan dari En. Syafiq.

Walaubagaimanapun penulis tidak salahkan mereka, kerana Sungai Besar itu sendiri merupakan kawasan yang agak “hujung” di peta negeri Selangor. Tetapi penulis percaya sekiranya nama “Sungai Besar” di carian Google pasti akan mengeluarkan sekurang-kurangnya 10 keputusan carian bahkan di Wikipediapun. Sungai Besar ini merupakan sebuah pekan kecil yang terletak di daerah Sabak Bernam yang mana daerah ini terletak di kawasan utara Negeri Selangor iaitu bersempadan dengan negeri Perak.

Dahulu parit ini dikatakan sungai yang besar. Foto ehsan dari En. Syafiq.

Menurut cerita daripada orang tua-tua, dahulu pekan ini terdapat satu sungai yang besar dan merupakan sumber keperluan bagi penduduk di sini. Sebesar mana sungai tersebut tidak pula penulis ketahui kerana mereka tidak merakamkan foto untuk tatapan jenerasi sekarang. Mungkin ketika itu, tiada kemudahan kamera lagi.

Isteri dan anak penulis baru keluar dari pasaraya The Store, Sungai Besar.

Jadi, dari itulah nama Sungai Besar ini didapati iaitu dari Sungai yang besar. Tetapi pada hari ini mustahil atau misteri untuk menemukan sungai besar yang dikatakan itu. Di pekan ini kerana apa yang penulis temui hanyalah parit yang besar ataupun longkang yang besar.

Pelabuhan nelayan di Kampung Nelayan, Sungai Besar. Foto ehsan dari En. Syafiq.

Kawasan Sungai Besar ini terdiri daripada beberapa kawasan yang unik iaitu seperti sawah padi, kebun kelapa, bagan (pelabuhan nelayan), paya bakau dan pekan. Ia agak unik sehingga diakui oleh rakan penulis sendiri yang datang melawat. Beliau merasakan bahawa pekan ini seperti “rojak”. Rata-rata penduduk disini adalah berbilang kaum dimana terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Tetapi sejak kebelakangan ini, Sungai Besar sering dikunjungi oleh pendatang asing seperti warga Pakistan, Bangladesh, Indonesia, Vietnam dan Myanmar. Menambahkan lagi warna-warni kaum di sini.

Kawasan sawah padi di Sungai Besar.

Manakala kaum melayu di sini pula terdiri daripada dua kaum besar iaitu Jawa dan Banjar. Dua kaum ini gemar tinggal berkelompok. Namun begitu mereka tetap serumpun walaupun cara komunikasi adalah berbeza. Jika kaum Jawa bertutur di dalam nahu Jawa, orang Banjar juga boleh memahaminya. Begitu juga sebaliknya. Apa yang menarik, ada juga dikalangan kaum Cina yang boleh bertutur bahasa Jawa ataupun Banjar dengan baik. Namun begitu, penulis lebih gemar mengunakan kedua-kedua bahasa ini, walaupun penulis lebih dikategorikan sebagai Banjar Alai.

Rumah di sebuah perkampungan kebun kelapa di Sungai Besar.

Demikian Sedikit sebanyak mengenai Sungai Besar. Kampung kelahiran penulis, tempat penulis membesar sehingga sekolah menengah. Walaupun ia seperti nampak kekampungan, tetapi bagi penulis, ia adalah kampung yang nyaman, tenang dan menarik ~ seperti Ampang Tasek.

Isnin, 19 Oktober 2009

Majlis Sambutan Aidilfitri 2009

Sebentar tadi, pada jam 12.00 tengahari hingga 3.00 petang, Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Koperasi DBP telah mengadakan satu majlis acara tahunan iaitu Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri. Entah kenapa tahun ini DBP berkerjasama dengan koperasi untuk menganjurkan majlis sambutan hari raya kali ini. Mungkin mereka hendak menjimatkan budget kot..

Bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur.

Penunjuk arah Majlis Sambutan Aidilfitri DBP 2009.

Seperti mana-mana kata penganjur, tujuan dan matlamat majlis sambutan Aidilfitri kali ini ialah untuk merapatkan tali silaturrahim antara para pekerja dan sekali gus merapatkan ukhwah persahabatan antara warga kerja, ahli koperasi, mantan, pesara dan penulis DBP. Hal ini dapat dilihat semasa majlis berlangsung dan sebelum majlis berlangsung. Suasana amat meriah sekali. Begitu ramai tetamu yang hadir.

En. Nan, Gopa dan Chiks meratah daging kambing panggang.

Editor DBP ini begitu berselera sekali menikmati mee kari.

Tepat pukul 1230 tengahari, majlis sambutan Aidilfitri bermula dengan pengumuman kehadiran pengerusi, ketua pengarah dan tetamu kehormat. Majlis jamuan hari raya 2009 ini telah diceriakan dengan persembahan nyayian dari kumpulan Misteri yang diketuai oleh saudara Anjang. Mereka menyanyikan lagu-lagu raya untuk menghiburkan para tetamu yang hadir.

Para tetamu sedang mengambil hidangan.

Suasana majlis.

Acara yang ditunggu-tunggu oleh semua tetamu ialah menjamu selera. Hidangan pada hari ini sungguh istimewa dengan hidangan enam ekor kambing panggang yang sungguh menyelerakan. Ada lemang, rendang, kuah kacang dan paling menakjubkan ialah nasi beriani gam yang sungguh umph!. Sekali rasa, habis satu pinggan disental!. Hidangan mee kari yang enak itu tidak berapa sangat dihiraukan oleh para tetamu. Mereka nampaknya lebih menumpukan kepada hidangan daging kambing panggang. Lagipun mee kari itu tidak berapa kena hendak dimakan dengan nasi beriani gam.

Warga DBP sedang menikmati hidangan.

Kambing panggang yang hanya tinggal tulang.

Rasanya, inilah Sambutan Aidilfitri yang terakhir, puasa hanya sebulan sahaja, takkanlah hendak menyambut raya hingga ke hujung tahun kot! hahhaha....

Puan Eatikah dari bahagian Sistem Maklumatpun ada.

Kumpulan Misteri sedang menghiburkan para tetamu.

Majlis jamuan raya tahun ini berakhir pada jam 3.00 petang. Masing-masing pulang dengan senyuman, kegembiraan dan kepuasan yang jelas terpancar daripada wajah mereka. Apa yang lebih penting ukhwah antara warga pekerja berjaya dieratkan. Semoga aktiviti-aktiviti sebegini dapat dijalankan lagi pada hadapan.