Khamis, 24 Mac 2011

Baling

Minggu lalu, penulis bersama rakan sepejabat iaitu Haji Man dan en. Daud ke Baling, Kedah untuk menghadiri majlis perkahwinan anak seorang sahabat. Sepanjang 3 hari 2 malam di sana, kami sempat jalan-jalan ke tempat-tempat menark di daerah Baling. Baling merupakan salah satu daripada daerah dalam negeri Kedah Darul Aman. Di pinggir pekan Baling terdapat gunung batu yang dikenali dengan nama Gunung Baling. Di sebelah belakang gunung itu terdapat beberapa buah kampung. Antara kampung-kampung itu adalah Kampung Padang Cik Mas, Kampung Sekolah, Kampung Seberang, Kampung Charok Bakong dan Kampung Becah Tok Bulan.

Perhentian bas di Pekan Baling.

Nama Baling dipercayai berasal daripada peristiwa Raja Bersiong seperti yang tercatat dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Raja Ong Maha Perita Deria atau lebih dikenali sebagai Raja Bersiung, merupakan raja keempat daripada keturunan Merong Maha Wangsa yang gemar memakan sayur bayam dengan kuah darah manusia. Kelakuan baginda ini dibenci oleh rakyat dan menyebabkan baginda melarikan diri dari istananya yang berpusat di Lembah Bujang. Ketika dalam kepungan menteri dan rakyat, baginda terpaksa berhenti beberapa kali kerana menderita sakit gigi siongnya. Baginda dikatakan telah memulas keluar kedua-dua siongnya di suatu tempat dan membaling gigi siongnya jauh ke tempat yang kini dikenali sebagai Baling.

Minum teh herba di salah satu gerai di Pekan Baling.

Dalam cerita lain, nama Baling dikaitkan dengan orang Siam dan orang Burma yang datang ke daerah itu kira-kira 200 tahun dahulu. Mereka datang ke Baling kerana ingin memulakan penghidupan baru. Setelah merentasi pelbagai jenis rintangan mereka sampai ke Baling dan membuat keputusan untuk membuka kawasan hutan di situ. Mereka begotong-royong menebang hutan untuk memulakan penempatan baru. Mereka bercucuk tanam dan berniaga untuk menyara hidup. Ada juga di kalangan mereka yang mencari kayu di hutan dengan menggunakan gajah. Sungai Ketil yang pada masa itu dalam dan luas, menjadi alat perhubungan utama penduduk tempatan. Sungai itu juga kaya dengan ikan. Sampan-sampan dari Kota Kuala Muda yang sarat dengan barang-barang dagang banyak yang berlabuh di tempat itu. Pangkalan di kawasan penempatan baru itu juga dijadikan tempat memunggah candu mentah yang dibawa dari Burma untuk dijual di Kota Kuala Muda.

Pekan Baling.

Bagi penduduk yang bertani, tanaman mereka sangat berhasil. Mereka gembira melihat sayur-sayuran dan buah-buahan yang begitu menjadi. Akan tetapi, kegembiraan mereka tidak kekal lama, buah-buahan mereka diserang oleh beribu-ribu kera yang dikatakan datang dari hutan Gunung Baling. Binatang-binatang itu bebas memakan dan memusnahkan buah-buahan mereka. Setelah habis musim buah-buahan, binatang-binatang itu balik ke hutan Gunung Baling. Oleh sebab kaum pendatang itu tidak pernah melihat kera yang begitu banyak mereka menamakan kampung mereka “Ban-Lin” yang bererti “kera”. Lama-kelamaan perkataan Ban-Lin bertukar menjad Baling.

Kami menginap di Hotel Bayu.

Baling sebuah daerah yang terkenal dengan pelbagai susur galur sejarah yang juga mewarnai sejarah tanah air. Baling merupakan tempat di mana Parti Komunis Malaya, Kerajaan Malaysia, dan British berjumpa pada tahun 1955 untuk menamatkan Darurat. Tunku Abdul Rahman, yang ketika itu merupakan ketua kerajaan, memujuk ajar komunis menyerah secara aman dan berjanji tiada tindakan keras akan diambil terhadap mereka. Tetapi, Chin Peng yang merupakan ketua Parti Komunis Malaya mendesak agar kerajaan dan pihak British mengiktiraf PKM sebagai parti komunis yang sah supaya ia boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya di Malaysia. Permintaan ini ditolak dan menyebabkan tiada perjanjian dicapai.

Haji Man dan en. Daud bergambar berlatar belakangkan Gunung Baling.

Terdapat 7 mukim di daerah Baling iaitu Mukim Siong, Mukim Baling/Bongor, Mukim Pulai, Mukim Kupang, Mukim Tawar, Mukim Teloi Kanan dan Mukim Bakai. Terdapat 183 kampung, serta berpuluh taman perumahan di daerah ini. Bandar atau pekan yang berada di daerah Baling ialah Bandar Baling, Malau, Kampong Lalang, Kota Baling Jaya, Kupang, Tawar, Kuala Pegang, Parit Panjang dan Kuala Ketil.

Haji Man dan en. Daud sedang mencari lokasi majlis perkahwinan.

Sumber utama pendapatan penduduk di daerah Baling ialah pertanian, perniagaan, bekerja dengan kerajaan dan swasta serta pekerjaan berasaskan kemahiran seperti pertukangan dan vokasional. Kuala Ketil merupakan pekan yang berkembang pesat aktiviti ekonominya di daerah ini. Ini disebabkan Kuala Ketil berada dalam kawasan segitiga perindustrian iaitu Kulim-Sungai Petani-Kuala Ketil. Kuala Ketil berada pada kedudukan 10 km dari Sungai Petani dan 42km dari Butterworth Pulau Pinang. Terdapat sebuah pekan kecil, iaitu Parit Panjang yang mempunyai lebih 55 premis perniagaan. Uniknya kesemua peniaga adalah kaum bumiputra melayu, sesuatu yang unik di Malaysia. Kebiasaannya perniagaan di pekan dan bandar dikuasai oleh peniaga berketurunan cina.

Tiada ulasan: