Selasa, 29 Mac 2011

Mentarang

Sesiapa yang pernah berkunjung ke kampung penulis iaitu Sungai Besar di Sabak Bernam, pastinya akan terlihat gerai-gerai menjual Mentarang di tepi jalan raya. Sejarah Mentarang di kampung penulis bermula selepas Tsunami dimana banyak Mentarang membiak disini. Sebelum ini Mentarang hanya terdapat di sekitar Sungai Berembang dan Sungai Baru di negeri Perlis sahaja. Oleh kerana itu, penulis tidak pernah melihat binatang Mentarang ini di zaman kanak-kanak dahulu.

Mentarang yang baru dinaikan dari laut.

Mentarang berada di dalam lumpur sedalam 50 cm dan biasanya didapati pada jarak 300 meter dari pesisir pantai. Untuk memperolehinya terpaksa mengorek lumpur ketika bila air laut surut. Harganya boleh mencecah RM7 sekilo. Bau dan rasanya agak berlumpur. Tetapi ramai yang gemar makan Mentarang ini. Jika anda hendak menikmati Mentarang ini kenalah berhati-hati, anda dikehendaki membuang lendir jernih pada Mentarang terlebih dahulu untuk mengelakkan perut anda yang sensitif itu meragam.

Mentarang yang akan dijual.

Sempat juga penulis melawat ke blog-blog dan forum-forum lain untuk mencari resepi yang sesuai hendak memasak Mentarang ini. Antaranya di Malaysian Fishing Net Forum. Mentarang ini dikatakan enak dimasak berkuah dengan serai, ditumis cili atau dibuat gulai lemak bersama nenas. Walaupun sukar untuk membersihkannya kerana keadaan yang berselut, keenakan rasa isi yang manis menyebabkan ramai sanggup memandu jauh untuk mendapatkan Mentarang ini.

Saudara mara penulis sedang membeli Mentarang.

Mentarang sama habitatnya dengan Lokan yang tinggal di dalam lumpur. Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah dengan merendam dalam air yang dicampurkan beberapa biji cili padi yang telah dipecahkan supaya segala lumpur dalam badannya dikeluarkan. Rebus sebentar untuk menanggalkan isinya. Untuk menikmati kelazatan Mentarang dengan masakan yang simple, hanya potong dua dan goreng dengan pepper dan bawang besar sahaja.

Mentarang yang di masak secara rebus.

Setiap kali pulang ke kampung, penulis sangat teruja untuk menikmati kelazatan masakan berasaskan Mentarang ini. Selepas ini penulis hendak mencari Lala, Kerang, Kepah dan Kupang pula. Jika ada rezeki, penulis bercadang hendak menikmati kelazatan Lobster (Udang Karang yang sangat mahal) dan bamboo clam pula.

Tiada ulasan: