Semenjak berkerja di tempat baru, penulis asyik menulis tentang makanan sahaja. Mungkin kawasan di sini banyak pilihan untuk mencari tempat makanan yang sedap. Walaupun banyak pilihan untuk mencari tempat makan yang menyediakan makanan yang sedap-sedap, namun harganya boleh tahan juga. Disebabkan itu, kebanyakkan rakan-rakan pejabat membawa makanan dari rumah sahaja.
Oleh kerana semalam, duit pencen penulis telah keluar, penulis pun ke Restoran Syed Bistro di AU5 D, Taman Melawati untuk menikmati nasi Bukhara Ayam. Penulis sangat teruja ke restoran ini setelah di syorkan oleh salah seorang rakan sepejabat bahawa Nasi Bukhara di restoran ini sememangnya sedap dan lazat.
Apabila sampai ke restoran tersebut, penulis dapati ramai pelanggan sedang menikmati Nasi Bukhara Ayam dan Daging walaupun restoran ini menyediakan menu-menu lain. Mungkin restoran ini dikenali menyediakan nasi Bukhara sebagai menu utamanya. Restoran ini menyediakan tiga jenis Nasi Bukhara iaitu Nasi Bukhara Ayam, Daging dan Lamb Shank. Jika hendak merasai Nasi Bukhara Lamb Shank, harganya RM22.00 sepinggan. Penulis sendiri tidak tahu bagaimana rupanya Nasi Bukhara Lamb Shank itu....
Walaupun ramai yang mengatakan Nasi Bukhari di restoran ini sedap dan restoran ini juga dikenali kerana kelazatan Nasi Bukharanya, bagi penulis, rasanya hanyalah biasa-biasa sahaja. Entah kenapa seperti ada satu kekurangan dari segi rasanya. Mungkin kurang rasa rempahnya. Penulis pernah makan Nasi Bukhara di restoran lain, dan rasanya jauh lebih sedap. Sudahlah rasanya biasa-biasa sahaja, harganya pula, boleh tahan juga iaitu RM11.00 sepinggan.
Apa yang penulis tulis di atas hanyalah pendapat dan citarasa peribadi penulis sahaja. Mungkin berbeza dengan citarasa orang lain. Ramai rakan penulis mengatakan Nasi Bukhara di restoran ini sedap dan penulis dapati setiap pelanggan begitu asyik menikmati Nasi Bukhara. Kelihatan jelas di wajah mereka kepuasan dan rasa berbaloi setelah menikmati Nasi Bukhara di restoran ini. Mungkin Nasi Bukhara di restoran ini tidak sesuai dengan tekak penulis kot...he...he...
Untuk mencari lokasi restoran ini agak mudah. Apabila anda melalui stesen minyak Petrosnas AU4, anda akan terjumpa sebuah lorong ke kiri sebelum menuju ke Pasaraya Giant Taman Melawati. Lorong ini menuju ke arah Wangsa Maju. Apabila masuk ke lorong tersebut, anda akan ternampak deretan rumah teres di kiri dan kanan. Selepas dalam 200 meter, terselit sebuah Restoran Syed Bistro.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan