Sabtu, 21 September 2013

Berhari Raya Rumah Cikgu

Selesai melawat ladang cili saudara Nizam di Pengkalan Balak, kami meneruskan perjalanan ke Merlimau. Di Merlimau kami bercadang melawat dan berhari raya di rumah cikgu Tuah. Kelakar, dah nak habis bulan Syawal baru nak beraya ke rumah cikgu. Cikgu Tuah merupakan guru kelas kami semasa di tingkatan 4&5 di SMV Kelang dahulu. Ini kali kedua kami melawat cikgu Tuah, kali pertama tiga tahun yang lalu.
Cikgu sangat gembira dengan kedatangan kami.
Ketika sampai, cikgu tiada di rumah, cikgu masih dalam perjalanan pulang dari majlis kenduri kahwin. Sementara menanti cikgu tiba, kami melepak dan berbual di halaman rumah cikgu sambil bermain/bersembang melalui chat whatsApp bersama groups jejak 85-86 iaitu groups rakan-rakan sekolah SMV kelang dahulu.
Berborak sambil menikmati mee rebus.
Hampir setengah jam menunggu, akhirnya cikgupun tiba. Cikgu sangat gembira dengan kedatangan kami, maklumlah kami adalah diantara murid-murid pertama yang beliau ajar. Ibaratkan kami adalah anak murid yang sulung beliaulah.
Cikgu memetik buah rambutan untuk kami.
Setelah bersalaman dan berpelukan. kami dipelawa masuk ke rumah. Kami berborak tentang pengalaman pahit manis semasa di zaman persekolahan dahulu. Sungguh noltalgia. Sambil berborak, kami menikmati hidangan istimewa mee rebus yang sungguh enak. Kami bercadang-cadang hendak pulang awal iaitu sebelum waktu Maghrib tiba. Tetapi, kami tidak benarkan pulang awal. Cikgu sudah berhajat hendak belanja kami makan ikan bakar di Umbai, Melaka.
Memungut sambit menikmati buah rambutan yang manis.
Sementara menunggu waktu Magrib tiba, cikgu mengajak kami ke halaman rumahnya. Cikgu menunjukkan pokok rambutan yang berbuah lebat. Kamipun memetik buah rambutan untuk kami dibawa pulang ke Kualan Lumpur. Menurut cikgu, buah rambutan ini sungguh banyak dan tiada siapa yang hendak memakannya. Kebanyakkan buahnya masak ranum di pokok sahaja. Disebabkan itu warna rambutan ini menjadi berwarna oren. Sesungguhnya buah rambutan cikgu ini sangat manis dan berisi tebal.
Cikgu belanja kami makan di Umbai.
Setelah selesai sembahyang berjemaah Magrib bersama. Cikgu mengajak kami menikmati ikan bakar. Cikgu membawa kami makan ke restoran Parameswara di Umbai. Restoran yang paling hujung sekali. Tempat makan yang cukup popular bukan sahaja bagi warga tempatan bumi Hang Tuah ini.. tapi turut di banjiri warga kota yang turun dari Kuala Lumpur, Johor dan Singapura. Sementara menanti makanan tiba, kami berborak panjang. Sebelum ini cikgu banyak membicarakan pengalaman hidupnya, tetapi kali ini cikgu lebih banyak berbicara tetang bab bab agama. Alhamdulillah banyak ilmu yang kami terima kali ini. 
Terima kasih cikgu kerana belanja kami makan.
Setelah selesai makan dan perutpun sudah kenyang kamipun memohon minta diri untuk pulang ke Kuala Lumpur. Terima kasih daun keladi kepada cikgu kerana belanaja kami makan.....

Sabtu, 14 September 2013

Hobi Yang Menguntungkan

Minggu lepas, penulis dan rakan-rakan ke Melaka untuk berhari raya ke rumah cikgu penulis di Merlimau. Ketika dalam perjalanan ke Merlimau, kami singgah dahulu ke rumah seorang rakan sekolah di Pengkalan Balak. Rakan kami ketika sama-sama meuntut ilmu di SMV Kelang dahulu. Rakan kami ini seorang penyarah yang mempunyai hobi yang sangat menguntungkan iaitu menanam pokok cili
Kami baru sampai di rumah saudara Nizam.
Berbudi kepada tanah, pasti mendapat hasilnya dan ia dibuktikan oleh rakan sekolah penulis iaitu saudara Muhammat Nizam Samsul Bahari. Walaupun berjawatan sebagai penyarah dengan gaji yang agak lumayan, dia tidak kekok menjadi petani moden.
Pokok cili di sebelah rumah saudara Nizam.
Kami berempat sempat melawat ladang cili saudara Nizam di sebelahan rumahnya dan satu lagi ladang cili yang disewa di belakang rumah jirannya. Saudara Nizam kini pantang melihat tanah-tanah terbiar. Jika beliau dapati ada tanah yang terbiar di sekitar Pangkalan Balak, pasti ia akan menghubungi tuan tanah tersebut untuk menyewa dan dijadikan ladang sayur-sayuran.
Saudara Nizam disamping pokok cilinya.
Tanpa sebarang pengalaman, rakan penulis ini memberanikan diri mengusahakan projek tanaman cili padi secara ladang di Pengkalan Balak, Melaka. Dengan bantuan tenaga kerja anak-anak jiran, dia boleh berbangga mengeluarkan cili padi segar untuk pasaran di sekitar negei Melaka.
Pokok Cili.
Walaupun bertugas sebagai penyarah, dia masih mampu memantau tanaman cilinya. Dia tidak menggunakan kedah penanaman cili padi segar secara fertigasi atau sistem sembur ‘sprinkler’, sebaliknya kaedah ‘drip tape’ iaitu pengairan titis. “Sistem pengairan renjis atau ‘sprinkler’ tidak praktikal kerana semburan tidak tepat kepada tanaman. Menurut Nizam, penggunaan sistem pengairan titis dipraktikkan di ladang lebih menjimatkan malah terus meresap ke akar. 
Seorang rakan juga berminat menanm pokok cili.
Menurut saudara Nizam lagi, penanaman cili padi ini agak memenatkan kerana kaedah mengutip hasil dilakukan secara manual. Bagi penghasilan sekilogram cili padi, kami perlu memetik 600 biji. Cili padi ini boleh hidup sehingga lapan bulan dan hasilnya lebih lumayan. Pokok ini akan disemai dalam rumah khas selama sebulan dan selepas tiga bulan, ia mengeluarkan hasil. 
Kami dapat cili percuma seorang sekilo.
Penulis sangat kagum dengan dengan hobi dan usaha rakan sekolah penulis ini. Pada pandangan penulis untuk menjadi peladang yang maju dan berjaya, kita mestilah bersedia bersaing dan meningkatkan ilmu pengetahun serta kemahiran. Sekadar minat tetapi tidak berilmu pengatahuan, anda tidak akan menjadi peladang yang berjaya.
Cili yang segar.
Menurut saudara Nizam, dia kini mencuba menanam sayur-sayuran seperti mentimun dan kangkung. Pertanian seperti menanam sayur-sayuran adalah satu perniagaan kata beliau. Beliau juga bercadang menanam pokok Gaharu juga. Beliau kini sudah mempunyai 3 ladang cili di sekitar Pengkalan Balak dan sedang berusaha mencari tanah-tanah terbiar untuk dijadikan ladang.
Seorang peladang cili yang berjaya,
Penulis mengucapkan tahniah kepada saudara Nizam ini kerana telah menceburkan diri dalam bidang yang sungguh lestari ini. Selain menghijaukan muka bumi ini, dia juga telah sedikit sebanyak telah menyumbang kepada pendapatan negara dalam bidang pertanian.

Jumaat, 13 September 2013

Berkongzi Rezeki

Semenjak penulis bertugas di Ulu Kelang, hampir setiap pagi, penulis akan terlihat beberapa ekor kucing sedang menikmati makanan. Penulispun hairan siapa pula insan yang pemurah memberi makanan kepada kucing-kucing liar ini. Hampir setiap hari kucing-kucing ini akan menikmati makanan seperti air minuman, friskies dengan diselang seli dengan makanan ikan dalan tin.
Makanan Kucing.
Kelmarin, ketika penulis sedang menuju ke pejabat, penulis ternampak kelibat seseorang sedang memberi makanan kepada kucing-kucing ini. Apabila diamati betul-betul, rupa-rupanya kakak operator yang memberi kucing-kucing ini makanan. Alhamdulillah kakak ini berkongsi rezeki memberi sedekah makanan kepada kucing-kucing liar yang berkeliaran di sekitar pejabat penulis. Rasanya, bukan semua orang yang mampu berbuat demikian. Patutlah kucing-kucing di sini comel, cergas dan sihat semuanya. Rupa-rupanya ada insan yang berhati mulia yang sedekah makanan yang berzat pada kucing-kucing ini. Malangnya penulis tidak sempat rakamkan aksi kakak tersebut memberi kucing makanan.
Kucing-kucing ini sedang menunggu makanan.
Bersedekah sangatlah digalakkan dalam Islam. Amalan tolong-menolong dan bantu membantu orang yang kesusahan seharusnya jadi amalan. Tidak semestinya kepada manusia, haiwan juga patut dibantu. Amalan memberi kucing makan sebenarnya dari pengalaman-pengalaman rakan-rakan akan memurahkan rezeki si pemberi dan akan memupuk perasaan kasih sayang dan belas terhadap manusia dan haiwan. 

Kita perlu berbuat baik pada semua makhluk Allah biarpun anjing. Lagipun kucing ini haiwan kesayangan Nabi Muhammad. Bila kita berbuat baik mana tahu Allah beri kita rezeki yang tidak kita sangka-sangkakan. Insyallah, tetapi janganlah kita harapkan sangat kerana pertolongan yang ikhlas adalah yang terbaik.
Kucing di sini kelihatan comel, cergas dan sihat.
Seperti cerita yang pernah penulis dengar dulu iaitu cerita seorang pelacur memberi minum dengan ikhlas kepada anjing yang kehausan. kalau pelacur ini tidak memberi anjing ini minum pasti anjing ini mati. Allah melihat keikhlasan pelacur ini, maka setelah pelacur ini meninggal, balasan syurga Allah kurniakan kepada pelacur yang ikhlas ini. Jadi walau apapun pekerjaan yang kita buat hendaklah ianya ikhlas. Janganlah harapkan apa-apa balasan. Insyallah Allah akan melihat keikhlasan kita.

Rabu, 11 September 2013

Kali Pertama Berbekam

Sudah lama penulis tidak update entry di blog ini. Sebenarnya kesihatan penulis agak terganggu sejak  kebelakangan ini. Apabila kesihatan terganggu, penulis tiada mood hendak menulis blog. Sekarang, kesihatan penulis sudah okey sedikit. Walaupun kesihatan penulis belum pulih 100%, insyAllah ... pada entry yang akan datang, penulis akan cuba menulis pengalaman ketika penulis sedang sakit. Ada pengalaman yang menarik yang akan penulis akan cuba kongsikan
Bekam Al Yakin.
Kelmarin, penulis telah memberanikan diri untuk menjalani proses BEKAM. Pada masa itu penyakit letih, lenguh dan lesu seluruh badan menyerang hampir setiap hari selama sebulan berturut-turut. Setelah sekian lama ingin mencuba, akhirnya penulis telah menjalani proses tersebut. 

Puas penulis melayari blog-blog orang dan juga meng’google’, penulis terjumpa cara alternatif berubat lengoh-lengoh seluruh badan iaitu berbekam. Selain itu juga, berbekam juga boleh merawat penyakit diabetis penulis. Semakin banyak penulis membaca, semakin tinggi keinginan hendak mencuba berbekam ini. Antara sebab yang utama penulis hendak mencuba kerana ianya adalah Sunnah Rasullah S.A.W. Apabila kita berbekam, kita akan dapat pahala sunnah.

Ada banyak pusat khidmat bekam di Lembah Klang ini. Penulis memilih untuk berbekam di Ulu Kelang kerana menyedari ada sebuah pusat bekam yang telah wujud disitu lebih dua dekad yang lalu. Pusat Bekam AL-YAKIN ini dimiliki oleh Haji Ibrahim bin Haji Mokhsen dan keluarga.
Kali pertama penulis berbekam.
Pada mulanya, pembekam akan menyedut menggunakan ‘cup’ itu. First time kena, memang terasa sedikit janggal. Tidaklah terasa sakit sangat. Selepas disedut, pembekam akan membuka cup tersebut untuk menoreh kulit supaya darah dapat dikeluarkan. Pada masa itu penulis akan terasa sedikit pedih. Selepas itu, pembekam akan sedut semula menggunakan ‘cup’ itu. 

Pada masa ini darah kotor akan disedut dan berkumpul di dalam ‘cup’ itu. Anggota badan penulis yang kena sedut darah adalah, 1 cup’(kepala), 2 cup’(bahu) dan 2 cup’(pinggang). Di bahagian kepala, penulis dapat lihat, banyak darah yang dikeluarkan. pembekam itu kata, “ada banyak darah kotor”

Sakitnya bekam ini cuma pada luka untuk keluarkan darah kotor itu sahaja. Ada yang menggunakan jarum dan ada juga yang menggunakan pisau cukur gillette. Jangan cuma tengok samada jarum atau pisau gillette yang pembekam gunakan, nanti takut pula kita hendak berbekam. Insyallah, akan diulang lagi berbekam sehingga penulis puas hati... 

Pada mereka yang ingin mencuba menjalani proses BERBEKAM ini, bolehlah mencuba di pusat Al-Yakin tadi (hubungi Haji Ibrahim 013 375 8087 Taman Ukay Bistari atau mana-mana pusat bekam yang halal, bersih dan tidak menyakitkan (moden).

Khamis, 11 Julai 2013

Sesi Apresiasi Kulit Buku Teks

Kemarin sehari sebelum bulan Ramadhan, penulis ke Puterajaya. Ada sesi apresiasi kulit buku teks yang dianjurkan oleh Kementerian. Sebagai designer, penulis kena pergi. Alhamdulillah, tidak banyak pembetulan kali ini tetapi banyak juga pemurnian untuk grafik dan ilustrasinya. Di bawah ini sertakan foto-foto yang sempat penulis rakamkan:
Sesi Apresiasi.
Ruang pameran,
Sedang melihat dan menilai kulit yang pamerkan. 
Antara kulit buku terbaik yang dipameran.
Pengurus projek sedang menilai mana satu kulit buku yang akan dipilih.
Penulis sedang membentangkan kulit buku. 
Panel juri penilai.
Majlis yang ditunggu-tunggu.
Berakhirnya sesi ini, maka bermulalah tugas kami untuk membuat pembetulan dan seterusnya dihantar ke pihak kementerian untuk tindakan seterusnya.

Isnin, 27 Mei 2013

Masih Kau Ingat

Kolaj rakan-rakan semasa di zaman bahagia dulu.....

Masihkah kau ingat 
Pada waktu itu sekuntum bunga mekar 
Kuselit ke rambutmu 

Masihkah kau ingat 
Ia menjadi mimpi dan menjadi rindu 
Masihkah kau ingat 

 *Masihkah kau ingat 
kita berlari-lari di kaki langit mencari pelangi 
lalu hujan turun kita basah bersama 

 Masihkah kau ingat 
Masihkah kau ingat 

 Masihkah kau ingat 
sekuntum bunga itu 
Ditapak tangan ini 
Ia menjadi layu 
Lalu kugengam ia menjadi debu 

Masihkah kau ingat 
Masihkah kau ingat

Isnin, 8 April 2013

Puisi Untuk Warga BKDBP

Penulis dan Cdek ketika sama-sama bertugas di bahagian Keselamatan dulu.

Kami warga keselamatan, 
Tiada dimata dihati insan 

Kami warga keselamatan 
Ibarat melukut di tepian gantang 
Apabila penyakit 
Datang tidak diundang 
Tiada warga yang sudi bertandang 
Baik pagi mahupun petang 
Hanya VVIP yang diutamakan 

Kami warga keselamatan 
Setiap bulan membayar yuran 
Kenapa kami dianak tirikan? 
Kami juga ada hati dan perasaan 

Kami warga keselamatan 
Ibarat garam di dalam tempayan 
Harganya murah bukan kepalang 
Tapi amat diperlukan dalam masakkan 
Cuba warga bayangkan? 
Setiap masakan tiada garam 
Siapa yang sudi menjamah makanan? 

Begitulah nasib kami warga keselamatan 
Ketika ada tidak dihargai 
Sesudah mati 
Baru diingati 

Kepada semua warga DBP 
Coretan ini bukan untuk menyakiti 
Hanya melepaskan rasa hati 
Yang telah terbuku sejak dulu lagi 
Dari zaman Dato Hassan hingga Dato Termuzi 
Dan Pengerusi BKDBP bersilih ganti.

Puisi di atas hasil nukilan seorang rakan dari bahagian keselamatan DBP iaitu en. Cdek. En. Cdek sangat kecewa kerana tiada seorang pun wakil dari BKDBP  datang melawat rakannya yang mengalami kemalangan.  En. Cdek pun meluahkan rasa kekecewaan dengan menulis sebuah puisi di facebook. Sebagai mantan bahagian keselamatan, penulis turut terharu apabila membaca puisi tersebut.....