Khamis, 28 Jun 2012

Sate Kajang

Baru-baru ini penulis berbengkel di Kajang. Oleh kerana sudah jemu dengan makanan di hotel, penulis pun jalan-jalan cari makan di sekitar bandar Kajang. Setibanya di Stadium Kajang, penulis ternampak restoran Sate Kajang Hj. Samuri. Sate Kajang Hj. Samuri memang terkenal kerana keenakannya. Sebab itu ramai pelancung datang ke bandar Kajang semata-mata mahu menikmati keenakan Sate Kajang Hj. Samuri ini.

Restoran Sate Kajang Hj. Samuri.
Kuanter Memesan.
Sebenarnya sate adalah makanan tradisi masyarakat Indonesia. Mengikut sejarah, sate ini diperkenalkan oleh dua orang perantau Indonesia yang datang ke Kajang pada sekitar tahun 60 an dahulu. Pada masa itu sate dijual di tepi jalan dengan mengandar tempat membakar satay. Terdapat lebih kurang 10 peniaga sate di Kajang dan kebanyakan mereka adalah bersaudara. Salah satu daripada pengusaha sate terdebut ialah Hj. Samuri. Restoran Hj. Samuri kini agak besar yang terletak di Jalan Stadium, Kajang. Ini semua adalah fakta dan sejarah, takut nanti rakyat Indonesia menuduh Malaysia mencuri menu masakan mereka pula.

Kuah Sate.
Sambal Sate.
Sate Hj. Samuri sememangnya sedap tetapi tidak sesedap sepuluh tahun yang lalu. Mungkin mereka masak sate menggunakan mesin dengan kuantiti banyak, rasanya pun sudah “kurang uumph”. Keenakan Sate Kajang Hj. Samuri ini bergantung pada kuah kacangnya. Yang istimewanya kuah sate ini di sediakan dengan kuantiti yang banyak walaupun kita hanya memesan sedikit sate sahaja. Bagi yang suka pedas, disediakan sambal yang boleh di campurkan sendiri mengikut sukatan masing-masing.

Sate.
Sate.
Sewaktu penulis datang, meja di tingkat bawah sudah dipenuhi dengan pelanggan. Jadi, penulis pun naik ke tingkat atas. Masih banyak meja kosong dan penulis pun terus memesan sate ayam dan sedikit sate lembu kerana sate ayam lebih lembut daripada sate daging. Menu sate yang disediakan ada bermacam-macam jenis seperti sate ayam, sate lembu, sate perut dan juga sate rusa.

Menu Sate.
Resit.
Laju juga penulis makan, sate yang penuh di dalam pinggan itu sekejap sahaja di habiskan. Memang kuah kacangnya sedap, sampaikan ada pelanggan di sebelah yang menghirup kuah itu dari mangkuk!. Tidak sampai setengah jam, semua sate dan nasi himpit telah berjaya di selesaikan. Lihatlah pinggan-pinggan kosong yang tersusun di atas meja membuatkan penulis puas hati dan perut pun semakin kenyang. Namun begitu, Sate Station Ampang dan Sate AU5 lagi terasa keenakannya.

Tiada ulasan: