Jumaat, 15 November 2013

Masak Nasi Arab Segera

Sudah lama rasanya penulis beli Nasi Arab Al Bayt Segera ini dengan ustaz Hamka. Tetapi, baharu semalam isteri penulis berkesempatan memasak nasi arab segera ini. Harganya cukup berbaloi, Rm15 sekotak untuk tiga orang makan. Di dalamnya ada ramuan rempah tumis, rempah serbuk dan beras basmathi. Manakala di belakang kotaknya tertera resepi cara memasak nasi mandy ini.
Nasi Mandy segera Al Bayt.
Jika diikutkan kaedah resepi ini, dicadangkan untuk perap ayam bersama rempah mandy dan dibakar di dalam ketuhar. Tetapi, isteri tidak mengikut arahan, orang ajar lain, dia buat lain. Boleh dia suruh penulis pergi ke pasar malam, beli seekor ayam golek. Akhirnya jadi lah nasi mandy dengan ayam golek. Penulis hendak namakan Nasi Arab ini sebagai apa pun tidak tahu. Rasanya Nasi Mandy Ayam Golek Pasar Malam lah yerk? hahhahahhahah....
Nasi Mandy sedang di masak.
Bahan-bahan: (2-3 org makan) 
  • 1 1/2 cawan beras basmathi (cuci dan rendam 20min) 
  • 3 cawan air 
  • 1 kiub ayam - hancurkan 
  • 2 biji cili hijau 
  • 2 helai daun pandan -disimpul 
  • sedikit daun ketumbar 
  • sedikit daun pudina 
  • 1 helai daun bay 
  • 1biji tomato - potong dadu 
Bahan untuk menumis: 
  • 2 sudu besar minyak zaitun 
  • Rempah Kasar- bunga cengkih, biji buah pelaga, bunga lawang dan kulit kayu manis. 
  • 1/2 biji bawang besar dimayang 
  • 2 sb rempah Nasi Mandhi Ayam Al-Bayt
Ayam golek.
Cara membuat:
  1. Panaskan minyak zaitun (kalau boleh gunakan periuk nasi rice cooker). Masukkan bahan tumis (rempah kasar) dan bawang sehingga naik bau/kekuningan. Masukkan daun bay. 
  2. Masukkan beras, daun pandan, kiub ayam dan tomato dadu, kacau sehingga beras kelihatan berkilat warnanya. Masukkan air dan pindahkan ke rice cooker
  3. Apabila nasi hampir masak, gaul nasi menggunakan garfu/chopstik (untuk elakkan nasi daripada patah) masukkan cili hijau bersama daun ketumbar dan daun pudina di tengah nasi. Biarkan nasi sehingga masak. 
  4. Titikkan beberapa tompok pewarna kuning dan biarkan seketika. Ketika menghidang baharu lah di gemburkan nasi untuk warna yang cantik.
Nasi Mandy Ayam siap untuk di makan.
Cara memasak ayam panggang 

Perap seekor ayam bersama rempah mandy dan dibakar dalam ketuhar. Jika malas hendak masak, boleh cari ayam panggang di pasar malam atau di pasaraya. 

Ini adalah nasi mandy versi tekak orang melayu sejati. Hendak makan makanan orang arab tetapi tidak ikut resepi, jadi pada anda yang di luar sana JANGAN TIRU CARA INI! Ini sudah menderhaka namanya.. hehe....

Khamis, 14 November 2013

Gerai Goreng Pisang Panas!

Sungguh enak dan lazat. Dengan hanya RM1.00 anda boleh dapat 4 hingga 6 potong pisang goreng mengikut tempat. Sesetengah tempat menjual 5 potong pisang goreng untuk RM1.00. Suatu perniagaan secara kecilan tetapi memuaskan. Yang penting perniagaan begini tahan lama, cuma masalahnya hanyalah mendapat bekalan pisangnya sahaja.
Gerai Goreng Pisang AU4.
Jenis pisang yang biasa digunakan ialah Pisang Kepok, Pisang Nangka dan Pisang Tanduk. Jika Pisang Tanduk harga nya agak mahal sebab itu harga Pisang Tanduk goreng adalah RM1.00 untuk 3 potong sahaja. Yang peliknya, pisang goreng amat laris jika gerainya di tepi jalan. Tetapi, jika hendak di jual di restoran, memang kurang mendapat sambutan.
Waktu tengahari menjadi tumpuan murid-murid sekolah.
Kesedapan pisang goreng bukan hanya bergantung pada bahan bahan tepungnya tapi juga pada stail dan cara mengorengnya, kawalan apinya dan juga pada pisang itu sendiri. Tapi yang amat penting sebagai pelarisnya ialah keadaan gerai, suasana persekitarannya dan juga pekerja pekerjanya.
Selain Goreng Pisang Panas, Cengkodok dan Sukun Goreng juga menjadi pilihan.
Secara peribadi, gerai pisang goreng di AU4, memang sedap dan nyaman. Bukan setakat pisang goreng panas nya tetapi ada pelbagai kueh goreng-gorengan lain di gerai itu yang menjadi tumpuan orang ramai. Antara kueh goreng lain menjadi tarikan seperti Keledek Goreng, Sukun Goreng, Cengkodok, Kepok Leko dan Karipap. Jika tidak percaya boleh cuba sendiri...
Goreng Pisang ranggup sering kali kehabisan.
Bagi anda yang merancang untuk ke Keramat atau ingin membeli kuih-muih untuk minum petang di pejabat, jangan lupa untuk singgah dan mencuba sendiri kelazatan Goreng Pisang Panas yang ranggup, Cengkodok dan lain-lain. Anda pasti berpuas hati!

Rabu, 13 November 2013

Kenangan Restoran Kancil?

Sehingga kini penulis masih teringatkan masakan ala kampung di Restoran Kancil yang berhampiran dengan Dewan Bahasa dan Pustaka. Penulis masih rindukan keenakan masakan kampungnya dan riuh rendah suara nyaring kakak tauke restoran tersebut melayan pelanggannya. Semasa pejabat penulis di Wisma Mirama dahulu, penulis dan rakan-rakan sering kali makan tengahari di restoran Kancil ini.
Kami hanya berjalan kaki ke Restoran Kancil.
Kami menuju ke Restoran Kancil.
Apabila pertengahan bulan, selalunya Restoran Kancil yang bersebelah dengan bangunan Wisma Mirama di Jalan Choo Cheng Key ini lah yang yang menjadi tumpuan utama kami. Lagipun hanya Restoran Kancil ini sahaja yang menyediakan menu masakan ala kampung yang paling hampir dengan pejabat dan kami hanya perlu berjalan kaki sahaja ke restoran tersebut.
Pelanggan agak ramai di waktu puncak.
Kami sedang menikmati nasi campur.
Manakala menu yang biasa kami pesan sudah tentulah Nasi Campur, Nasi Ayam, Nasi goreng atau Mee Bandung dan Mee Sup. Minuman sudah tentulah air kosong sahaja hahahha. Selain menyediakan menu masakan nasi campur ala kampung, restoran ini juga menyediakan kueh mueh ala kampung seperti goreng pisang panas, goreng keledek, cengkodok pisang, karipap dan keropok lekor.
Lauk kami dipertengahan bulan.
Masak lemak labu pilihan abang Meo.
Ramai yang tertanya-tanya, kenapa restoran ini diberi nama Restoran Kancil? Begini ceritanya. Pada sekitar tahun 1998 dahulu, kakak ini berniaga nasi campur di parkir DBP. Mereka berniaga menggunakan kereta Kancil. Oleh kerana menu masakan mereka sedap, pelanggan semakin ramai dan perniagaan mereka bertambah maju. Merekapun membuka sebuah restoran yang berhampiran dengan bangunan DBP.
Abang Pian banyak makan ulam-ulaman.
Ikan Bakar pilihan abang Pian.
Oleh itu, jangan terkeliru dengan nama perniagaan restoran mereka. Restoran ini tidak menyediakan menu masakan yang berasaskan daging kancil. Tetapi mereka hanya mendaftarkan nama perniagaan mereka sebagai “Kancil” kerana mereka mula berniaga menggunakan kereta Kancil. Jadi, jangan berangan-angan hendak makan daging kancil di restoran ini.
Masing-masing sudah kenyang.
Habis.... amat menyelerakan?
Kebanyakkan pelanggan di Restoran Kancil ini adalah dari kalangan kakitangan DBP, Dawama, Kurnia Insuran dan pejabat-pejabat kecil dan penduduk di sekitar Jalan Choo Cheng Key. Khabarnya, mereka telah membuka sebuah lagi restoran di Puterajaya. Disamping itu juga, Restoran Kancil ini juga telah meluaskankan perniagaan mereka dengan menubuhkan perniagaan Kancil Catering yang sedia menerima segala tempahan untuk sebarang majlis rasmi dan tidak rasmi.
Licin hanya tinggal tulang?
Bahagian dalam sudah penuh. Kami dapat duduk di luar restoran.
Apa yang kelakar, sehingga kini kami masih tidak mengatahui siapa nama sebenar tauke Restoran Kancil ini. Kami hanya mengelar mereka sebagai abang kancil dan kakak kancil sahaja. Manakala anak-anak mereka sebagai anak-anak kancil. Walaupun bagaimanapun mereka sangat gembira mendapat gelaran tersebut. Mereka ini sangat mesra melayan kami dan pelanggan-pelanggan mereka yang lain.
Sabar menanti pesanan makanan tiba.
Pekena cengkodok dulu.
Menu masakkannya memang istimewa. Lagipun pada masa kini memang susah hendak mencari masakan yang ada cita rasa asli dan mengingatkan kembali pada zaman kita di kampung. Dengan menu masakan ala kampung ini, Restoran Kancil sentiasa dipenuhi pelangan terutama di waktu puncak. Makanan boleh minta dihidang atau ambil sendiri secara sepinggan.
Nasi ayam.
Pekena Mee  Hoon Sup Ayam.
Tipulah, jika hendak dikatakan makanan di restoran ini sangat sedap. Tetapi, ketika kami tiba, memang ramai pelanggan. Dengan jumlah pelanggan yang datang, boleh di katakan makanan di sini boleh tahan sedapnya. Harganya pula memang berpatutan, tidak murah dan tidak mahal. Tetapi, selalunya abang Kancil memberi harga dengan potongan yang istimewa buat kami. Mungkin abang kancil itu faham bahawa kami sering kali kelewatan gaji pada masa tersebut.
Abang Kancil tauke restoran.
Bayar bil kat Kakak Kancil.
Sekali sekala apabila penulis ada urusan di DBP, pastinya penulis singgah di restoran ini untuk menikmati makan tengahari. Walau apapun restoran pilihan anda, faktor utama sebelum makan direstoran tersebut pastikan ianya bersih dan halal.

Selasa, 12 November 2013

Karipap Gergasi Gombak

Semalam, rakan sepejabat bertanya, karipap di Batu Caves itu sedap sangat ke? Penulis jawab., “Tengok saiznya memang besar tetapi kalau hendak tahu rasanya, kena cuba lah sendiri”. Oleh kerana penulis teringin sangat hendak makan karipap dan secara kebetulan berada di Gombak, penulis pecut sekejap ke Taman Samudera, Batu Caves untuk beli karipap…
Gerai Karipap Gergasi Gombak ini terletak di Pinggiran Batu Caves. Di Belakang pasaraya Giant dan berhampiran dengan Rumah Bekam.
Rakan-rakan sepejabat tergelak besar apabila penulis bercadang hendak membeli karipap di Batu Caves. Mereka tertanya-tanya kenapa perlu pergi jauh sehingga ke Batu Caves untuk membeli karipap. Karipap di area Lembah Keramat atau Hulu Klang ini sudah tidak sedap lagi ke? Tetapi, tidak mengapalah, apabila anda semua sudah terbaca posting ini, baru lah anda semua akan tahu dan tidak perlu bertanya lagi di mana hendak membeli karipap ini yerr…
Gerai Karipap Gergasi ini dibuka setiap hari.
Mari cuba kita lihat karipap ini, ianya besar bersaiz 6 inci panjang dan 3 inci lebar. Penulis dapati saiz karipap ini hampir sama besar dengan saiz tangan penulis. Seumur hidup penulis yang sudah makan beratus-ratus jenis karipap tetapi belum pernah terjumpa saiz Karipap Gergasi yang sebesar ini. Bak kata orang Banjar “wahhh.... ganal nyak wadai karipap nih!!”...
Karipap gergasi ini sepanjang 6 inci dan 3 inci lebar.
Nasib baik penulis sempat merakamkan gambar foto karipap gergasi ini melalui kamera handphone sebagai bahan bukti. Jika tidak, sudah tentu penulis akan lupa dan terus ngap keripap ini, kemudian baharulah teringat hendak merakamkan gambarnya. Jika tiada gambar, mungkin anda semua sukar mempercayainya bukan? 
Sudah sama saiz dengan tangan penulis.
Karipap Gergasi ini memang sedap. Harganya RM3.50 sahaja. Jika beli 3 dapat RM10. Agak mahal sedikit, berbanding Karipap Gergasi di Kuala Selangor yang cuma berharga RM2.50 sahaja. Tetapi tidak mengapalah, janji karipap ini sedap dan enak. Intinya penuh, tidak terlalu ranggup dan tidak pula terlalu rapuh. Just nice. Patutlah ramai orang yang melalui jalan ini akan singgah untuk mendapatkannya. Karipapnya digoreng segar. Pelanggan tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkannya.
Karipap Gergasi Gombak Cikgu Din.
Penulis hendak tulis lebih-lebihpun tidak guna juga. Nanti jadi iklan percuma kat tauke gerai karipap itu pula. Tetapi, jika sesiapa yang mengidam sangat dengan karipap gergasi ini dan hendak mencari di mana lokasi nya. Cukup mudah untuk mencarinya. Gerai ini terletak di Taman Samudera, Batu Caves iaitu belakang pasaraya Giant Batu Caves. Gerai Karipap Gergasi ini kecil sahaja. Tetapi, pelanggannya memang tidak putus-putus....

Isnin, 11 November 2013

Rindukan Restoran Mamak?

Entah kenapa secara tiba-tiba penulis rindukan restoran mamak di Jalan Choo Cheng Key. Penulis masih terbayang-bayang haruman rempah dan keenakan kuah kari kambing dan kari ayamnya. Semasa pejabat kami di Wisma Mirama dahulu, penulis dan rakan-rakan ada sesekali serapan dan makan tengahari di restoran mamak. Kebetulan pula ada beberapa buah restoran dan gerai mamak yang berhampiran dengan pejabat penulis.
Kita hendak serapan di mana hari ini?
Pekena teh tarik dan nasi lemak bungkus di Restoran Mamak.
Ada kalanya kami tidak tahu restoran manakah yang menjadi pilihan. Tetapi, selalunya restoran mamak di sebelah bangunan Wisma Mirama di Jalan Choo Cheng Key ini lah yang yang menjadi tumpuan. Hanya restoran ini sahaja yang paling hampir dan kami hanya perlu berjalan kaki sahaja. Manakala menu yang biasa kami pesan sudah tentulah Mee Goreng Mamak, Rojak atau Roti Telur. Minuman sudah tentulah teh tarik!!....
Menikmati teh tarik dan roti telur mamak.
Serapan hari ini kita pekena Putu Mayam.
Restoran mamak ini juga menghidangkan ayam goreng, sotong goreng, udang goreng dan masakan berasaskan kari yang boleh menyebabkan air liur anda meleleh. Dengan menu istimewa ini, restoran ini sentiasa dipenuhi pelangan terutama di waktu makan tengahari. Makanan boleh minta dihidang atau ambil sendiri secara sepinggan.
Bukan selalu dapat serapan dengan  Putu Mayam.
Putu Mayam.
Tidak adil, jika hendak dikatakan makanan di sini sangat sedap. Tetapi, ketika kami tiba, tempat duduk dipenuhi dengan pelanggan. Dengan jumlah pengunjung yang datang, boleh di katakan makanan di sini menyelerakan juga. Harganya pula memang boleh tahan juga lah. Selalunya di hari gaji sahaja kami mampu makan tengahari di restoran mamak ini he...he....
Abang Pian berselera dengan Putu Mayam.
Abang Meo memang suka makanan ala mamak nih.
Walau apapun restoran pilihan kita, faktor utama sebelum makan direstoran tersebut pastikan ianya bersih, suci dan halal oleh JAKIM.

Jumaat, 8 November 2013

Pekena Sate Seri Melaka?

Semalam, entah kenapa secara tiba-tiba sahaja teringin pula tekak ini mengidam sate. Apabila berbicara tentang sate, biasanya tempat sate yang terbaik yang selalu penulis pergi ialah Sate Seri Melaka. Bukannya gerai ini terletak di negeri Melaka tetapi nama gerainya sahaja Sate Seri Melaka.
Gerai Seri Melaka di hujung sekali.
Satay Sri Melaka.
Sebenarnya gerai ini terletak di berhampiran dengan pejabat penulis iaitu di Medan Selera MPAJ, AU5. Kenapa gerai ini diberi nama Seri Melaka? Penulis sendiri pun tidak tahu. Kemungkinnan taukenya berasal dari negeri Melaka.
Gerai Satay Seri Melaka.
Sate sedang dibakar.
Sate di sini memang sedap jika hendak dibandingkan dengan sate yang lebih popular di Kajang itu. Oopp!... tidak boleh disebut namanya di sini, nanti kena saman pula!..hehe... Sate Seri Melaka ini tidak terlalu kering dan kuah kacangnya amatlah segar dan enak. Manakala daging sate nya lembut, lemak, berempah dan besar.
Penulis hanya order 10 cucuk sate.
Daging satenya lembut, sedap dan besar.
Harga bagi secucuk sate ayam dan daging hanya RM0.80 sahaja. Bagi sate hati RM1.00 dan sate kambing RM1.50, jika tidak silap penulis lah. Penulis hanya order 5 cucuk sate ayam dan 5 cucuk sate daging yang berharga rm9.00 sahaja. Memang rasa tidak cukup tetapi, tidak berani order banyak, nanti darah naik...hehe... Gerai sate ini beroperasi setiap hari bermula dari jam 6pm hingga12pm.
Sate yang berjaya dihabiskan.
Sempat makan semangkuk Bakso.
Jika anda melalui lebuhraya MRR2 di area Hulu Klang, anda akan ternampak pasaraya Giant Taman Permata, sila masuk ke simpang besar hendak ke Giant tersebut. Tetapi, jangan masuk ke lorong kecil yang hendak ke pasaraya Giant pula. Dari bangunan pasaraya Giant tersebut, anda jalan terus sehingga terjumpa dengan stesen minyak Petronas dan Esso. Di hadapan sedikit baharu ternampak Medan Selera MPAJ. Gerai Sate Seri Melaka ini terletak di hujung sekali....
Ada sate ayam, daging, perut dan hati.
Semakin petang semakin ramai pelanggan datang.
Antara menu-menu yang best di sini ialah Bakso, Mee Rebus, Soto Singapore dan juga Laksa. Penulis hanya sempat makan 10 cucuk sate, semangkok bakso dan segelas air kosong sahaja. Lain kali, penulis bercadang hendak makan Laksa atau Soto pula.. Hanya ini sahaja foto-foto yang sempat dirakamkan... Next time penulis akan snap foto makanan lain ekk.. huhu...

Khamis, 7 November 2013

Pekena Ikan Bakar Arang

Di Lembah Kelang memang banyak gerai yang menyediakan menu masakan ikan bakar. Ikan bakar yang popular seperti di jalan Bellamy memang sering menjadi bualan hangat di pejabat penulis. Tetapi, kini pejabat penulis berada di area Hulu Klang. Hendak makan ikan bakar di gerai jalan Bellamy agak jauh. Oleh itu, penulis ke gerai ikan bakar di medan selera Taman Melawati. Gerai ini memang sesuai untuk penulis dan rakan-rakan sepejabat makan tengahari.
Sighboard Ikan Bakar Arang.
Ikan Kembung Bakar.
Nama gerai ini ialah IKAN BAKAR ARANG atau dikenali dengan Mak Yam gerai no 13B. terletak di medan selera Taman Melawati yang bersebelahan dengan tapak pasar malam & tani, pejabat jualan pemaju rumah Sime Darby dan tapak pusat membeli belah yang akan dibina. Kawasan ini terletak di tengah-tengah pusat bandar Taman Melawati. Gerai ini terletak di belakang berhampiran dengan Jabatan Pendaftaran Negara.
Ikan Keli Bakar.
Ikan masih segar.
Penulis dapati, gerai ini kelihatan sempoi sahaja maklumlah Gerai MPAJ. Tetapi, ikan bakarnya memang terbaik, cuma yang tiada udang dan sotong sahaja. Tetapi menu seperti ayam dan ikan bakar seperti ikan kembung, ikan pari, ikan keli dan pelbagai jenis ikan ada di bakar di sini. Ikannya yang dibakar dengan sempurna dengan rasa yang enak serta harga yang berpatutan. Kuah cecahnya memang ada umm dengan pelbagai variasi. Selepas makan pastinya penulis akan menjilat jari dan bau kuah cecahnya masih terlekat di tangan penulis.
Pelbagai jenis pencecah,
Pelbagai ienis lauk juga disediakan.
Selain ikan bakar gerai juga menyediakan pelbagai jenis makanan dengan pelbagai jenis lauk pauk dan kuih-muih yang menyelerakan. Antara lauk-pauk yang gerai ini sediakan seperti: 
  • Ayam Masak Kicap 
  • Ikan Keli Sambal 
  • Ikan Pari Asam Pedas 
  • Kari Kepala Ikan 
  • Kari Daging Kawah 
  • Ulam-ulaman dan sebagainya.

Pelbagai jenis ulam.
Pelbagai jenis lauk yang menyelerakan.
Oleh kerana gerai ini terletak di medan selera bersebelahan dengan tapak pasar malam Taman Melawati, untuk tempat meletak kenderaan tidak menjadi masalah kerana kawasan ini luas.