Rabu, 11 Julai 2012

Melancung ke Pulau Langkawi bhg. 04

Hari terakhir di Pulau Langkawi, hujan turun dengan lebatnya di sebelah pagi. Namun, kami tetap meneruskan perjalanan ke jeti Kuala Perlis. Tiba di jeti Kuala Perlis, hujan masih turun dengan lebatnya. Kami meneruskan perjalanan kei Bandaraya Alor Setar untuk berhenti berehat. Di Alor Setar kami  jalan-jalan cari makan dan bershopping di Pekan Rabu.

Bergambar kenangan di hadapan hotel penginapan.
Bersiap sedia menaiki feri ke jeti Kuala Perlis.
Pekan Rabu merupakan salah satu mercu tanda di Bandaraya Alor Setar, Kedah Darul Aman. Tidak sah bagi mereka yang mengunjungi Alor Setar jika tidak ke sini. Malah mantan PM kita Tun Mahathir pun suka membeli belah di sini. Pekan Rabu bolehlah disamakan dengan Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu dan Pasar Payang di Kuala Terengganu. Tetapi Pekan Rabu lebih kecil dari segi saiznya.

Suasana di dalam feri.
Suasana di Jeti Kuala Perlis.
Pekan Rabu yang terletak di tengah-tengah bandar Alor Setar, memang tidak asing lagi di kalangan penduduk tempatan ataupun luar negeri Kedah. Kompleks perniagaan orang-orang Melayu yang tersergam indah itu merupakan lambang kemegahan bukan sahaja kepada peniaga-peniaga bumiputera di Kedah, bahkan menjadi kebanggaan kepada seluruh masyarakat bumiputera di Kedah. Bagi pelancong-pelancong, sekiranya mereka singgah ke Alor Setar, semacam tidak cukup syarat, jika tidak singgah atau membelah-belah di Kompleks Pekan Rabu.

Bas sudah sedia menunggu di Jeti Kuala Perlis.
Ruang bagasi bas telah dipenuhi dengan barang-barang yang dibeli di Langkawi.
Pendek kata banyak benda yang boleh dicari semasa di sini. Harganya boleh dirunding tetapi kebanyakan harga makanan adalah harga tetap. Pelbagai barangan terjual di sini, antaranya pelbagai jenis tudung, pakaian, songkok cek det, pakaian ihram, pakaian sekolah, kedai jamu dan barang kraftangan. Semasa penulis berada di sini, di perhatikan ramai yang memegang senarai barang pesanan untuk saudara mara dan teman-teman di pejabat.

Pekan Rabu.
Gerai di Pekan rabu.
Di ruangan ini (foto di atas) barulah penulis berminat untuk membeli untuk keperluan sendiri atau dibuat ole-ole. Iaitu gerai yang menjual asam jawa tanpa biji, belacan special, dodol, kueh bahulu panas dan pelbagai jenis serunding. Ada juga gerai yang menjual ikan pekasam. Ikan pekasam pastinya menambat selera. Anda boleh tentukan ikan jenis apa yang diingini. Harganya bergantung kepada jenis ikan yang dipilih. Di sini penulis sempat membeli setengah kilo ikan pekasam Lampam dan Gelama.

Antara gerai di Pekan Rabu.
Macam-macam ada di Pekan Rabu.
Berdasarkan sumber internet, Pekan Rabu sudah memulakan aktivitinya sejak Perang Dunia Pertama lagi. Ini merupakan inisiatif dari Y.T.M. Tunku Yaacob, Putera Diraja Kedah dalam usaha baginda menggalakkan penglibatan orang Melayu dalam dunia perniagaan terutamanya di bandar.

Antara kerepek yang di jual di Pekan Rabu.
Ikan Pekasam.
Permulaanya, Pekan Rabu merupakan sebuah pasar minggu di Tanjong Chali iaitu terletak di persinggahan antara Jalan Pekan Cina dan Jalan Pengkalan Kapal di Bandar Alor Setar ketika itu. Sejarah membuktikan bahawa Tanjong Chali adalah tapak bagi melatih orang-orang Melayu dalam bidang perniagaan. YTM Tunku Yaacob merupakan pengasas kawasan perniagaan ini menjadi pasar minggu di situ pada setiap hati Rabu sahaja pada awal 1920-an.

Gerai Makan di Pekan Rabu.
Kueh tradisional juga ada dijual di Pekan Rabu.
Bertitik-tolak dengan perkembangan kemajuaan daripada pasar minggu itu, maka pasar itu berlangsung setiap hari. Justeru, Kerajaan Negeri Kedah telah memindahkan Pekan Rabu ini ke sebuah tapak baru menjelang tahun 1932 berdasarkan perkembangan aktiviti perniagaan.

Nampaknya masih mampu membeli belah di Pekan Rabu.
Pekan Rabu.
Setelah makan tengahari dan membeli belah di Pekan Rabu, kami meneruskan perjalanan ke bandar sik untuk melawat ladang anggor pula.

Bersambung...

Tiada ulasan: