Selasa, 22 Julai 2008

Kota Busan, Korea Dalam Kenangan


Seramai seratus pemenang peraduan Samsung berpeluang menyaksikan Sukan Asia di Busan pada tahun 2002

Pesawat Korean Air dinaiki bersama rombongan Famemas iaitu pemenang peraduan Samsung selamat mendarat di Lapangan terbang Antarabangsa Incheon kira-kira 11 pagi (waktu Korea Selatan). Pada 8hb Oktober 2002 yang lalu selepas penerbangan kira-kira enam jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Perbezaan waktu Korea Selatan dengan Malaysia ialah satu jam. Cuaca di Korea Selatan 10 darjah selsius, walaupun tidak bersalji dinginnya mencengkam hingga ke tulang.


Kotaraya Busan, kotaraya kedua terbesar di Korea Selatan


Penulis bergambar kenangan di sebuah taman di Busan, Korea

Rombongan kami seramai 100 pemenang peraduan Samsung yang akan menyokong atlit Malaysia yang bertanding di Sukan Asia di Korea Selatan. Kami disambut sekumpulan staff Samsung Korea dan agensi pelancungan di sana. Kami mendapat khidmat dua orang pemandu pelancung berbangsa Korean. Dari lapangan terbang, kami di bawa bersiar-siar di sekitar kotaraya Seoul sebelum meneruskan perjalanan ke kotaraya Busan pula. Menurut pemandu pelancung kami, Korea Selatan mempunyai 50 juta penduduk dengan Seoul menjadi tumpuan 10 juta orang. Keadaan itu menyebabkan lalu lintas ibu negara Korea Selatan itu sentiasa sesak.


Penulis bergambar kenangan di sebuah taman bunga di Busan Korea


Penulis bergambar kenangan di tengah-tengah kotaraya Busan, Korea

Korea Selatan juga mempunyai lebih 3.000 pulau kecil yang menjadi tarikan pelancung, terutama pada musim bunga dan panas termasuk Pulau Nami yang menjadi lokasi pengambaran drama popular Korea Selatan, Winter Sonata. Memasuki zon metropolitan Seoul, kami Itaewon yang terkenal di kalangan pelancung dan rakyat asing. Ia turut menempatkan markas tentera USA dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kemasukan orang luar menimbulkan masalah sosial dan hakisan budaya termasuk pergaulan bebas, fesyen ranggi dan pusat hiburan.


Penulis sedang mengibarkan jalur gemilang di Busan, Korea

Papan tanda lalu lintas di Seoul agak bercelaru menyebabkan pemanduan tidak begitu selesa. Kami turut melalui kawasan Ibu Pejabat Sisten Penyiaran Korea (KBS) bersebelahan kawasan dikenali sebagai 'Manhattan'. KBS terkenal dengan terbitan drama Winter Sonata. Penduduk Korea Selatan lebih suka bersiar di luar kerana musim panas yang singkat. Di rumah atau restoran, mereka menggunakan lantai papan untuk meletak paip pemanas di bawahnya sebagai tempat duduk. Mereka juga gemar makan bercucuk, terutama daging atau bebola seperti sate yang dimakan terus ketika panas.


Kami juga diberi makanan kotak seperti foto di atas


Penulis bersama Dato Khalid Yunus, ketua kontijen Atlit Malaysia di Sukan Asia Busan

Kami turut melalui Sungai Han atau Hangang dengan lebih 50 jambatan dibina bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas waktu puncak. Antara mercu tanda di Seoul ialah bangunan 63 tingkat milik Hyundai. Syarikat konglomerat atau chabol (sebuah jaebol) Korea seperti Hyundai, Samsung dan Daewoo turut terkenal dengan projek hartanah. Banyak kenderaan buatan Korea meluncur di jalan raya Korea berikutan dasar cukai tinggi ke atas kenderaan luar, terutama Jepun atau Barat.


Penulis dan rakan-rakan sedang berbaris untuk masuk ke stadium


Penulis dan rakan-rakan di Lapangan Terbang Busan

Belum puas menyaksikan keindahan kotaraya Seoul, kami di bawa kembali ke lapangan terbang untuk meneruskan penerbangan ke kotaraya Busan pula. Setelah hampir 40 minit pernerbangan kamipun tiba di Langan Terbang Antarabangsa Busan. Bandaraya Busan merupakan bandaraya yang kedua terbesar di Korea Selatan. Bandaraya Busan merupakan sebuah bandar pelabuhan yang berhampiran dengan laut Facifik yang sentiasa sibuk. 

Dari lapangan terbang kami terus ke hotel penginapan iaitu Hotel Bogok Hawaii yang terletak di atas bukit di pinggiran bandaraya Busan. Di hotel ini sebelum membeli belah, pemandu pelancung kami memberi nasihat supaya jangan tawar menawar kerana kos hidup yang tinggi di Korea Selatan. Di Korea Selatan, biasanya peniaga hanya memberi diskaun sehingga 1.000 won jika barangan bernilai 5.000 won. Ketika di Busan, kadar pertukaran 100.000 won adalah rm370.00 bermakna kita boleh menjadi jutawan jika menukar beribu-ribu ringgit. Bagaimanapun, elok belajar istilah seperti eri maiyo (berapa harga), kaka chiu seyo (boleh kurang), pin seyo (beri diskaun) dan tong demong (mahal)


Penulis dan rakan-rakan lepak di perhentian bas setelah penat membeli belah di shopping mall di Busan, Korea

Sebelah siang, kami ke stadium untuk menyaksikan dan memberi sokongan kepada atlit atlit Malaysia yang bertanding di Sukan Asia. Antara acara sukan yang sempat kami saksikan adalah acara badminton, renang, karate dan bowling. Di Korea Selatan, rakyatnya memang meminati sukan. Kanak-kanak yang berusia di dalam lingkungan tiga tahun sudah di ajar menyokong pasukan kebangsaan mereka. Mereka beramai ramai bersorak 'Hoe Ming Gok!' yang bermaksud Korea Boleh!. Tuan rumah juga menyediakan pasukan sorak untuk setiap negara yang bertanding. Mereka mengibarkan bendera negara tersebut sambil bersorak dan bermain alat muzik. Semua ini bertujuan untuk memeriahkan lagi suasana Sukan Asia tersebut. Jika tiada atlit Malaysia yang bertanding pada hari tersebut, kami di bawa melawat ke tempat tempat menarik di sekitar bandaraya Busan seperti melawat kilang Samsung, taman tema, pelabuhan Busan dan pusat membeli belah. Sebelah malamnya pula, kami ke pusat hiburan atau membeli belah di sekitar hotel sahaja.

Cuaca semakin sejuk pada hari terakhir semasa kami di Korea Selatan menyebabkan banyak atur cara terpaksa dibatalkan. Menurut pemandu pelancung kami, warga Korea Selatan tidak gemarkan cuaca yang terlalu sejuk dan bersalji. Percutian ke Korea Selatan walaupun agak mahal berikutan kadar pertukaran mata wang yang tinggi, tetap menarik jika bijak mendekati budaya masyarakatnya. 

Tiada ulasan: