Rabu, 23 Julai 2008

Menemani Jacob ke Negara Filipina


Pemandangan kotaraya Manila dari bilik hotel

Pada tarikh 25hb Desember 2002, aku bersama rakan sepejabat, en. Jacob dan bapanya pergi ke negara Filipina untuk melawat keluarga tunang Jacob dan bercuti. Kami ke negara Filipina selama lima hari empat malam kerana bapa Jacob ingin berbincang dengan keluarga tunangnya berkenaan urusan pernikahan mereka yang bermasalah. Disamping itu kami sempat melawat tempat tempat menarik di sekitar kotaraya Manila.


Penulis berada di perhentian bas Manila


Penulis sedang menunggu kenderaan di stasen bas Manila untuk ke Baguio City

Kami bertolak dari Lapangan Antarabangsa kuala Lumpur (KLIA) pada jam 2 petang dan transit sebentar di Lapangan Antarabangsa Canggi Singapura. Sejam kemudian kami berangkat semula ke Manila yang memakan masa tiga jam perjalanan. Jam 5 petang, kami selamat sampai di airport Manila. Ninoy Aquino International terletak lebih kurang lima kilometer dari pusat bandar Manila. Di lapangan terbang kami disambut oleh Cik Fatima iaitu tunang Jacob yang berbangsa Filipina. Kami menaiki van untuk pergi ke hotel penginapan di Pasay City, Manila. Sepanjang perjalanan ke hotel, kami melewati perkampungan perkampungan seperti setinggan. Pada masa itu aku berpendapat bahawa negara Filipina merupakan sebuah negara yang kurang teratur seperti Vietnam, Laos dan Kemboja. Kami menginap di Kebayan Hotel yang bertaraf tiga bintang. Hotel ini berdekatan dengan Pasay City iaitu di dalm kawasan downtown Manila. Biliknya besar dan sungguh selesa. Aku sebilik dengan Haji Samson iaitu bapa Jacob. Selepas makan malam di hotel, kami merayau di sekitar Makati City. Di sini terdapat banyak bangunan tinggi dan daerahnya lebih bersih daripada Pasay City. Kelab hiburan dan rumah pelacuranpun banyak he..he.. Makati City merupakan bandar ekonomi. Oleh sebab itu ramai pekerja bercuti pada hari minggu dan kebanyakkan kedai ditutup.


Penulis bergambar kenangan di tembok Intramurus


Suasana sibuk di pasar pagi di Pasay City

Keesokkan harinya kami bersiar-siar di Rizal Park. Rizal Park merupakan sebuah taman bunga yang terdapat beberapa patung gangsa Dr. Jose Rizal dan mempunyai lanskap yang menarik. Kemudian, kami melawat Intramurus iaitu kawasan bersejarah kesan peninggalan penjajahan sepanyol yang terletak di dalam sebuah kota yang dikepung oleh tembok. Walaupun kota tersebut diwartakan sebagai kawasan pelancungan utama, ia kelihatan tidak dijaga dengan baik dan ramai penduduk miskin (homeless) mendiami kawasan tersebut. Kebanyakkan bangunan di Intramurus sudah kelihatan usang dan seolah-olah tiada siapa yang menguruskannya. Selepas melawat bangunan dan tembok di Intramurus, kami pulang ke hotel untuk mengemas barang untuk bersiap sedia ke Baguio City pula. Selepas check-out hotel, kami  ke perhentian bas Manila untuk meneruskan perjalanan ke Baguio City. Kami menaiki bas exkpress ke Baguio City yang jauhnya lebih kurang 500 kilometer yang mengambil masa hampir 6 jam perjalanan. Kami sampai di Baguio City pada jam 8 malam dan terus check-in hotel. Selepas beberapa jam berehat di hotel, kamipun keluar bersiar-siar untuk menikmati suasana malam yang hidup di bandar tersebut. Oleh kerana cuaca yang sangat sejuk di malam hari, kamipun memasuki sebuah kelab hiburan sambil menyaksikan tarian separuh bogel. Sungguh kelakar apabila Jacob dan bapanya turut berjoget bersama penari penari kelab hiburan tersebut di atas pentas.


Kami sempat bersiar-siar di Rizal Park


Suasana Baguio City di waktu pagi

Hari berikutnya, kami bangun awal pagi untuk menjelajahi sekitar Baguio City. Bandar pelancungan yang sangat cantik ini terletak di atas bukit dan bercuaca dingin seperti di genting Higland di Malaysia. Di sini, ramai peniaga menjual permainan kanak-kanak, makanan, buah-buahan dan pakaian di tepi jalan. Pada mulanya kami berjalan-jalan di sekitar Tasik Burham Park untuk melihat aktiviti-aktiviti pagi. Pada masa itu ramai pelancung tempatan bercuti di sini dan jalanpun menjadi sesak. Oleh kerana tunang Jacob berbangsa Filipina, jadi mudahlah kami bergerak mengelilingi Baguio city ini. Kami menaiki Jeepney yang penuh sesak. Jeepneys merupakan pengangkutan awam utama di Filipina. Kenderaan tersebut berasal dari zaman penjajahan USA. Selain itu terdapat kenderaan awam lain seperti bas, teksi, beca berenjin motosikal dan beca basikal. Demi menjimatkan kos, kami balik ke hotel dengan berjalan kaki sejauh lima kilometr. Sepanjang perjalanan, kami menempuh beberapa buah tempat menarik seperti bangunan The Mansion dan taman bunga.


Penulis bersama bapa Jacob dan Fatima di Tasik Burham, Baguio City


Penulis bersama Jacob dan bapanya menyaksikan keindahan One Hundred Island

Selepas makan tengah hari, kamipun check-out hotel untuk menuju ke Alaminos Pengasinan iaitu kampung halaman tunang Jacob. Kami ke sana denagn menaiki van sewa yang memakan masa hampir empat jam perjalanan. Sepanjang perjalanan kami melewati beberapa buah perkampungan. Kebanyakkan reka bentuk rumah-rumah mereka berbentuk barat kerana kesan dari penjajahan dari negara Amarika dahulu. Rumah mereka dihiasi cantik dengan lampu-lampu yang berwarna-warni kerana mereka baru sahaja menyambut perayaan Krismas. Setelah empat jam perjalanan, kamipun sampai di bandar Alaminos Pengasinan. Kami menginap di hotel bertaraf tiga bintang yang terletah berhadapan dengan laut. Sepanjang petang itu aku hanya menyaksikan aktiviti-aktiviti laut dari tepi pantai sahaja. Sebelah malam di restoran hotel, keluarga tunang Jacob mengadakan majlis makan malam bersama kami. Di sini aku dapat berkenalan dengan setiap ahli keluarga tunang Jacob. Menurut Fatima, kesemua ahli keluarganya pernah berkerja di luar negara sehingga kakak sulungnya boleh bertutur bahasa arab dengan baik. Kami difahamkan kebanyakkan rakyat Filipina merantau ke luar negara untuk mencari perkerjaan yang lebih baik. Selepas makan malam, kami berkaroeke hingga ke pagi.


Kepulauan One Hundred Island


Penulis bergambar berlatar belakangkan One Hundred Island

Pada keesokkan paginya, kami akan ke rumah keluarga Fatimah yang terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar Alaminos, Kami sempat merayau-rayau untuk melihat aktiviti-aktiviti penduduk di bandar Alaminos ini. Kami sempat berserapan pagi di Restoran MC Donalds sementara menunggu abang Fatima yang akan mengambil kami dengan mengunakan kenderaan seperti beca berenjin. Aku seperti sesak nafas apabila menaiki kenderaan ini kerana saiz badan kami bertiga bersaiz XXL... huhuhh.. Setelah setengah jam perjalanan, kamipun sampai ke rumah kbapa Fatimah. Oleh kerana bapa Fatima seorang petani, rumahnya di kelilingi dengan kebun sayur dan sawah padi. Sawah padi di sini hampir sama dengan sawah padi di kampung aku di Sungai Besar cuma mereka masih mengunakan kerbau untuk membajak. Di rumah inilah Haji samson dan Mr. Tablang berbincang mengenai anak-anak mereka yang mempunyai masalah hendak berkahwin.


Penulis dan Haji Samson bergambar kenangan dengan beca berenjin motosikal


Mr. Tablang bapa Fatima

Aku sempat makan tengah hari bersama keluaraga Fatima. Sungguh enak masakkan keluarga beliau kerana kakak Fatima pernah berkerja tukang masak di negara Arab Saudi. Sebelah petangnya kami menaiki bot untuk menyaksikan keindahan flora dan fauna kepulauan One Hundred Island di pantai Alaminos Pengasinan. Pulau-pulau ini menjadi tumpuan pelancung dari dalam dan luar negeri kerana keunikkan seratus buah pulaunya. Jika bernasib baik kami dapat menyaksikan minah-minah mat salleh memakai bikini tampa coli berjemur di persisiran pantai pulau-pulau ini. Tetapi malangnya tiada pelancung mat salleh pada hari tersebut. Cuma yang ada hanyalah pelancung tempatan sahaja. Walaubagaimanapun kami cukup berpuas hati kerana dapat menyaksikan keindahan alam semula jadi di kepulauan tersebut. Sebelah malamnya kami makan malam di rumah kakak Fatimah. selepas makan malam kami pun berborak sambil minum-minum. Dirumah kakak Fatima ini juga menjadi kenangan seumur hidup aku kerana kali pertamanya aku minum bear setelah dipaksa oleh Jacob yang kononnya untuk menghormati tuan rumah. Aku hanya minum sedikit sahaja, yang selebihnya aku tuang melalui tingkap.... huhuhhh.. 


Fatimah bersama ahli keluarganya


Penulis pernah berserapan pagi di restoran Mc Donalds Alaminos Pengasinan ini


Hari-hari terakhir kami di Alaminos Pengasinan, kami berkesempatan berkunjung di sebuah Masjid Angulia untuk berjumpa dengan tok imam masjid tersebut. Rupa-rupanya ramai juga penduduk Islam di daerah ini. Haji Samson ingin berjumpa dengan tok imam tersebut kerana mahu mendengar khidmat nasihat tentang permasalahan anaknya dan Fatimah yang ingin berkahwin. Yang menariknya, imam tersebut boleh bertutur bahasa melayu dengan baik kerana beliau pernah menuntut ilmu agama di Malaysia. Dengan itu mudahlah tok imam tersebut berbincang dengan kami.

Balik dari masjid tersebut, kami check-out hotel untuk pulang ke Manila semula. Kami menaiki bas selama empat jam. Di Manila, lagi sekali kami menginap di Kebayan Hotel. Di hotel ini Haji Samson berjumpa dengan adik saudara perempuannya yang sudah lama terpisah. Bapa Jacob juga berbangsa Filipino tetapi dilahirkan di negeri Sabah. Aku biarkan keluarga Jacob bermesra dengan saudara-maranya. Akupun pergi ke sebuah pusat membeli belah yang bernama Mall of Asia yang dikatakan yang ketiga terbesar di Asia. Mall yang dua tingkat ini adalah terdiri daripada beberapa buah bangunan besar di tepi pantai Manila Bay. Petang itu, aku hanya melihat aktiviti pantai di tepi pantai Manila Bay sebelum kembali ke hotel untuk berehat. Sebelah malam aku berjumpa dengan Haji Samson, Jacob dan Fatima untuk makan malam di restoran bersama-sama.

Oleh kerana pada malam tersebut akan menyambut tahun baru 2003, aku dapati ruang angkasa Manila dipenuhi dengan percikan bunga api yang berwarna warni. Sungguh meriah suasana pada malam tahun baru tersebut. Aku hanya menyaksikan kemeriahan malam tersebut melalui tingkat hotel sahaja. Selepas beberapa jam kemudian, kedengaran seren ambulan yang menandakan ada yang tercedera angkara mercun.

Pada pagi tahun baru 2003 kami ke Lapangan Antarabangsa Ninoy Aquino untuk menaiki pesawat Singapore Airline untuk kembali ke tanah air. Aku sungguh seronok dengan lawatan ini. Aku sangat enjoy melancung bersama Jacob dah Haji Samson, walaupun mereka sering mengenakan aku tetapi mereka sangat sporting dan amat kelakar. Walaupun negara Filipina merupakan sebuah negara yang kadang-kala menakutkan kerana kawalannya yang sungguh ketat, tetapi ia masih lagi menarik untuk dilawati.

1 ulasan:

Rahimin Idris berkata...

salam bro,
kuat betul bro berjalan. mesti banyak pengalaman. apa-apa pun saya suka blog bro. teruskan perjalanan. salam kenal dari saya manusia yang banyak berdosa...