Selasa, 10 Jun 2008

Setelah ibu meninggal dunia


Potret penulis semasa berumur empat tahun

Setelah ibu meninggal dunia pada usia aku empat tahun, aku dibesarkan oleh ayah dan tiga orang kakak aku. Aku sendiripun tidak tahu kenapa aku boleh tidak rindukan arwah ibu ketika itu. Menurut kakak, ayah telah membawa aku berjumpa dengan bomoh untuk berubat supaya aku tidak teringat-ingat atau rindukan arwah mak.

Semasa aku berusia tujuh tahun, ayah membawa aku ke pekan Sungai Besar untuk membeli pakaian baru. Aku ingatkan pakaian untuk menyambut hari raya, rupa-rupanya esok ayah akan menghantar aku ke Sekolah Kebangsaan Parit 13 untuk masuk ke darjah satu. Masih lagi teringat, ketika aku menangis teresak-esak apabila aku ditinggalkan keseorangan di hari pertama persekolahan sehinggalah guru kelas iaitu cikgu Abu Kassim memujuk aku supaya jangan menangis dan bertenang. 

Semenjak hari itu ayah atau abang sering menghantar dan mengambil aku dari sekolah mengunakan basikal tua dan diberi duit siling dua puluh sen sebagai belanja harian. Apabila sudah darjah dua, aku jalan kaki sahaja dengan rakan-rakan ke sekolah yang jauhnya setengah batu dari rumah. Berbeza sungguh dengan murid-murid sekarang. Mereka sungguh gembira dan teruja hendak ke sekolah dengan menaiki bas.

Semasa aku di darjah dua, kedua-dua kakak iaitu kak Non dan kak Siti telah berkahwin dan mengikut suami masing-masing. Manakala seorang lagi kakak aku, kak Nor mendapat perkerjaan di Kuala Lumpur. Mungkin disebabkan itu ayah berkahwin lain. Semenjak itu aku dijaga oleh ibu tiri yang bernama makcik Isau. Tinggal bersama ibu tiri tidak menjadi masalah cuma dia agak garang sedikit tetapi tidaklah sampai ke tahap memukul sampai teruk macam dalam filem tuuu.... huhuhhhh

Setahun kemudian aku mendapat adik lelaki yang diberi nama Ramli. Semenjak itu kasih sayang ayah lebih tertumpu kepada adik. Namun begitu ia tidak menjadi masalah pada diriku kerana setiap hari masaku dihabiskan dengan pelbagai aktiviti. Setiap kali pulang dari sekolah, pada sebelah petang aku akan ke rumah jiran-jiran untuk bermain pelbagai jenis permainan kampung seperti bermain bola sepak, guli, getah dan kadang-kala berkubang di parit ataupun mengagau ikan di bendang. 

Permainan yang yang paling bahaya sekali ialah membaling sarang tembuan. Pada sebelah malamnya aku ke rumah jiran-jiran untuk menonton tv. Pada masa itu tv masih lagi hitam-putih. Antara siaran yang menjadi pilihan aku adalah Drama Minggu Ini, Combat, cerita Melayu/Indon dan Hiburan Minggu Ini. Jika tiada cerita yang menarik aku dengar radio atau tidur sahaja di rumah!!

Tiada ulasan: