Kali ini penulis masih bercerita tentang makanan. Tetapi, ini bukan bermakna blog picisan penulis akan menjadi blog berkisarkan tentang makanan sahaja. Tidak sama sekali. Ia masih blog penulis seperti dulu...
Lori Gerai Nasi Kukus Ayam Dara Berempah Haikal. |
Anda pernah terdengar Nasi Kukus Ayam Dara Berempah? Setahu penulis makanan ini memang popular di negeri-negeri pantai timur. Penulis memang tidak pernah makan tetapi disebabkan rakan sepejabat ramai yang berasal dari pantai timur, baharu penulis tahu tentang makanan ini.
Banner di gerai. |
Sekali cuba, memang hendak lagi. Cuma, menurut kata rakan-rakan, jika hendak makan Nasi Kukus Ayam Dara Berempah yang lagi sedap, kenalah pergi ke Pantai Timur!. Alamak! jauhnya. Tetapi, tidak mengapa, masih banyak gerai atau restoran yang menjual Nasi Kukus Ayam Dara Berempah di pantai barat ini terutama di Selangor atau Kuala Lumpur .
Ayam Dara Berempah panas punya. |
Baru-baru ini, penulis terjumpa satu gerai yang menjual Nasi Kukus Ayam Dara Berempah ini di Taman Samudera, Batu Caves. Pada masa itu, secara tidak sengaja penulis tersinggah ke gerai tersebut dan terus terpikat. Sejak hari itu, setiap kali ada urusan Batu Caves atau Gombak, penulis akan singgah ke gerai ini untuk menikmati keenakan Nasi Kukus Ayam Dara Berempahnya.
Antara pelanggan yang membeli nasi kukus. |
Nasi Kukus Ayam Dara Berempah ini terdiri dari nasi yang dikukus, sambal hijau, kuah kari, timun dan ayam kampung goreng berempah. Gabungan ramuan istimewa ini membuatkan nasi kukus ini menjadikan sedap. Ramai yang tertanya-tanya “bagaimana hendak tahu ayam itu masih dara atau tidak?” Penulis sendiri pun tidak tahu sebabnya kerana tidak pernah belajar tentang bagaimana cara hendak check ke’dara’an ayam tersebut... Hehehe. Jika hendak tahu juga, kena cari di Google ataupun tanya kepada yang pakar ayam.
Nasi Kukus Ayam Dara Berempah. |
Anyway, memang puas hati makan di sini kerana nasi kukusnya banyak dan ayamnya pula besar. Harga tidak terlalu mahal hanya RM5.30 sepinggan/sebungkus. Sangat berbaloi dan... memang puas hati apabila meratah ayam ini kerana terasa rempah ratusnya. Jika yang berasal dari neger-negeri pantai timur yang merindui Nasi Kukus Ayam Dara berempah bolehlah berkunjung ke gerai di Batu Caves.
Selain Nasi Kukus Ayam Dara Berempah, gerai ini juga ada Nasi Campur dan Nasi Kerabu. |
Sebenarnya penulis ke Taman Samudera ini hendak mencari Nasi Kukus Ayam Dara Berempah di Restoran Wafie. Rakan-rakan di pejabat cadangkan makan nasi kukus di restoran tersebut sedap. Malangnya, puas penulis mencari di sekitar taman ini namun masih tidak terjumpa restoran ini. Yang terjumpa hanyalah gerai Nasi Kukus Ayam Dara Berempah Haikal ini sahaja. Tetapi, tidak mengapalah Nasi Kukus di gerai ini pun sedap juga. Mungkin belum ada rezeki hendak makan Nasi Kukus Ayam Dara di Restoran Wafie lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan