Rabu, 11 Julai 2012

Melancung ke Pulau Langkawi bhg. 04

Hari terakhir di Pulau Langkawi, hujan turun dengan lebatnya di sebelah pagi. Namun, kami tetap meneruskan perjalanan ke jeti Kuala Perlis. Tiba di jeti Kuala Perlis, hujan masih turun dengan lebatnya. Kami meneruskan perjalanan kei Bandaraya Alor Setar untuk berhenti berehat. Di Alor Setar kami  jalan-jalan cari makan dan bershopping di Pekan Rabu.

Bergambar kenangan di hadapan hotel penginapan.
Bersiap sedia menaiki feri ke jeti Kuala Perlis.
Pekan Rabu merupakan salah satu mercu tanda di Bandaraya Alor Setar, Kedah Darul Aman. Tidak sah bagi mereka yang mengunjungi Alor Setar jika tidak ke sini. Malah mantan PM kita Tun Mahathir pun suka membeli belah di sini. Pekan Rabu bolehlah disamakan dengan Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu dan Pasar Payang di Kuala Terengganu. Tetapi Pekan Rabu lebih kecil dari segi saiznya.

Suasana di dalam feri.
Suasana di Jeti Kuala Perlis.
Pekan Rabu yang terletak di tengah-tengah bandar Alor Setar, memang tidak asing lagi di kalangan penduduk tempatan ataupun luar negeri Kedah. Kompleks perniagaan orang-orang Melayu yang tersergam indah itu merupakan lambang kemegahan bukan sahaja kepada peniaga-peniaga bumiputera di Kedah, bahkan menjadi kebanggaan kepada seluruh masyarakat bumiputera di Kedah. Bagi pelancong-pelancong, sekiranya mereka singgah ke Alor Setar, semacam tidak cukup syarat, jika tidak singgah atau membelah-belah di Kompleks Pekan Rabu.

Bas sudah sedia menunggu di Jeti Kuala Perlis.
Ruang bagasi bas telah dipenuhi dengan barang-barang yang dibeli di Langkawi.
Pendek kata banyak benda yang boleh dicari semasa di sini. Harganya boleh dirunding tetapi kebanyakan harga makanan adalah harga tetap. Pelbagai barangan terjual di sini, antaranya pelbagai jenis tudung, pakaian, songkok cek det, pakaian ihram, pakaian sekolah, kedai jamu dan barang kraftangan. Semasa penulis berada di sini, di perhatikan ramai yang memegang senarai barang pesanan untuk saudara mara dan teman-teman di pejabat.

Pekan Rabu.
Gerai di Pekan rabu.
Di ruangan ini (foto di atas) barulah penulis berminat untuk membeli untuk keperluan sendiri atau dibuat ole-ole. Iaitu gerai yang menjual asam jawa tanpa biji, belacan special, dodol, kueh bahulu panas dan pelbagai jenis serunding. Ada juga gerai yang menjual ikan pekasam. Ikan pekasam pastinya menambat selera. Anda boleh tentukan ikan jenis apa yang diingini. Harganya bergantung kepada jenis ikan yang dipilih. Di sini penulis sempat membeli setengah kilo ikan pekasam Lampam dan Gelama.

Antara gerai di Pekan Rabu.
Macam-macam ada di Pekan Rabu.
Berdasarkan sumber internet, Pekan Rabu sudah memulakan aktivitinya sejak Perang Dunia Pertama lagi. Ini merupakan inisiatif dari Y.T.M. Tunku Yaacob, Putera Diraja Kedah dalam usaha baginda menggalakkan penglibatan orang Melayu dalam dunia perniagaan terutamanya di bandar.

Antara kerepek yang di jual di Pekan Rabu.
Ikan Pekasam.
Permulaanya, Pekan Rabu merupakan sebuah pasar minggu di Tanjong Chali iaitu terletak di persinggahan antara Jalan Pekan Cina dan Jalan Pengkalan Kapal di Bandar Alor Setar ketika itu. Sejarah membuktikan bahawa Tanjong Chali adalah tapak bagi melatih orang-orang Melayu dalam bidang perniagaan. YTM Tunku Yaacob merupakan pengasas kawasan perniagaan ini menjadi pasar minggu di situ pada setiap hati Rabu sahaja pada awal 1920-an.

Gerai Makan di Pekan Rabu.
Kueh tradisional juga ada dijual di Pekan Rabu.
Bertitik-tolak dengan perkembangan kemajuaan daripada pasar minggu itu, maka pasar itu berlangsung setiap hari. Justeru, Kerajaan Negeri Kedah telah memindahkan Pekan Rabu ini ke sebuah tapak baru menjelang tahun 1932 berdasarkan perkembangan aktiviti perniagaan.

Nampaknya masih mampu membeli belah di Pekan Rabu.
Pekan Rabu.
Setelah makan tengahari dan membeli belah di Pekan Rabu, kami meneruskan perjalanan ke bandar sik untuk melawat ladang anggor pula.

Bersambung...

Selasa, 10 Julai 2012

Melancung ke Pulau Langkawi bhg. 03

Sebelah pagi di hari kedua, adalah aktiviti bebas. Maka, kami pun ke Pekan Kuah untuk aktiviti membeli belah. Pekan Kuah merupakan salah satu destinasi wajib jika anda melawat ke Pulau Langkawi. Pelbagai jenis pingan mangkuk, kain batik dan jenama coklat ada di sini, rambang mata dibuatnya. Oleh kerana tujuan utama penulis ke Pulau Langkawi untuk menikmati alam semula jadinya, penulis hanya membeli dua helai t-shirt dan beberapa jenis coklat sahaja.

Pasaraya yang popular di Langkawi.
Pelbagai jenama coklat ada di sini.
Setelah puas membeli belah di Pekan Kuah, sebelah petang kami terus ke Awana Porto Malai satu-satunya jeti untuk ke Pulau Dayang Bunting, Pulau Singa Besar dan Pulau Beras Basah dengan kos RM25.00. Kami mengambil masa selama 4 jam untuk meneroka tiga pulau ini, di mana untuk sampai ke lawatan pulau pertama (Pulau Dayang Bunting) cuma mengambil masa 20 minit menggunakan enjin berkuasa 200 kuasa kuda.

Kain palikat dan batik pun ada.
Baju t-shirt yang cantik.
Tasik Dayang Bunting memang terkenal dan popular di kalangan pelancong. Sebelum tiba di tasik, kami di bawa ke tempat di mana “dayang bunting” ini “bersemadi”. Setiba di tempat itu, masyaallah, rupa bukit ini seperti perempuan yang sedang berbaring dan bunting!

Bot menuju ke Pulau Dayang Bunting.
Berhenti menyaksikan pulau yang berbentuk dayang bunting.
Sememangnya ramai yang sudah tahu mengenai Tasik Dayang Bunting ini. Bukit itu memangnya menyerupai dengan seorang wanita hamil sedang terbaring. Cukup sifat dengan kepala, buah dada, tangan, dan perut yang memboyot. Seperti dalam kisah sejarah tasik ini.

Bot yang agak laju.
Sudah sampai Pulau dayang Bunting.
Setelah penat menapak, mendaki anak tangga dan menuruni bukit sejauh 200 meter, akhirnya kami sampai di Tasik Dayang Bunting. Peliknya, tasik ini dikeliling laut tetapi tasik ini adalah air tawar. Walhal pada hujung tasik ini bercantum dengan laut. Itulah keajaiban tuhan. Pintu tasik ini sememangnya ajaib dan itulah indahnya ciptaan tuhan. Terdapat jeti dan kolam itu budak-budak bermain air manakala orang dewasa pun boleh mandi tasik ini tetapi ada halangan supaya tidak terlepas semasa mandi. Kalau tak? Fikir-fikirkan kesannya. .

Berpeluh juga mendaki ke Tasik dayang Bunting.
Sudah sampai Tasik dayang Bunting.
Setibanya di jeti, kami di sambut sekumpulan kera. Kera-kera ini nampaknya sudah biasa dengan kedatangan pelancong. Bagi mereka, inilah rezeki yang datang pada mereka. Pastinya anda kena berhati-hati dengannya kerana mereka pasti mengambil apa jua plastik tidak kira makanan ataupun minuman. Namun, memang enjoy dan kelakar dapat tengok kera ini.

Merendam kaki di Tasik dayang Bunting.
Berkayuh di Tasek Dayang Bunting.
Tasik ini sangat dalam, jika tidak pandai berenang alamatnya boleh lemas. Tetapi jika anda ingin mandi, bolehlah memakai life jacket yang boleh disewa. Memang seronok dan jika anda perasan semasa berenang seperti ada magnet yang menarik kita ke bawah. Mungkin air tasik ini tawar yang membuatkan tubuh kita menjadi berat. Berbeza dengan air laut yang masin yang membuatkan badan kita menjadi lringan yang membolehkan badan kita terapung di permukaan air..

Mandi di Tasik dayang Bunting.
Kera yang sangat ganas.
Jika baca pada sejarah Tasik Dayang Bunting adalah seperti ini, Tasik Dayang Bunting pada asalnya terdapat seoramg perempuan dari kayangan turun ke Bumi dan berkahwin dengan orang Bumi. Semasa di Bumi, dia tinggal di tasik dan mengandung. Kemudian dia mati ketika melahirkan anak dan bersemadi di tasik ini. Suaminya kemudian bersumpah bahawa setiap perempuan yang tidak dapat mendapat zuriat bolehlah mandi di dalam tasik ini. 

Jeti Pulau Dayang Bunting.
Berhenti untuk mengambil gambar helang menyambar makanan.
Jika baca pada sejarah Tasik Dayang Bunting adalah seperti ini, Itulah sejarahnya dan aku tidak pasti samada ia dongeng atau sebaliknya. Pastinya, memang bagi aku jika kroang tidak dapat zuriat boleh la mandi di sini. Bukan percaya, tapi kita berusaha. Yang pastinya zuriat dapat atau tak adalah rezeki daripada Allah swt.

Berehat di tepi pantai Beras Bakar.
Menyaksikan keindahan Pulau Beras Basah.
Kemudian, bot kami ke Pulau Singa Besar di mana, pertunjukan Eagle Feeding diadakan. Bot berhenti ditengah-tengag laut dan akan diletakkan kulit ayam ke dalam laut. Beratus-ratus ekor helang melayang di udara. Dengan ketajaman mata, ia terus menjunam dan mencari mangsanya iaitu kulit ayam. Menarik!

Mandi manda di pantai Beras Basah.
Penulis di Pulau Beras Basah.
Destinasi seterusnya dan terakhir ialah Pulau Beras Basah. kami berehat di Pulau ini sambil menyaksikan pemandangan yang indah. Ada di kalangan kami mandi di pantai pulau ini sehingga matahari hendak terbenam. Pulau ini tak berpenghuni dan katanya sebelum ini terdapat chalet tetapi sudah ditutup operasinya.

Bersambung...

Isnin, 9 Julai 2012

Melancung ke Pulau Langkawi bhg. 02

Seterusnya kami di bawa ke Underwater World Langkawi yang menempatkan lebih 5000 jenis ikan serta lebih 500 spesies haiwan termasuk anjing laut, singa laut dan penguin. Uniknya di Underwater World penulis dipertontonkan dengan pelbagai hidupan air dalam terowong bercermin sepanjang 15 meter dengan 800,000 liter air masin.

Penulis berada di dalam Underwater world.
Burung Penguin.
Akuarium di Underwater World Langkawi ini dikatakan antara yang terbesar di Asia. Penulis rasa sangat teruja apabila melihat keindahan hidupan laut dan seolah-olah berada di lautan dalam. Sayangnya penulis tidak dapat merakamkan lebih banyak foto menarik di sini kerana kuasa bateri kamera penulis semakin berkurangan. Penulis perlu menyimpan lebihan kuasa bateri kamera ini untuk merakamkan kenangan terindah di kereta kabel nanti.

Salah seekor ikan yang unik di Underwater World.
Obor-obor.
Underwater World ini di buka setiap hari dari jam 10.00 pagi hingga jam 6.00 petang dengan bayaran RM 28 seorang. Terdapat juga kompleks membeli-belah di sini yang menyediakan pelbagai barangan cendera mata untuk di bawa pulang. Masa diberikan hanya satu jam dan terasa amat  singkat apabila berada di dalam akuarium besar Underwater World ini. Belumpun puas menikmati keindahan hidupan laut seperti pelbagai jenis ikan yang comel-comel, penulis menerima sms dari ketua rombongan untuk segera ke kereta kabel pula. Kami perlu ke sana kerana hari semakin petang. Manakala pintu masuk ke kereta kabel akan di tutup pada jam 6 petang.

Ketam.
Teket untuk memasuki Underwater World.
Pengalaman menarik menaiki Kereta Kabel menyulusuri keindahan permandangan hutan, laut dan Gunung Machincang memang sukar dilupakan. Lokasi tempat stesyen kereta kabel ini ialah di kawasan Burau Bay. Di stesyen bawah terdapat perkampongan kebudayaan dimana kami dapat melihat hasil kerja tangan masyarakat tempatan. Stesyen Gunung Machincang ini terletak 30 minit perjalanan dari Pekan Kuah. Mencari tempat ini tidak susah kerana terdapat tanda arah jalan yang jelas dan terang.

Di puncak gunung Machincang.
Menikmat pemandang Pulau Langkawi dari puncak gunung Machincang.
Projek Kereta Kabel ini merupakan hasil inspirasi mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed. Projek yang menelan belanja lebih kurang RM 45 juta dikendalikan oleh usahasama syarikat tempatan bersama Dopple -Mayer Australia dan diselia oleh syarikat Wyss Planning Consultant dari Switzerland. Ia mengambil masa satu tahun untuk disiapkan. Akhirnya ia dibuka secara rasmi untuk orang ramai pada 27 Februari 2005 yang lalu.

Terasa gayat apabila di dalam gandola.
Sempat posing di puncak gunung machincang.
Pada mulanya penulis terasa gementar menaiki kereta kabel ini. Perjalanan kereta kabel ini kelihatan sangat tinggi, namun penulis dan rakan-rakan cuba memberanikan diri untuk menaikinya. Setiap gondola boleh memuatkan 6 orang penumpang. Setiap gondola ini disokong oleh seutas kabel besi. Perjalanannya agak menegak yang membuatkan kami rasa gayat. Lebih lebih lagi ketika perjalanan ke perhentian tengah dengan angin yang kencang yang membuatkan gondola berbuai buai.

Pemandangan dari puncak gunung machincang.
Kereta kabel bergerak dari perhentian 1 ke perhentian ke 2
Kereta kabel ini bergerak perlahan di sekitar 3m /saat. Semuanya seperti di dalam kawalan. Setelah beberapa minit di perhentian kedua, kami telah dapat menyesuaikan diri dengan keadaan. Selepas itu perjalanan tidak lagi merisaukan.Di perhentian kedua kami berhenti dan turun di situ. Terdapat Dek Pemerhatian 360 darjah dan kami dapat melihat persekitaran Langkawi. Perhentian teratas yang berada pada aras 708m di atas paras laut. Keseluruhan perjalanan mengambil masa 30 minit.

Jambatan gantung.
Pemandangan menarik dari perhentian ke 2.
Pegalaman menaiki kereta kabel di Gunung Machinchang Langkawi ini lebih mencabar daripada kereta kabel di Genting Highland. Oleh itu, penulis cadangkan agar rakyat Malaysia dan siapa sahaja patut mencubanya. Kaunter dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 6 petang kecuali hari hujung minggu dan cuti am ia dibuka setengah jam lebih awal. Sekiranya terlewat masa akhir ialah 6 petang hari biasa dan 7 malam hari kelepasan am. Namun begitu datanglah pada siang hari untuk menikmati keindahan panorama. 

 Kami seterusnya ke Pekan Kuah. Kalau ke Pekan Kuah sudah tentulah untuk membeli belah. Salah satu pusat membeli belah yang terkenal di sini ialah Haji Ismail Group yang menyediakan pelbagai barangan seperti pinggan mangkuk, kain batik, coklat dan sebagainya. 10 malam kami pulang ke hotel penginapan. Malam tersebut penulis tidur dengan nyeyak hingga ke pagi akibat keletihan.

Bersambung...


Jumaat, 6 Julai 2012

Melancung ke Pulau Langkawi bhg. 01

Kunjungan rombongan penulis ke Langkawi selama tiga hari dua malam sebagai merehatkan minda akibat kesibukkan bertugas. Kunjungan ini yang membawa penulis kembali menjejakan kaki ke pulau peranginan ini setelah lawatan kali terakhir pada lima belas tahun lalu. Sebenarnya, ini kali ke empat penulis mengunjungi ke Pulau Langkawi. Kali Pertama penulis mengikuti rombongan rakan sepejabat pada tahun 1993 yang lalu manakala kali kedua pula, penulis berkrusus Bina Negara pada tahun 1996 dan kali ketiga mengikut rombongan keluarga isteri pada tahun 1997 lalu.

Jeti Kuala Perlis jam 5.00 pagi.
Jeti Kuala Perlis sudah di penuhi pelancung.
Rombongan kali ini seramai 60 orang menaiki dua buah bas yang di sewa khas dari Koperasi Petronas, bertolak seawal jam 9.00 malam pada 29 Jun 2012 menuju ke Jeti Kuala Perlis. Tiba di Jeti Kuala Perlis terlalu awal kerana pemandu bas kami sangat berpengalaman membawa bas ke sebelah utara. Walaupun kami tiba seawal pada jam 4.30 pagi, namun suasana di Jeti Kuala Perlis sangat meriah kerana di penuhi dengan orang ramai yang sedang menunggu feri ke Pulau Langkawi. Bertambah kecoh lagi apabila tandas awam di jeti ini di tutup akibat ketiadaan air. Penulis sendiri sakit perut kerana terlalu lama menahan kencing. Nasib baik ada tandas di dalam feri. Baharulah terasa lega dan boleh tidur di dalam feri.

Akhirnya, rombongan kami menjejakkan kaki ke Pulau Langkawi pada sekitar jam 11.30 pagi. Kami terus di bawa ke hotel penginapan untuk menyimpan bagasi dan membersihkan diri.

Menaiki Feri.
Teruja menaiki feri.
Selepas mendaftar masuk dan di benarkan menyimpan bagasi di hotel penginapan, lawatan pertama kami ialah melawat kilang memproses minyak gamat. Gamat memang terkenal di Langkawi. Di sini kami berpeluang melihat sendiri cara-cara memproses minyak gamat. Kami mengalami sendiri khasiat ubat-ubatan yang dihasilkan daripada hidupan laut ini. Pastinya sebotol dua ubatan yang berasaskan gamat ini dibeli untuk di bawa pulang, baik untuk kegunaan sendiri, mahupun sebagai buah tangan untuk teman-teman dan saudara mara.

Minyak Gamat
Sempat membeli Minyak Gamat.
Siapa yang tidak mengenali Pulau Langkawi. Ianya terkenal dengan sejarah Mahsuri. Pulau yang diberikan status bebas cukai ini pasti tidak menghampakan dengan keindahan dan kedamaian alam semula jadinya. Pulau Langkawi adalah sebuah pulau yang sarat dengan misteri dan lagenda Mahsuri yang kini menjadi sejarah. Justeru, menjejaki Pulau Langkawi seakan tidak sempurna sekiranya tidak mengunjungi Kompleks Kota Mahsuri yang terletak di Ulu Melaka. Penulis memulakan penjelajahan ke Beras Terbakar yang terletak di Padang Mat Sirat. Padang Beras Terbakar merujuk kepada satu tempat kejadian yang dikatakan berlaku sejurus selepas Mahsuri dihukum bunuh, pada 1821, Siam telah datang menjajah Pulau Langkawi.

Teket ke Kompleks Kota Mahsuri.
Laman Mahsuri.
Baki beras terbakar itu masih boleh didapati di kawasan Padang Mat Sirat, Kampung Raha. Pada suatu masa dahulu, ramai pelancong yang mengutip beras-beras tersebut. Oleh yang demikian, kawasan tersebut kini dipagar bagi menghalang baki beras terbakar yang semakin sedikit itu daripada habis dikutip para pelancong. Beras-beras tersebut dikatakan disimpan di bawah tanah sebelum dibakar. 

Perjalanan seterusnya kami di bawa ke Kompleks Kota Mahsuri yang menempatkan Makam Mahsuri yang dilengkapi dengan muzium, panggung teater dan rumah tradisional Kedah selain sebuah perigi yang digelar sebagai Perigi Mahsuri. Di sini saya dapat menyingkap sejarah Mahsuri. Mahsuri merupakan anak pasangan Pandak Mayah dan Mak Andam yang dilahirkan pada penghujung kurun ke-18 Masihi di Kampung Ulu Melaka. Kehidupan dan sejarah Mahsuri menjadi lagenda pulau tersebut yang sememangnya terkenal dengan kisah misterinya. 

Kata-kata terakhir Mahsuri amat masyhur kerana menjadi sumpahan. Mahsuri bersumpah untuk tidak menghalalkan darahnya jatuh ke bumi kerana beliau mangsa fitnah dan mengutuk pulau Langkawi untuk tidak tenteram dan permai ibarat padang jarak padang tekukur selama tujuh keturunan. Menurut lagenda, Mahsuri mengalirkan darah berwarna putih kerana kata-katanya yang tidak menghalalkan darahnya jatuh ke bumi. Deramang turut dibunuh kemudiannya. Mahsuri dikatakan meninggal pada tahun 1819 masihi bersamaan 1235 Hijrah. Seminggu selepas Mahsuri dibunuh, Wan Derus pulang setelah Kedah gagal menewaskan Siam.

Selepas mengetahui akan hakikat tentang isterinya, dia kecewa lalu membawa anaknya, Wan Hakim keluar dari Langkawi. Sejurus itu, tentera Siam menyerang pulau tersebut. Langkawi hancur dan hangus. Sebelum 1980-an, Langkawi memang tidak makmur hinggakan orang mengatakan yang kerbau lebih banyak berbanding manusia di sana. Menjelang 1980-an, Langkawi menjadi lebih makmur. Ada yang menyatakan kemakmuran itu disebabkan lahirnya keturunan ketujuh Mahsuri menamatkan segala sumpahan Mahsuri ke atas pulau Langkawi. Keturunan ketujuh Mahsuri iaitu Sirintra Yayee atau Nong May atau nama Melayunya, Wan Aishah binti Wan Nawawi menetap di pulau Phuket, ketika pertama kali dijejaki. Kini, pulau yang kaya dengan keindahan semula jadi dan lagenda masa silam ini telah menampilkan diri sebagai salah satu daripada destinasi pelancongan yang paling popular di Malaysia.

Bersambung....