Isnin, 23 Februari 2009

Hari jadi


Kad ucapan dari opis aku


Hari ini pada tahun 1969. Pertama kali makhluk bernama cahaya memasuki ruang retina mataku lantas ku kenal ianya sebagai dunia. Ya, ini hanyalah dunia yang fana. Hanyalah fatamorgana dari cahaya yang memasuki mata lantas otak mentafsirkan ia sebagai objek-objek yang dikenali melalui nama seperti kereta, perempuan, tahta dan politik dunia. Semua objek tadi hanyalah idealis otak. 

Subhanallah. Ini bumiMu yang cukup luas untuk aku kenal kebesaranMu. Berikan aku hikmah kebijaksanaan untuk aku mengetahui bahawa kesemua ini bakal aku tinggalkan jua akhirnya. Syukur ke-hadratMu untuk umur yang engkau anugerahkan. Berikan aku kekuatan untuk tidak mempersiakannya.

Aminnnn....

Jumaat, 13 Februari 2009

Gambar Terkini Siti Nuhaliza

Jumaat yang lalu diadakan Program Tabung DBP untuk GAZA di Balai Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka. Ulasan, foto dan cerita majlis tersebut telah saya tulis di ruangan website fotopages saya. Seronok saya apabila disambut dengan penuh mesra dan hangat dari semua AJK yang terlibat. Terima kasih daun keladi buat semua.

Yang mengujakan, majlis yang dinamakan ‘Mengisi Tabung GAZA’ itu diserikan dengan kehadiran Datuk Siti Nurhaliza. Mungkin ini satu kejutan kepada hadirin kerana ramai peminat yang tidak tahu Siti Nurhaliza juga dijemput.

Berikut beberapa gambar Siti Nurhaliza yang sempat saya ambil.


Siti Nurhaliza menyanyikan lagu Puisi


Siti Nurhaliza dari pandangan skrin besar


Wajah terbaru Siti Nurhaliza


Masih seperti dulu


Cuma semakin berisi sedikit


Siti ditemubual oleh wartawan majalah, Saudara Adnan Jamil

Rabu, 11 Februari 2009

Outing di FRIM


Ahli Warong Foto yang menghadiri outing di FRIM, Kepong, Sabtu lalu.

Penulis sedang asyik meralamkan foto di dalam hutan FRIM

Pada 14 Febiari yang lalu, seramai 15 ahli kelab Warong Foto opis aku berpeluang mengikuti lawatan sambil mengambil gambar ke Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong. Rombongan diketuai En. Razuan, dengan dibantu En. Samsul.

Perjalanan dari pejabat ke FRIM, mengambil masa kira-kira sejam, kerana terpaksa menempuh kesesakan jalanraya di lebuh raya Batu Caves yang kebetulan pada waktu itu orang penganut agama Hindu sedang berarak ke Batu Caves kerana menyambut perayaan Thaipusam. (Masa pulang pula memakan masa kurang 40 minit).

Sam dengan aksinya di pinggiran air terjun FRIM

Aksi jurufoto dari kelab Warong Foto

Program ini mendedahkan ahli-ahli bagaimana hendak merakam foto dengan teknik yang betul dalam suasana dan pemandangan di dalam hutan. Penulis dan rakan-rakan yang lain sangat beruntung kerana mendapat tunjuk ajar dari jurufototo berpengalaman seperti En. Razuan, En. Samsul dan En. Mohas. 

Semasa di dalam hutan, kami sempat merakamkan foto pelbagai jenis pokok/tumbuhan yang terdapat di negara kita. Turut ditemui beberapa spesis hidupan sepanjang kami melawat ke persekitaran FRIM.

Mencari lokasi menarik untuk merakam foto


Jurufoto Eddy bersama model-modelnya di FRIM

Di samping merakamkan foto-foto yang menarik, peserta rombongan juga berpeluang merasai pengalaman menaiki canopy walkway yang berada pada paras ketinggian 500m. 

Canopy walkway yang jaraknya 150m, mempunyai 3 pelantar, di mana pada satu-satu masa, pelantar pertama boleh menampung 4 orang, kedua (8 orang) dan ketiga (4 orang). Di sini kami dapat merakam foto dari pelantar kerana pemandangannya sejauh saujana mata memandang, boleh melihat panorama Kuala Lumpur. Pemandanganya sungguh cantik sekali.

Ia juga merupakan satu tarikan kepada pengunjung, lebih-lebih lagi bagi sesiapa yang ‘gayat’. Boleh dikatakan rata-rata dikalangan kami yang berhenti di pelantar menyuarakan rasa takut, berdebar dan seolah tidak mahu meneruskan perjalanan ke canopy walkway berikutnya.. Penulis turut berasa ‘tercabar’ tatkala menapak di laluan itu, angin bertiup kencang.

Sesuatu yang agak terkilan adalah di mana penulis tidak berpeluang bermandi-manda di air terjun. Ini disebabkan masa yang terbatas. Mungkin lain kali, kami akan merancang lawatan ke FRIM dengan lebih baik, dibandingkan kali ini, insya-Allah.

Khamis, 5 Februari 2009

Kemahiran yang dilupakan


Fius utama


Dulu aku pernah belajar teori dan amali Pepasangan dan Penyenggalaraan Elektrik selama dua tahun di SMV Klang. Setelah tamat belajar, aku pernah berkerja secara sambilan membaiki alatan elektrik di kampung-kampung berhampiran di sekitar Sungai Besar.

Tetapi setelah berhijrah ke ibu kota, aku terus meninggalkan kerjaya kerjaya tersebut. Di ibu kota, aku pernah berkerja sebagai pengawal keselamatan di sekitar Petaling Jaya dan menjadi pelukis di Dewan Bahasa dan Pustaka. Segala pengalaman ini pernah aku ceritakan di entry terdahulu.

Kini aku bertugas sebagai Pereka Grafik di sebuah syarikat penerbitan buku yang beribu pejabat di Hulu Kelang, Selangor. Aku sungguh seronok dan selesa dengan kerjaya ini kerana melukis dan membuat kerja-kerja grafik adalah hobi aku sejak dari kecil lagi (buat masa inilah. Masa akan datang tidak tahu lagi. Politik sentiasa berubah-ubah. Seperti politik di negeri Perak he...he). Kini, setiap hari aku mengadap komputer membuat kerja-kerja grafik untuk buku-buku dan majalah di pejabat.


Penulis dan rakan-rakan sekelas semasa belajar Pepasangan dan Penyenggalaraam Elektrik di SMV Klang

Hendak dijadikan cerita, malam kemarin, di rumah aku telah mengalami ganguan elektrik. Berlaku satu litar pintas. Fius utama mengalami kerosakan teruk. Semua alatan elektrik di rumah aku tidak boleh berfungsi. Semalaman juga kami bergelap.

Keesokan harinya, akupun dengan bangganya cuba membaiki dengan sebatang testpen. Hampir berjam-jam lamanya aku berpeluh, cuba membaikinya, namun tidak juga berjaya.

Aku terima kenyataan, kemahiran yang aku miliki dulu telah hilang begitu sahaja. Maklumlah hampir 20 tahun aku tidak melakukan kerja-kerja seperti ini.

Untuk menyelesaikan masalah, akupun menghubungi juruteknik TNB. Dengan hanya tidak sampai setengah jam sahaja juruteknik tersebut telah berjaya membaiki kerosakan tersebut.

Tidak pasal-pasal aku melayang rm500!.... huhuhuhhh