Rabu, 9 Februari 2011

Dorani Bayu Resort d’Muara Marine Park

Laut yang terbentang luas bukan sahaja mendamaikan, malah desiran ombak yang memukul pantai dapat merehatkan minda yang penat memikirkan pelbagai persoalan kehidupan termasuk bebanan kerja di pejabat. Justeru untuk merehatkan fikiran, lokasi percutian yang menarik dan menyajikan panorama indah pastinya menjadi pilihan. Selain itu, faktor jarak yang dekat dengan lokasi kediaman turut menjadi perhitungan dalam memilih destinasi pelancongan.

Pintu masuk ke Dorani Bayu Resort d’Muara Marine Park.

Bagi warga Kuala Lumpur, sudah menjadi kelaziman pantai peranginan di Port Dickson, Negeri Sembilan menjadi destinasi utama untuk bercuti sambil meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan. Namun bagi yang sudah biasa ke Pantai Port Dickson, apa kata kali ini kita berubah angin bercuti ke tempat peranginan tetapi dalam suasana nyaman seperti berada di kampung halaman sendiri. Mungkin sukar untuk di gambarkan, namun itulah realiti yang dialami oleh penulis apabila sampai ke Dorani Bayu Resort d’Muara Marine Park di Sungai Besar, Selangor.

Jeti Nelayan.

Pertama kali menjejaki kaki di sini, hati penulis terus terpaut dengan kejernihan air laut biru kehijauan yang menghadap Selat Melaka. Deruan ombak lembut yang membelai pantai seolah-olah mengalu-alukan kedatangan orang luar. Penat perjalanan hampir dua jam dari ibu kota tiba-tiba lesap sejurus menjejak kaki di ruang legar resort dengan menyaksikan deruan ombak di pantai yang tidak sampai 50 meter dari lobi resort. Ditambah pula dengan dekorasi menarik menjadikan perasaan semakin seronok untuk mencari keistimewaan di resort tersebut.

Pemandangan tepi pantai melalui resort.

Dengan kawasan seluas 10 hektar, Dorani Bayu Resort D’Muara Marine Park berkedudukan cukup menarik di persisiran Sungai Haji Dorani. Tidak cukup dengan itu, setiap bilik yang terletak di kawasan unik itu tidak meminggirkan elemen-elemen alam apabila pohon-pohon hijau dibiar tanpa diusik bagi memberi suasana hijau dan damai. Resort yang diuruskan oleh Dorani Bayu Resort N Service Sdn. Bhd. sememangnya terletak di salah sebuah kawasan strategik yang menawarkan pemandangan pantai yang indah serta menarik. Malah kedudukan strategik ini menjadi ‘pelaris’ dalam menarik pelancong dari dalam dan juga luar negara. Ini ditambah lagi dengan keunikan resort yang di bina di persisiran pantai yang kelihatan terapung di atas air.

Tok Deanz menikmati keindahan pantai di depan resort.

Bagi mereka yang ingin melihat aktiviti penangkapan ikan, resort ini juga bersebelahan jeti nelayan yang membuat operasi penangkapan setiap hari dan nikmatilah ikan segar yang baru dari laut. Bagi mereka yang mahu bercuti sambil bekerja pula, Dorani Bayu Resort turut menyediakan semua kemudahan yang diperlukan.Ini termasuklah dewan persidangan yang lengkap untuk mesyuarat, seminar, bengkel dan pertemuan korporat bagi membincangkan hal-hal bisnes. Kemudahan itu sekali gus membolehkan program latihan, sesi memerah otak dan kerja intensif dijalankan dalam suasana penuh ketenangan.

Bilik resort yang selesa.

Bagi mereka yang gemar aktiviti lasak seperti merentas hutan, memancing atau mengelilingi laut, Dorani Bayu Resort turut menyediakan aktiviti-aktiviti tersebut. Ini kerana beberapa langkah dari resort itu terletaknya Pulau Sembilan yang sememang indah dengan alam semesta. Jika jemu melayan hutan yang menghijau serta memancing ikan, kita juga boleh mencabar ombak dengan mengelilinginya di sekeliling persisiran resort.

Keluarga Maclee sedang mencari kerang.

Dalam pada itu, Dorani Bayu Resort D’Muara Marine Park turut menawarkan enam pakej penginapan pada harga antara RM110 hingga RM180. Malah lebih menarik, pengunjung juga boleh menyaksikan suasana kampung yang nyaman di resort tersebut termasuklah lawatan ke tengah laut bagi menyaksikan keindahan alam serta mengikuti aktiviti berkhemah di kawasan yang berdekatan dengan resort. Selain itu, bagi pengunjung yang berminat untuk memancing mereka bolehlah ke Pulau Sembilan di Perak yang terletak tidak jauh dari resort tersebut dengan menggunakan perkhidmatan yang disediakan. Malah tidak cukup dengan itu, pengunjung yang bertuah juga boleh melihat burung-burung Flamingo yang singgah di persisiran resort tersebut pada setiap petang.

Dorani Bayu Resort d’Muara Marine Park

Selain itu pengunjung juga boleh merasai keenakan mentarang yang merupakan sejenis siput yang dipungut dari pasir-pasir di tepi pantai. Bagi mereka yang datang berkumpulan dan bercadang untuk mengadakan hari keluarga, bolehlah memilih beberapa aktiviti lain yang menarik seperti pertandingan sukan dengan khidmat koordinator atau menguji bakat dalam sesi karaoke. Oleh kerana resort tersebut menerima pengunjung yang tidak putus-putus terutama pada cuti hujung minggu, tempahan awal perlulah dibuat iaitu sekurang-kurangnya sebulan lebih awal.

Jeti tempat penduduk kampung membeli ikan segar.

Tidak sempurna sebuah penginapan yang hebat tanpa tempat untuk menjamu selera. Memberi pelbagai pilihan kepada pengunjung dengan setiap satunya menawarkan pengalaman dan suasana berbeza iaitu di restoran terapung. Dibuka dari pukul 1 petang sehingga 1 pagi, restoran berkonsep terbuka ini menjadikan pengalaman menikmati masakan enak di sini tidak dapat dilupakan. Sambil bayu laut meniup nyaman, sambil itulah kita memilih menu yang dinanti-nantikan. Ruang yang luas ini boleh memuatkan sehingga 200 pengunjung pada satu-satu masa dan mereka yang mahu menikmati barbeku boleh membuat tempahan awal.

Boleh memancing dari tingkat resort.

Sudah sampai ke sini yang sememangnya merupakan lubuk ikan dan hidupan laut menjadi satu kesilapan besar jika tidak merasai hasil laut segar yang baru di tangkap. Malah hidangan segar dari laut yang disediakan oleh restoran itu juga menjadikan sesuatu yang sukar untuk dilupakan kepada pengunjung yang datang ke resort tersebut. Menyempurnakan percutian sekeluarga yang seperti berada di kampung sendiri, pengunjung boleh ke pekan Sungai Besar yang terletak lima kilometer dari resort tersebut. Di sana pelbagai barangan boleh di beli. Jika ingin merasai buah-buahan tempatan bolehlah mencuba mangga tempatan yang sememang terkenal serta keenakan yang manis dan lemak yang tersendiri.

Jeti yang di khaskan untuk kaki pancing.

Apa yang pasti ialah percutian di Dorani Resort memahat satu lagi keindahan memori dan tidak dilupakan terutama di kalangan mereka yang jatuh cinta dengan matahari, laut dan panorama indah di pesisir pantai.

1 ulasan:

doranibayuresort berkata...

TQVM beri comment +ve kepada resort kami..ada masa datang lagi ye..