Jumaat, 26 Februari 2010

Pecah Rumah!

ermm... malapetaka menimpa penulis.

rumah kami dipecah masuk pagi tadi (2am-4am) semasa kami sedang tidur nyeyak, habis satu rumah kena geledah. Pencuri masuk melalui pintu dapur yang dikopak.

Handpone LG penulis yang terletak di atas kepalapun kena ambil dan yang terkejutnya, kami boleh tidak sedar langsung.

Selalunya barang kecil-kecil yang hilang and probably they’re looking for cash sbb purse wife ade tp content nya sudah kosong, nasib baik kad pengenalan, passport dan dukumen penting dia orang tidak rembat sekali.

Cuma yang sedih, jam tangan kesayangan penulis diorang rembat. aarghhh! kami masih lagi bernasib baik, lain-lain equipment penulis dia orang tidak ambil seperti Mac Notebook. Manakala kamera DLSR penulis pula tersimpan di pejabat, alhamdulilah selamat...

Tapi apa-apa hal pun, syukur alhamdulillah... penulis, isteri & anak semua selamat, itu yang lagi penting.

Isnin, 22 Februari 2010

Hari Jadi Penulis

Terima kasih rakan Famemas kerana menyediakan kek hari jadi penulis.

Seminggu sebelum 20hb Feb, beberapa orang rakan facebook telah mula mengucapkan selamat hari jadi kepada penulis. Kelmarin, semasa bermasyuarat kelabpun, ada rakan mengucapkan ucapan yang sama kepada penulis.

Balik di rumah, anak dan isteri tercinta rupa-rupanya membuat kejutan kepada penulis. Siap dengan kad ucapan dan kek sekali, tiadalah yang dapat menggambarkan betapa terharu dan gembiranya hati penulis dengan sambutan ini semua. Terima kasih kepada isteri kerana sudi menjadi suri sepanjang 15 tahun kita bersama. Dan kepada anak yang sama-sama mengharungi hidup ini dalam penuh cabaran dan ujian.

Penulis pernah bertanya kepada rakan-rakan yang mengaji agama mengenai apakah hukum menyambut hari lahir jadi ini. Kata mereka, ada yang berpandangan hukumnya adalah haram. Ini adalah kerana budaya ini adalah budaya agama lain atau barangkali merupakan budaya masyarakat yang tidak beragama.

Kata mereka lagi, ada juga sebahagian ulamak yang mengharuskannya, selagi mana tidak mengamalkan cara sambutan agama lain.

Menurut rakan penulis itu lagi, ucapan selamat hari jadi di kalangan masyarakat Muslim diiringi dengan bacaan doa selamat. Mendoakan rakan adalah satu amalan yang mulia. Nabi sendiri sehingga ke saat ajalnya, masih teringat dan mendoakan umatnya. Allah akan memaqbulkan doa kita untuk rakan, dengan cara mengurniakan kandungan doa tersebut kepada kita sebagai yang berdoa terlebih dahulu sebelum dikurniakan kepada yang didoakan. Siapa yang tidak mahu diri mereka didoakan semasa hari jadi?

Setahun tuanya usia kita, bermakna setahun bertambahnya kecerdikan kita, dan setahun dekatnya kita kembali kepada Allah SWT. Sewajarnya sambutan hari jadi perlu dijadikan peringatan buat diri kita, betapa semakin beratnya kita perlu menggalas amanah ilmu dan dakwah, kerana temujanji kita bertemu dengan Allah semakin dekat.

Erti hari lahir penulis, ialah kepada yang melahirkan, dan yang mengurniakan kelahiran. Alhamdulillah.

Selasa, 16 Februari 2010

Lenggong dan Tasik Raban

Pulang dari Gerik, kami berkesempatan untuk berjalan-jalan di sekitar daerah Lenggong termasuklah ke Tasik Raban. Kebetulan ketika itu hujan turun renyai-renyai, namun kami tetap meneruskan perjalanan ke pinggir Tasik Raban untuk makan tengahari.

Pemandangan indah Tasik Raban.

Berlatar belakangkan tugu peringatan Tasik Raban.

Alam merupakan anugerah yang tidak ternilai harganya. Keindahan panorama serta kehijauan pemandangan yang dapat dilihat terasa begitu menenangkan jiwa dan fikiran yang bercelaru.

Gerik, 65 kilometer lagi.

Jambatan Raja Nazrin.

Resort Tasik Raban menawarkan ilham alam semulajadi yang masih terpelihara keasliannya. Keindahan hadir untuk dinikmati oleh mereka yang cintakan suasana kehijauan alam dan menjadi syurga kaki pancing.

Tasik Raban.

Tasik Raban.

Suntikan Panorama Tasik Raban Tasik Raban asalnya adalah sebahagian daripada Tasik Chenderoh, iaitu salah satu daripada empat tasik yang terdapat di Hulu Perak. Tasik yang mendapat nama daripada kampung tempatan yang terletak berhampirannya, sering menjadi tumpuan dan kunjungan ramai dengan suntikan pemandangan yang indah.

Asyik mengambil gambar foto di Jambatan Raja Nazrin.

Terpesona dengan keindahan Tasik Raban.

Resort Tasik Raban yang terletak di Daerah Hulu Perak mampu menjadi lokasi ideal kepada pencinta alam dan juga mereka yang ingin melarikan diri sebentar dari kesibukan kota. Bagaikan tersulam indah baitbait lagu ‘Hijau’ dendangan Zainal Abidin, begitulah jua yang dirasakan oleh penulis dan jurugambar tatkala menyusuri perjalanan ke Resort Tasik Raban ini. Satu persatu perkampungan dilalui dengan hidangan suasana alam menghijau yang mendamaikan jiwa.

Tasik Raban.

Kami berhenti makan di pekan Lenggong.

Melalui Jambatan Raja Muda Nazrin yang merentangi Tasik Raban yang terbentang luas memberikan eksplorasi lebih menarik ke destinasi utama kami. Segala kegusaran terlerai di hati tatkala mula menjejakkan kaki ke Resort Tasik Raban ini. Berbekalkan suasana kedamaian dan kehijauan yang menjadi tarikan utama, pastinya ia menjadi pilihan yang tepat untuk merehatkan diri dan juga minda.

Isnin, 15 Februari 2010

Tasik Banding

Selepas solat subuh di sebuah masjid di pekan Lenggong, kami terus menuju ke Gerik, Perak. Sebaik sahaja pemandu memberhentikan kenderaannya di jambatan Tasik Banding, penulis dengan segera mencapai kamera dan terus merakamkan pemandangan yang menarik. Sebagai seorang yang meminati flora dan fauna, penulis leka merakamkan gambar dan menikmati keindahan Tasik Banding yang penulis rasa keindahannya sukar ditandingi mana-mana tasik yang lain.

Chalet yang berharga Rm40 semalam.


Pemandangan menarik Tasik Banding.

Kita semua sedia maklum bahawa Tasik Banding di Gerik, Perak adalah merupakan sebuah tasik buatan manusia. Suatu ketika dulu, kawasan ini adalah hutan tebal. Setelah dijadikan sebagai sebuah tasik untuk ampangan hydro, hutan di sini habis tenggelam.

Jambatan di Tasik Banding.

Mencari shoot menarik di Tasik Banding.

Tasik Banding terletak kira-kira 35 kilometer dari Gerik adalah tempat yang ideal untuk memancing. Tasik ini meliputi kawasan seluas 103.6 hektar bersebelahan dengan Tasik Temenggor di titik tengah Lebuh Raya Timur-Barat. Di sini juga boleh dilakukan aktiviti luar seperti berkhemah, berkelah dan jungle trekking. Selain itu, kemudahan yang selesa di Resort Banding juga disediakan.

Berlatar belakangkan Tasik Banding.

Cuaca panas terik di Tasik Banding.

Manakala Pulau Banding terletak di Tasik Temenggor, Perak. Pulau ini dihubungkan dengan dua buah jambatan dari Tanah Besar. Jambatan-jambatan ini merupakan sebahagian daripada sistem Jalanraya Timur Barat yang menghubungkan Jeli di Kelantan dengan Gerik di Perak. Masa depan, Pulau Banding akan muncul sebagai tempat pelancungan utama dengan aset semasanya Royal Belum. Pulau ini dimajukan oleh EMKAY Holding.

Menyusuri Tasik Banding.

Ada subjek menarik di Tasik Banding.

Kini Tasik Banding ramai dikunjungi oleh pelawat-pelawat dalam meninjau keindahan alam sekitar. Tidak kurang kaki-kaki pancing yang mencuba nasib di tasik itu yang banyak terdapat ikan-ikan toman, sebarau, kelah dan lain-lain lagi.

Chalet di Pulau Banding berharga RM80 semalam.

Berehat di Pulau Banding.

Perjalanan dengan bot mengambil masa lebih kurang satu jam dan disekeliling dapat dilihat pulau-pulau serta di ufuk banjaran gunung memagari Tasik Banding. Udara dingin menyapa kami dan dengan di buai alunan lembut bot diatas air tasik, mata segera menjadi layu.

Berposing di puncak Banjaran Titiwangsa.

Pemandangan menarik Banjaran Titiwangsa.

Setelah selesai menyusuri tasik ini, kami membuat keputusan ke Banjaran Titiwangsa untuk merakamkan pemandangan menarik di sana.

Ahad, 14 Februari 2010

Masjid Ubudiah Kuala Kangsar

Setibanya kami di bandar Kuala Kangsar, hujan turun dengan lebatnya. Kamipun singgah di sebuah warung dan pekena segelas teh tarik. Apabila hujan reda, kami bertolak ke Masjid Ubudiah. Sementara menunggu masuknya waktu Magrib, penulis sempat merakam beberapa keping gambar, tetapi hujan masih lagi turun renyai-renyai yang mengakibatkan kualiti foto kurang menarik.

Berlatar belakang masjid.

Masjid yang terletak di atas Bukit Chandan, Kuala Kangsar, merupakan salah sebuah masjid yang tercantik di negara ini dan menjadi simbol keagungan dan peradaban Islam di Perak. Kubah dan menara emas masjid yang tersergam indah membuktikan keindahan dan keunikan senibina masyarakat Islam.

Masjid Ubudiah ketika hujan renyai-renyai.

Pembinaan masjid ini bermula semasa pemerintahan Sultan Idris Murshidul Adzam Shah 1, Sultan Perak yang ke-28, tetapi telah tergendala untuk beberapa ketika. Peristiwa dua ekor gajah kepunyaan Sultan Idris dan Raja Chulan yang berlari di atas lantai marmar yang diimport dari Itali, lantas merosakkannya serta Perang Dunia Pertama adalah dua sebab utama tergendalanya projek pembinaan tersebut. Masjid ini kemudiannya telah dibuka secara rasmi oleh Sultan Jalil Karamatullah Shah pada tahun 1917.

Masjid yang unik.

Jika berkunjung ke bandar Kuala Kangsar, tidak lengkap rasanya jika tidak berkunjung ke masjid ini.Di bahagian luar pagar masjid, dihiasi pokok renek sepanjang laluan pejalan kaki manakala papan tanda pula dibuat dengan batu marmar dengan tulisan yang menarik.Reka bentuk pagarnya berkonsepkan ala istana menggunakan cat berwarna putih dan besinya dicat warna keemasan serta hitam.Rumput hiasan ditanam di beberapa bahagian luar masjid serta pokok pinang.

Masjid Ubudiah ketika waktu Magrib hampir tiba.

Ruang letak kereta yang luas memudahkan orang ramai berkunjung ke Masjid Ubudiah. Sebuah pondok di bina di belakang masjid untuk kemudahan pengunjung berehat sambil menikmati kedamaian.Di bahagian hadapan masjid, dibina sebuah kolam dilengkapi air pancut yang memberikan kedamaian kepada pengunjung.Di bahagian luar masjid yang menelan belanja kira-kira RM2.9 juta itu dihiasi batu marmar air yang bersih dan bercahaya.

Makam di raya yang bersebelahan dengan masjid.

Tiangnya dibuat daripada batu marmar berwarna coklat manakala dindingnya mempunyai reka bentuk yang melambangkan agama Islam.Memasuki ruangan dalaman, anda pasti terpesona dengan kecantikan hiasan lampu dan dinding yang pelbagai warna manakala mimbarnya dibuat daripada kayu bermutu tinggi berukiran warisan tradisional dan Kesultanan Melayu. Pada bahagian atas, terdapat sebuah lampu kristal yang memenuhi ruangan tengah masjid diikuti beberapa lampu kecil.Bahagian silingnya dihiasi kalimah nama Allah dan ukiran siling kapur yang begitu unik.

Di dalam Masjid Ubudiah.

Masjid yang mempunyai sebuah kubah utama dan beberapa kubah kecil berwarna keemasan itu memang cukup menarik.Selain tempat menunaikan ibadat solat, Masjid Ubudiah memiliki keunikannya sebagai destinasi pelancongan sekali gus menggambarkan Islam itu indah.

Selepas menunaikan solat Magrib, kami dipelawa ke kedai herba en. Talaha. Di sana, lagi sekali kami pekena teh tarik herba.

Sabtu, 13 Februari 2010

Laman Herba en. Talaha

Minggu lepas, penulis menemankan editor dan jurufoto ke Gerik, Perak. Mereka ditugaskan mengambil beberapa keping gambar untuk kegunaan buku teks sekolah. Sebelum sampai ke Gerik, kami terlebih dahulu singgah di Kuala Kangsar untuk ke taman herba kepunyaan en. Mohd. Tahala di Kampung Batang Kota Lama Kiri. Tugas kami di situ adalah mengambil gambar jenis-jenis pokok herba.

Dalam perjalan ke Kuala Kangsar.

Kedatangan kami disambut baik oleh en. Mohd. Tahala dan mempelawa kami minum air herba sebagai salam perkenalan. Sambil minum air herba, kami dapat menyaksikan barang-barang antik kepunyaan en. Mohd. Tahala. Rupa-rupanya en. Mohd. Talaha bukan sahaja pengusaha tanaman herba malah mempunyai hobi mengumpul barang-barang lama atau antik seperti duit siling lama, batu cincin, tembikar lama dan lain-lain lagi.

Mengambil gambar taman herba.

Selepas menikmati minuman herba, kami ke taman herba kepunyaan en. Mohd. Talaha yang terletak di hadapan dan belakang rumahnya. Sambil kami mengambil gambar, en. Talaha memperkenalkan jenis-jenis pokok herba serta serta menerangkan khasiatnya. Menurut en. Talaha, HERBA dan rempah ratus adalah antara bahan masakan penting yang sudah menjadi sebahagian daripada sajian masyarakat di seluruh dunia sejak beribu tahun lamanya.

One Photo sedang mengambil gambar pokok Tongkat Ali.

Katanya lagi, tumbuhan herba ini adalah warisan yang tidak ternilai kepada manusia kerana selain menyedapkan lagi hidangan, herba juga mempunyai banyak khasiat berguna untuk penjagaan kesihatan badan dan kecantikan.

Bukan sahaja membenarkan mengambil gambar, malah dibekalkan lagi beberapa pokok herba untuk kami.

Malangnya kami tidak boleh lama di taman herba ini. Sedang kami asyik mengambil gambar, cuaca di Kuala Kangsar sudah kelihatan mendung. Ini menandakan hari hendak hujan. Kamipun meminta diri dan terus ke Masjid Ubudiah untuk menunai solat. Setibanya kami di bandar Kuala Kangsar, hujan turun dengan selebat-lebatnya.

Pekena teh herba secawan.

Pada sebelah malam en. Mohd. Talaha mempelawa kami ke kedai herbanya. Sekali lagi kami dihidangkan dengan secawan teh herba panas sambil menyaksikan beberapa jenis herba yang telah siap diproses untuk tempahan dan jualan. Tetapi penulis lebih tertarik dengan barangan antik yang turut dipamirkan dikedai ini. Disini penulis dapat menyaksikan beberapa jenis tembikar yang dipercayai kepunyaan Puteri Hang Li po dan sejenis radio piring hitam yang pertama keluaran National yang masih lagi berfungsi dengan baik.

Herba di kedai en. Mohd. Tahala.

Penulis sungguh menyesal kerana terlalu banyak minum air herba. Apabila sampi di hotel, satu malam penulis tidak boleh tidur kerana badan terasa panas dan terpaksa pula beberapa kali mandi untuk menyejukkan badan.

Selasa, 9 Februari 2010

Notis di dalam tandas

Minggu lepas, penulis ke Puterajaya untuk menghadiri satu masyuarat. Ketika penulis hendak menggunakan tandas, penulis tertarik dengan satu notis yang ditampal di pintu masuk tandas tersebut.

Notis yang tertulis di pintu tandas.

Notis tersebut ditulis seperti berikur:

KEPADA PARA RAKAN DAN LAWAN
TOLONGLAH JANGAN BIARKAN
NAJIS/TAHI MU BERTERAPUNGAN
GUNAKALAH SEGALA KEBIJAKSANAAN
UNTUK MENJIRUS "NYA" JAUH KE DALAM SALURAN

ANGGAPLAH KITA INI BERADA JAUH DI PENDALAMAN
DI MANA SISTEM PEMBENTUNGAN MASIH KETINGGALAN
TERIMALAH HAKIKAT SERTA PESANAN
DENGAN RASA KEIMANAN SERTA PERSAHABATAN.

Pintu tandas.

Pada mulanya penulis ingatkan berada di dalam tandas sebuah sekolah, rupa-rupanya tandas ini berada di salah satu pejabat kerajaan di Puteraya.