Isnin, 30 November 2009

Selamat Hari Raya Korban

Selamat berhari Raya Aidiladha dan menjalankan ibadah korban. Jika kita tidak membuat korbanpun, sama-samalah kita membantu dan menyaksikan ibadah korban yang dibuat di kariah kita. Setiap yang menyaksikan ibadah korban itu pasti ada ganjaran pahalanya.

Bukan mudah menumbangkan seekor lembu.

Laungan takbir bergema selama beberapa hari ini di masjid, surau dan di rumah-rumah. Sama-samalah kita bertakbir untuk memuji kebesaran Allah.

Telah selamat dikorbankan.

Hari Sabtu lepas, penulis berkesempatan menyaksikan dan membantu merakamkan gambar rakan-rakan sedang menumbangkan lima ekor lembu di Surau Baitul Ehsan, Ampang Tasik, Ampang. Bukan senang hendak menundukkan lembu-lembu ini. Untuk tarik sebelah kaki, memerlukan lima orang dewasa memegang talinya. Terasa seperti terlucut lengan dibuatnya. Tetapi apabila setelah ditumbangkan, mudah sahaja Saudara Didi menyembelih untuk menyempurnakan ibadah korban ini.

Gotong royong melapah lembu.

Laungan takbir Saudara Didi sebelum menyembelih lembu tersebut membuatkan hati penulis rasa tersentuh. Betapa besarnya dan agungnya pencipta kita. Seharian kami menguruskan daging-daging lembu ini. Bahagian paling letih sekali apabila hendak membasuh perut lembu. Kami dikehendaki membuang sisa makanan didalamnya sehingga baunya hilang. Yang pasti, tangan kami berbau harumlah.

Beramai-ramai memotong daging lembu.

Semoga sama-samalah kita mendapat apa yang sepatutnya di Hari Raya Korban kali ni. Selamat hari raya. Maaf zahir batin.

Ahad, 29 November 2009

Melawat ke Taman Burung Kuala Lumpur

Semenjak kebelakangan ini anak perempuan penulis kelihatan muram sahaja. Beliau bersedih kerana keputusan peperiksaan UPSRnya kurang cemerlang dan mengagalkanya untuk mendapatkan sekolah berasrama penuh. Namun kekecewaannya sedikit terubat kerana mendapat hadiah dari pihak sekolah agama kerana mendapat keputusan yang agak cemerlang semasa peperiksaan percubaan PSRA.

Anak penulis menerima hadiah daripada pengurusi PIBG.

Walaupun keputusan UPSRnya kurang cemerlang, penulis tetap merasa bangga kerana keputusan peperiksaannya itu jauh lebih baik daripada keputusan peperiksaan penilaian darjah lima penulis dahulu. Untuk mengurangkan rasa kesedihannya, kamipun melawat ke Taman Burung Kuala Lumpur.

Kami sudah sampai Taman Burung Kuala Lumpur.

Taman burung kuala lumpur atau KL bird park ini di bawah kelolaan DBKL. Rupa-rupanya tempat ini merupakan sebuah taman yang berbentuk free-flight walk-in aviary yang terbesar di dunia.

Nur Atikah menunjukkan teket dan bruser ke Taman Burung Kuala Lumpur.

Free flight walk in aviary ini berkonsepkan, pengunjung boleh berjalan-jalan bebas sambil melihat sebahagian burungnya bebas berterbangan disekililing pengunjung. Kecuali spesis burung yang boleh membahayakan atau yang membuatkan pengunjung tidak selesa. Unggas-ungas seperti ini ditempatkan di dalam kurungan.

Pintu masuk ke bahagian jenis-jenis burung Kakak Tua.

Taman burung ini agak luas, rasanya lebih kurang keluasan Zoo Negara, cuma di Zoo Negara ada train. Letih juga kami berjalan-jalan kerana hendak memanfaatkan harga teket yang berharga rm15. Tiket ini diikat pada pergelangan tangan kami, rasanya seperti pesakit di wad hospital pula.

Sebahagian burung bangau bebas berterbangan dan berkeliaran di sekeling kami.

Konsep taman ini dibahagikan mengikut jenis spesis. Contohnya seperti spesis Brahminy land, ia diletakkan setempat pada jenis burung pemangsa. Spesis Hornbill Park pula diletakkan setempat pada jenis burung enggang. Spesis World of Parrot di tempat pada jenis burung seperti kakak tua, nuri dan serindit. Manakala Flightless bird pula di tempatkan pada jenis burung gergasi seperti burung Unta, Kasawari, Emu dan Rhea.

Sempat lagi bergambar dengan burung Merak.

Ada juga tempat khas untuk burung-burung air tawar seperti Ruak-ruak, Ayam-ayam, Belibis dan pelbagai jenis Bangau dan Pucung. Sesetengah burung, seperti Merak dan Bangau putih dilepas bebas, hampir boleh ditemui di mana-mana tempat di dalam taman ni.

Kami dikelilingi oleh berbagai spesis burung yang bebas berkeliaran.

Antara tempat lain yang menarik di dalam taman ini ialah waterfall aviary. Air terjunnya memang cantik, yang turut dihuni spesis-spesis unggas tertentu. Ada juga nursery, tempat penetasan burung dan pemeliharaan burung. Didapati ada beberapa buah restoran dan kiosk cenderahati yang dinamakan mengikut nama-nama burung, tetapi kami hanya masuk untuk melihat dan bergambar sahaja kerana harganya agak mahal...

Antara spesis burung Kakak Tua.

Sayang sekali, semasa kami melawat, cuacapun mendung dan hujan turun renyai-renyai, jadi kami tidak sempat merakamkam foto di beberapa tempat menarik yang lain. Namun kami masih lagi sempat menyaksikan amphitheatere iaitu pertunjukan burung.

Sempat lagi merakamkan kenangan di pintu masuk Taman Burung Kuala Lumpur.

Lebih kurang pukul enam petang, kami selesai melawat keseluruhan taman, dan keluar dari sana untuk pulang kembali ke rumah.

Rabu, 11 November 2009

Segala-galanya Sudah Berubah

Dua minggu lalu, penulis telah menghadiri satu majlis perkahwinan seorang rakan di Banting, Selangor. Entah kenapa secara tiba-tiba sahaja penulis terkenangkan kembali memori indah semasa di sekolah menengah dahulu. Secara kebetulan rumah pengantin berhampiran dengan sekolah, tempat penulis pernah belajar dahulu, penulispun mengambil kesempatan berkunjung dan ini kali pertama penulis dapat melawat kembali sekolah ini.

22 tahun dulu, jalan ini hanya satu lorong dan kiri-kanannya adalah ladang kelapa sawit.

Bangunan asrama putera SMT Klang.

Pintu masuk SMT Klang.

Setibanya di pintu utama sekolah ini, penulis begitu terperanjat sekali kerana semuanya telah berubah. Bukan sahaja jenis sekolah ini telah berubah kepada jenis sekolah menengah teknik, malah segala-galanya telah berubah. Kini, landkapnya semakin menarik dan cantik, semakin luas dan dikelilingi oleh bangunan-bangunan premis perniagaan yang bertingkat-tingkat. Jika dahulu sekolah ini dikelilingi ladang kelapa sawit tetapi kini sebatang pokok kelapa sawitpun tidak kelihatan.

Hadapan SMT Kelang, kini dipenuhi dengan deretan premis perniagaan.

Pintu masuk SMT Kelang.

Bagunan asrama SMT Kelang, pemandangan dari jalan utama.

Masa begitu pantas sekali. Rupa-rupanya sudah 22 tahun penulis meninggalkan sekolah ini. Zaman telah berubah. Segala-galanya telah berubah. 

Penulispun terus memandu dan meninggalkan kawasan sekolah ini dengan seribu kenangan.

Jumaat, 6 November 2009

Ikon Gadis Melayu

Semalam, penulis ke Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menyaksikan peringkat akhir pertandingan Gadis Melayu anjuran TV9. Penulis sebenarnya hendak masuk ke tempat duduk penonton biasa sahaja, tetapi rakan penulis membawa masuk melalui pintu yang di khas untuk wartawan. Penulis mendapat tempat duduk dibarisan hadapan sekali bersama wartawan media massa. Mujurlah wartawan di sebelah tidak bertanya, penulis dari akhbar mana. Jika tidak, susah juga hendak jawap... he... he....

Empat peserta akhir Gadis Melayu musim kedua.

Salah seorang peserta sedang membuat persembahan.

Penulis difahamkan, peringkat akhir Gadis Melayu ini disiarkan disiarkan secara langsung dari Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka menerusi TV9 malam tadi. Pada malam tersebut menyaksikan Shazfinas Hashim (Finas), Nadia Adriana (Nadia), Putri Noor Nawal (Putri), Siti Nur Syafiqa Amirul Melvin (Fiqa) dan Hazlin Hussain (Lin) telah menonjolkan kebolehan, kebolehan dan keistimewaan masing-masing untuk menawan hati juri dan juga penonton untuk meraih undian SMS.

Antara wartawan yang membuat liputan.

Penulis mendapat tempat duduk dibarisan hadapan sekali.

Pertandingan ini menyaksikan Adlin Aman Ramli dan isterinya Emelda Rosmila sebagai pengacara buat pertama kalinya. Malam tadi juga, para peserta bergandingan dengan artis popular yang mewakili pelbagai bidang seperti lakonan, nyayian, tarian dan teater. Finaz berpasangan dengan dengan Alam (You Think You Can Dance), Putri menyanyi bersama kumpulan The Fabulous Cats, Lynn berlakon bergandingan dengan  Beego, Nadia pula menari dengan Sazlan yang merupakan penari profesional dan Fiqa berlakon bersama Fauzi Nawawi yang berpengalaman dalam bidang lakonan dan teater.

Fiqa sedang membuat persembahan dengan begitu bertenaga sekali.

Empat peserta sedang berdebar menanti keputusan yang akan diumumkan.

Keyakinan yang tinggi serta menepati ciri yang dikehendaki kepada peserta, Siti Nur Syafiqah atau dikenali sebagai Fiqa untuk dinobatkan sebagai Gadis Melayu musim kedua. Penampilan diri serta keunikan persembahan berkonsepkan drama yang ditonjolkan Fiqa berjaya menarik perhatian juri, sekali gus meletakkan fiqa sebagai ikon dalam membentuk jati diri sebagai gadis melayu tulen. Fiqa menerima wang tunai RM10.000, trofi serta hadiah iringan yang disampaikan tetamu Diraja, Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun. Baginda diiringi Datuk Johan Jaafar.

Siti Nur Syafiqa ikon Gadis Melayu musim kedua.

Fiqa bergambar bersama ahli keluarganya.

Selesai sahaja majlis, penulis dijemput menjamu selera bersama para wartawan, peserta dan tetamu VIP. Penulis terpaksa menolak kerana hanya berselipar sahaja. Huh! menyesal pula penulis!. 

Isnin, 2 November 2009

Bas Mini Dalam Kenangan

Ketika penulis bertugas di Muzium Negara dahulu, hampir setiap hari menaiki bas mini dari Jalan Silang ke Bangsar. Ketika itu bas mini adalah zaman kenangan manis bagi penulis. Bayangkanlah ketika hendak menaiki bas, kami pasti berebut-rebut dan kemudianya berhimpit-himpit pula di dalam bas. Ketika berhimpit-himpit itulah, kadang-kadang penulis terasa benda yang lembut ataupun benda yang keras. Manakala baunya bermacam-macam jugalah. Ada yang bau wangi, masam dan hanggit. 

Pada mulanya harga teket bas mini berharga 30 sen, kemudiannya dinaikkan 50 sen dan 60 sen.

Manakala bas pula dipandu dengan cara yang merbahaya serta laju tanpa memikirkan keselamatan para penumpangnya. Pernah sekali penulis hampir terjatuh dari dari bas mini yang bergerak laju. Penulis hanya berpaut sebelah tangan dan sebelah kaki di pintu bas mini. Penulis sudah rasa cemas, seperti hendak terjatuh tetapi mujurlah ada seorang penumpang memegang tangan penulis dan menariknya ke dalam bas. Penulis tidak dapat bayangkan jika terjatuh dari bas mini tersebut. Sudah pasti penulis tercedera atau telahpun meninggal dunia. Syukur alhamdulilah kepada Allah SWT kerana memanjangkan nyawa hambanya ini.

Manaka konduktor bas mini pula bermacam-macam ragam. Ada yang garang dan ada yang lucu. Pengalaman penulis menaiki bas mini ke tempat kerja Bangsar, ada satu dialog abang konduktor yang penulis tidak lupa ialah “masuk-masuk... masuklah sampai ke dapur, jangan malu-malu.”. Kadang kala katanya. “masuklah, jangan buka kasut.” Ada seorang konduktor bas perempuan (yang agak garang) pula berkata “masuk lagi, abang! masuklah dalam-dalam.” Ada seorang penumpang lelaki pula menjawab. “abang sudah tidak tahan lagi ni, sudah terhimpit.

Bas mini adalah zaman kenangan manis bagi penulis.

Selalu juga penulis mendapat teket percuma. Apabila konduktor menghampiri penulis, penulispun buat muka selamba dan tidak tahu sahaja. Jadi, konduktor bas itu pun menjadi keliru sama ada penulis sudah membeli teket ataupun belum. He... he... kelakar, nakal juga penulis pada masa itu. Pada mulanya harga teket bas mini berharga 30 sen, kemudiannya dinaikkan 50 sen dan 60 sen. Sebelum perkhidmatan bas mini digantikan dengan syarikat Intrakota, harga tiketnya adalah 70 sen.

Apabila penulis berkerja di DBP, penulis tidak menaiki bas mini lagi sebab sudah membeli sebuah motosikal baru.