Selasa, 31 Disember 2013

Makan Tengahari di Sungai Besar...

Setelah kenyang berserapan di Warung seorang sahabat saudara Nizam Imam di Sungai Nibung, kami meneruskan perjalanan ke Pekan Sungai Besar pula. Rakan penulis, Shahrul ada urusan perniagaannya di sana. Setelah selesai berurusan dengan pelanggannya, perut pula terasa lapar, beliaupun mengajak kami makan tengahari. Beliau membawa kami ke Restoran Kuala Kurau, Sungai Besar.
Restoran Kuala Kuarau, Sungai Besar.
Difahamkan Restoran Kuala Kurau ada tiga cawangan di sekitar Pekan Sungai Besar ini. Kami singgah  di cawangan Sungai Lias. Restoran Kuala Kurau dikatakan sangat popular dengan kelazatan Char Kuew Teaunya. Ramai kawan-kawan penulis mengatakan Char Kuew Teau di restoran ini memang terkenal dan sedap. Tetapi, oleh kerana kami datang lewat tengahari, perut pun sudah berbunyi, kami lebih tertumpu kepada nasi campur sahaja.
Shahrul memilih lauk. Sudah tidak banyak pilihan kerana datang lewat.
Restoran Kuala Kurau ini menghidangkan masakan nasi campur untuk hidangan makan tengahari. Style masakan mereka ialah masakan ala ala kampung. Jadi, memang banyak lauk pauk yang berunsurkan kekampungan di restoran ini. Rakan penulis, dia memang suka sangat makan berlaukkan ikan Sepat Goreng Berlada. Maklumlah ikan sepat mudah di didapati di sawah padi di sekitar Sungai Besar ini. Apabila ikan sepat ini di goreng masak sambal berlada atau dimasak gulai, memang terasa kesedapannya.... pergh...
Kami datang lewat tengahari. Kebanyakan lauknya sudah kehabisan.
Kami masing-masing mengambil pinggan dan mencedok nasi sendiri. Kami memilih lauk pucuk paku masak lemak (sangat marvelous dan fresh), ayam kampung goreng & masak gulai, sayur kacang panjang masak tumis, sedikit ulam-ulaman dan ikan keli bakar. Malangnya penulis tidak dapat menghabiskan ikan keli tersebut kerana ianyanya agak keras sedikit dan kering pula. Jadi. tidak berapa sedap rasanya. Tetapi ikan sepat goreng berladanya memang terbaik.
Kena layan diri. Mencedok nasi sendiri.
Kami duduk di tengah-tengah restoran. Jadi, suasananya agak nyaman dan sangat selesa. Dahulu restoran ini menggunakan kerusi kayu sahaja. maka, terdengarlah bunyi kriok sana sini sebab kerusi kayu ini agak berat. Tetapi kini sudah ditukar ke kerusi kayu yang lebih ringan, kuat dan cantik. Jadi, damai sedikit pendengaran di sini. Kawasannya pun kelihatan lebih tenang dan lapang.
Ikan Keli bakar yang agak keras sedikit. Ikan sepatnya memang terbaik.
Restoran Kuala Kurau ini juga ada menyediakan menu ikan bakarnya. Nest time, jika berpeluang datang ke restoran ini lagi, penulis hendak mencuba pula Char Kuew Teau dan ikan bakarnya pula. Apabila penulis terlihat pekerja restoran sedang membakar ikan siakap dan terubuk, kelihatan seperti menarik dan sedap sahaja. Teringinlah juga tetapi perut sudah kenyang pada masa itu. Kemudian penulis dapat melihat view di kaunter lauk pauk mereka, bersusun-susun lauk pauknya yang menyelerakan. Pinggannya pula bertingkat-tingkat. Tetapi jika anda datang lewat tengahari, kemungkinan besar lauk-pauknya sudah kehabisan.
Rakan dari Kelantan yang menikmati makanan dari Selangor.
Ada kemungkinan pengurusan Restoran Kuala Kurau ini akan menambahkan lagi cawangannya di tempat lain. Penulis dapat lihat Signboardnya pun sudah kelihatan barharu. Maklumlah, sudah loaded tokey dia sekarang ini. Makanannya pun sedap, variasi banyak dan servis pun pantas.
Pemanis mulut, tapai pulut.
Anda pernah singgah untuk makan di restoran ini?. Oh yer!... harganya agak berpatutan. Tidak murah dan tidak pula terlalu mahal. Maklumlah, lauk pauknya pun kira di dalam golongan eksotik juga. Lagi satu, buat anda yang tidak makan masakkan pedas, anda tidak perlu risau ada bayak makanan yang tidak pedas seperti ikan goreng, ayam goreng, sup daging, sup ayam, sup sayur dan macam-macam lagi.

Jadi, pada sesiapa yang akan balik ke kampung halaman atau melalui lebuhraya Kuala Selangor - Sungai Besar - Sabak Bernam, bolehlah singgah ke restoran ini. Selamat mencuba!.

Isnin, 30 Disember 2013

Pekena Ikan Bakar Lagi!...

Di Lembah Kelang memang banyak gerai atau restoran yang menyediakan menu masakan ikan bakar. Ikan bakar yang popular seperti di Medan Selera di Jalan Bellamy memang sering menjadi tumpuan orang ramai.
Pelanggan sanggup berbaris panjang menunggu giliran ikan bakar di bawah mentari panas terik.
Minggu lepas penulis ada mesyuarat di Kuala Lumpur. Tiba-tiba penulis teringatkan ikan bakar. Penulis bercadang-cadang hendak makan ikan bakar di gerai Jalan Bellamy, tetapi terpaksa membatalkan hasrat tersebut kerana di sana agak sesak dengan orang ramai. Tambah-tambah lagi jika di waktu puncak. Oleh itu, penulispun ke gerai ikan bakar Pak Din di Medan Selera Tanglin. Rupa-rupanya di Medan Selera Tanglin pun sama juga, bersesak dipenuhi orang ramai yang ingin menikmati makan tengahari dengan ikan bakar.
Ikan sedang di bakar.
Ramai yang kata Ikan Bakar Pak Din ini agak terkenal di sekitar Lembah Kelang, walaupun ianya tidak setaraf dengan hotel 5 bintang, tetapi para pelanggannya ada yang datang dari jauh seperti dari Seremban dan Petaling Jaya untuk makan tengahari disini!. Jadi, pada sesiapa yang teringin sangat hendak menikmati ikan bakarnya bolehlah berkunjung ke Medan Selera Tanglin, carilah Gerai Ikan Bakar Pak Din, gerai yang paling ramai pelanggan itu lah gerai makan dia.
Ambil nasi dan pilihan lauk lain di gerai ini.
Gerai Ikan Bakar Pak Din ini sempoi sahaja, tetapi yang penting ikan bakarnya dia memang tip top, cuma pilihan ikan bakar dan kuah cecahnya tidak banyak seperti di Jalan Bellamy. Tetapi yang paling penting ikan, udang dan sotong mesti ada. Pelbagai jenis ikan ada di bakar disini untuk pilihan anda. Yang pasti kuah cecah asamnya memang sedap. Selepas anda makan mesti bau kuah asamnya masih melekat di tangan anda. Apa yang paling penting ikannya masih segar dan sedap dengan harga yang berpatutan.
Antara ikan yang sedang dibakar.
Medan selera ini terletak berhadapan dengan Pusat Kesihatan Tanglin, tidak jauh dari Masjid Negara dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Keenakan ikan bakar Pak Din ini disebabkan penggunaan bara arang yang kini agak sukar ditemui. Kini, kebanyakan gerai atau restoran membakar ikan di atas “Flat Steel Plate”. Dengan membakar ikan, udang atau sotong di atas bara arang, membuatkan aroma makanan yang sedang dibakar boleh membangkitkan selera pelanggan.
Air minuman. Jika hendak cepat sila ambil tidak perlu minta pesanan.
Bagi penulis, itu last resort jika teringin sangat hendak menikmati kelazatan ikan bakar. Terdapat beberapa jenis ikan di gerai Pak Din ini seperti ikan Kembong, Terubuk, Cencaru, Keli, Sotong dan Udang. Kuah cecah asamnya juga boleh tahan sedapnya.
Tempat duduk bawah khemahpun penuh dengan pelanggan.
Tetapi ada juga pelanggan yang komplen kerana kuah asamnya terasa masam sangat. Maklumlah, bukan mudah hendak memuaskankan hati semua pelanggan. Citarasa para pelanggan adalah berlainan, Masing-masing ada citarasa sendiri. Mesti ada seorang dua pelanggan yang tidak sukakan rasa masamnya. Tetapi secara peribadi, penulis sangat suka dengan kuah cecah asamnya dan bertambah sedap lagi jika dilebihkan sedikit rasa kepedasan cili di dalam kuah asamnya.
Ikan Keli dan sotong bakar dengan sirami kuah asam.
Dari segi layanan pula, pujian harus diberi pada Pak Din dimana beliau sendiri secara aktif melibatkan diri dalam memastikan kelancaran perniagaan makanan ikan bakarnya. Di gerai ini memang tidak sunyi dengan suara Pak Din yang sentiasa menarik perhatian pengunjung ke sini. 
Sedang menikmati ikan bakar terubuk Tanglin.
Pada keseluruhannya penulis sangat berpuas hati menikmati ikan bakar di sini. Sambal cicah ikan bakar di sini memang terbaik untuk penulis. Kombinasi pencicah dan ikan bakar disini memang mantap dan terbaik. Bagi mendapatkan rasa yang terbaik, anda boleh meminta menambah sos pencicah dicurah terus ke ikan bakar anda. Anda juga boleh meminta ikan anda dibakar semula jika ikan tersebut sudah sejuk atau  masih belum masak sepenuhnya.

Ahad, 29 Disember 2013

Berserapan di Warung Rakan Sekolah

Minggu lalu penulis mengikuti seorang rakan sekolah yang ada urusan perniagaan di Sungai Besar, Selangor. Sebelum sampai ke distinasi yang hendak di tuju, kami sempat singgah sebentar di Pekan Sungai Nibung untuk berserapan pagi. Tanpa di duga, tuan punya warung tersebut adalah rakan sekolah kami semasa sama menuntut di SMV Kelang pada tahun 1985/86 dahulu.
Warung Nizam Imam di Pekan Sungai Nibung, Sekinchan, Selangor.
Nama rakan sekolah kami ini ialah saudara Nizam Imam. Gelaran Imam masih kekal hingga sekarang kerana beliau sering mengimamkan kami ketika bersolat wajib lima waktu semasa kami tinggal di asrama dahulu. Lagipun beliau adalah seorang pelajar yang berlatar belakangkan berpendidikan agama  kerana pernah mengaji di sekolah agama aliran arab sebelum menyambung pelajarannya di SMV Kelang.
Ngeteh dengam rakan-rakan sekolah.
Beliau yang kini sudah berumah tangga dan mempunyai sembilan orang cahaya mata yang sudah besar dan yang kebanyakkanya adalah anak dara. Murah sungguh rezeki saudara Nizam Imam ini. Murah rezeki dengan zuriat. Hampir kesemua anak beliau membantunya berniaga di warung ini. Awal juga saudara Nizam Imam ini berumah tangga. Mungkin selepas keputusan SPM saudara Nizam Imam ini berumah tangga kot ... hehehe... Beliau berkata, sambil mengusahakan sawah padi beliau berniaga di warung ini. Sudah hampir setahun juga beliau sudah berniaga di warung ini. Pelanggan agak ramai dan pendapatannya agak lumayan katanya. Penulis dapati warung Nizam Imam ini sentiasa dipenuhi dengan pelangannya. Ini mungkin kerana ada anak dara cun yang menjadi daya penarik warung ini... hehe....
Anak dara Nizam Imam sedang menebar roti canai.
Terlanjur sudah berjumpa dengan rakan-rakan lama, saudara Nizam Imam pun menghubungi rakan-rakan sekolah yang lain yang masih bermastautin di sekitar warungnya. Oleh itu, kami dapat berjumpa kembali dengan dengan beberapa rakan sekolah seperti Baharom, Azhari, Shahrul, Jailani dan Hamdani. Sungguh gamat suasana di warung Nizam Imam ini, kami terasa seperti berada waktu zaman persekolahan pula..... hehe...
Lontong yang tip top Nizam Imam.
Apabila berjumpa rakan-rakan lama, penulis dapati masih ada yang tidak berubah wajahnya, ada yang bertambah tampan dan ada juga yang berbeza hampir tidak kami kenali, Begitulah putaran alam. Kita berpisah membawa haluan. Dengan izinnya kami dipertemukan dengan berbagai bagai kisah kehidupan..
Roti canai Nizam Imam.
Sambil kami berborak kisah kenangan silam, kami sempat menikmati beberapa hidangan yang enak di warung saudara Nizam Imam ini. Antaranya nasi lemak, lontong dan roti canai. Kali ini penulis hendak berbicara mengenai roti canai di warung ini. Bagi penulis ianya cukup sedap. Memang gebu, lembut dan rangup. Ianya ditepuk dan “dikerat” kecil-kecil. Apabila di makan panas-panas dan dicecah pula dengan kuah kari, memang cukup menyelerakan.
Shahrul sedang menikmati roti canai dan teh tarik kaw.
Manakala lontongnya pula memang sedap. Lontongnya memang tip top manakala kuahnya pula nampak berbeza sedikit dari kuah lodeh di Lembah Kelang. Apabila kuah londehnya dicampur dengan segala macam sambal seperti sambal kacang dan sambal kerang, ramuan ini menambahkan lagi kelazatan lontong ini.
Tauke Warung, Nizam Imam...
Setelah kenyang dan berborak panjang, kamipun meminta diri untuk meneruskan perjalanan ke Sungai Besar. Sememangnya kenangan manis berserapan bersama rakan-rakan sekolah yang sudah lama tidak berjumpa memang sukar dilupakan. Jumpa lagi kawan-kawan!....

Sabtu, 28 Disember 2013

Masih Bertaraf Antarabangsa kah Nasi Lemaknya?

Minggu lalu, selepas balik dari Batu Caves, penulis singgah sebentar ke Kampung Baru untuk melepaskan rindu dengan menikmati nasi lemak yang dikatakan sangat popular di sana. Anda semua mesti sudah familiar sangat dengan nasi lemak ini bukan? Kampung Baru ini berhampiran dengan KLCC dan pasar Cow Kit. Satu-satunya perkampungan Melayu yang terletak ditengah-tengah kotaraya Kuala Lumpur ini.
Restoran Nasi Lemak Antarabangsa di Kampung Baru.
Pada sekitar tahun 90an, Nasi Lemak Antarabangsa di Kampung Baru ini memang tidak asing lagi bagi wargakota dan telah menarik minat ramai pelanggan dari serata dunia. Begitulah hebatnya penangan nasi lemak antarabangsa di Kampung Baru ini.
Masih ramai penglanggan di restoran ini.
Tetapi itu dahulu, semasa perniagaan nasi lemak masih tiada persaingan. Kini, warung yang berniaga nasi lemak telah banyak dibuka di sekitar Kuala Lumpur terutama di Kampung Baru ini. Kini para pengemar nasi lemak telah banyak pilihan untuk memilih sendiri nasi lemak diantara yang tersedap di sekitar ibukota ini.
Catatan kenangan dari pelancung luar negara yang pernah singgah dan makan nasi lemak di restoran ini.
Apa yang istimewa nasi lemak antarabangsa di Kampung Baru ini? Sudah tentulah mengenai nasi lemak dengan aroma daun pisangnya yang dikatakan boleh membangkitkan selera para pelanggannya. Sungguhpun lauk pauknya tidak banyak pilihan tetapi pilihan yang ada sungguh menyelerakan. Selain nasi lemaknya terdapat juga makanan lain seperti behoon sup dan minuman yang menyelerakan di restoran ini.
Pelanggan sedang memilih lauk pauk di restoran nasi lemak antarabangsa ini.
Sebenarnya sudah lama penulis tidak berserapan di restoran ini, tetapi memandangkan kebetulan pada hari tersebut adalah hari cuti Krimas, penulis pun singgah. Penulis bernasib baik kerana tidak ramai pelanggan. Dahulu, jika penulis datang ke restoran ini, kompom kena beratur panjang. Tetapi kini sudah kurang sedikit.
Restoran Nasi Lemak Antarabangsa Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Selain Sambal. telur rebus dan ikan bilis goreng, anda mempunyai pelbagai pilihan lauk seperti ayam rendang, kerang, daging, sotong, paru, begedil, hati ayam dan telur goreng.
Antara lauk pauk nasi lemak yang menyelerakan.
Selain itu servis disini juga cepat kerana anda hanya perlu memilih lauk yang anda mahu. Penulis telah memilih nasi lemak dengan sambal sotong dan segelas kopi O sahaja. Apabila penulis menikmati nasi lemak, lauk bersambalkan sotong memang tidak boleh dipisahkan.. hehehe
Nasi Lemak Antarabangsa Lauk Sambal Sotong.
Jumlah harga hidangan termasuk dengan Kopi O panas adalah RM7.60. Pada pendapat penulis harganya agak mahal sedikit. Pada pandangan penulis nasi lemaknya dan lauk pauknya bolehlah tahan sedapnya. Tetapi, maaflah jika hendak dibandingkan dengan Nasi Lemak Wanjo, Nasi Lemak Wanjo lagi sedap. Hanya sambalnya sahaja lebih kurang sama kerana rasanya manis dan tidak pedas.
Pintu Gerbang Kampung Baru yang menuju ke Restoran Nasi Lemak Antarabangsa ini.
Untuk mencari parkir kenderaan di sini memang agak sukar, maklumlah tempat parkirnya adalah terhad. Manakala ruang makannya juga tidak terlalu besar dan sekiranya di waktu puncak mungkin bersesak sedikit. Sebab itu penulis lebih suka beli bungkus dan makan sahaja di rumah sahaja.

Jumaat, 27 Disember 2013

Uniknya Warung The Red Warriors

Dari jauh dapat dilihat sebuah warung kecil berwarna merah menarik perhatian sesiapa sahaja yang lalu lalang di situ. Terletak bersebelahan dengan Pasaraya Giant Batu Caves, terdengar suara dengan loghat Kelantan memanggil-manggil pelanggan singgah ke warungnya.
Warung The Red Warriors.
Dibina berhadapan sebuah kawasan taman perumahan, warung Selera Kelate Kita yang sentiasa penuh dengan pelanggan, apatah lagi lokasinya strategik diteduhi pula oleh pohon mata kucing yang menenangkan pengunjung yang datang untuk menikmati minum petang.
Atau... Warung Selera Kelate.
“Guu tera dulu, sedak royak dekak guu, tok sedak senyak sudoh” adalah trademark yang tertulis di warung ini. Ia bermaksud kepada pengunjung supaya mencuba dahulu makanan yang terdapat di sini dan jika makanannya enak, bolehlah dihebahkan kepada orang ramai.
Trademark Warung The Red Warriors.
Warung ini mula beroperasi 10 tahun lalu. Dahulu, tuan punya warung ini hanya menjual goreng pisang sahaja. Kini, lebih 10 hidangan disediakan dan kesemuanya berasaskan makanan Kelatan.
Tauke warung sedang mengoreng pisang.
Bagi mereka yang tidak pernah merasai keenakan ubi goreng, warung ini adalah tempat terbaik untuk mencubanya. Kuihnya yang tidak terlalu berminyak amat sesuai bagi mereka yang mementingkan gaya hidup sihat.
Antara kuih muih Kelate yang dijual di sini.
Antara rahsia keenakan kuih goreng yang terdapat di warung ialah tepungnya. Kita biasanya menggunakan tepung segera atau gandum untuk mengoreng pisang atau keledek. Tetapi bagi warung ini, mereka menggunakan tepung beras dalam masakanya kerana lebih rangup dan sedap.
JJCM TV3 pun pernah singgah di sini.
Kuih lompat tikam yang limpahi santan dan manisan gula merah, dibawa khas dari Kelantan yang menjadi tarikan utama warung ini. Terdapat juga kuih muih lain seperti cekmek molek, keropok lekor, pisang goreng, keledek goreng, jemput pisang, cucur udang, kuih buah melaka dan manisan seperti bubur sagu dan pulut hitam. Selain menghidangkan kuih muih, warung ini turut menyediakan makanan lain seperti nasi lemak dan Laksam.
Buburpun ada.
Kesemua makanan di kedai ini dibungkus dalam plastik. Sekiranya pengunjung hendak menjamu selera di situ, pinggan akan disediakan.
Koleksi foto dan keratan akhbar mengenai pemain bolasepak Kelantan yang dipamerkan.
Harga makanan juga sangat berpatutan. Makanan seperti goreng pisang, jemput pisang dan keropok lekor dijual RM1 lima biji, ubi goreng RM1 semangkuk. cekmek molek pula dijual RM1 tiga biji. Manakala makanan berbungkus seperti lompat tikam, laksam, cucur udang, kuih buah melaka dan bubur RM2 sebungkus.
Nasi Dangang bungkus.
Apa yang paling istemewa ialah air nira kelapa atau lebih dikenali sebagai air tuak dalam kelangan orang Kelantan dijual RM2.50 sebotol. Warung ini juga menyediakan ABC untuk pengunjung yang ingin menikmati bersama pisang goreng.
Pengunjung sedang menkamu selera.
Untuk mengekalkan keaslian rasa makanan Kelantan ini, bahan-bahan seperti tapai ubi dan gula merah serta minuman air botol kesemuanya dibeli daripada pembekal yang datang dari Kelantan. Kebanyakkan pelanggan warung ini merupakan orang Kelantan. 

Warung ini juga menjadi tempat persinggahn penyokong bola sepak Kelantan yang datang ke Kuala Lumpur untuk menonton Perlawanan.

Selasa, 24 Disember 2013

Serapan Nasi Lemak Wanjo

Apabila berbicara tentang Nasi Lemak Wanjo pasti ramai yang sudah mengatahui kewujudan gerai nasi lemak ini di Kampung Baru. Ia memang popular dan banyak review di alam maya yang mengatakan gerai ini menyajikan nasi lemak diantara yang tersedap di Kuala Lumpur ketika ini.
Gerai Nasi Lemak Wanjo Kg. Baru.
Begitulah hebatnya penangan nasi lemak di Gerai Wanjo ini. Gerai ini dibuka setiap hari dari seawal  pagi sehingga ke 12.00 tengahari. Gerai ini memang sentiasa mendapat perhatian oleh wargakota terutamanya pada mereka yang gemarkan nasi lemak panasnya.
Kuih muih juga ada dijual digerai Wanjo ini.
Pilihan lauk pauknya tidak banyak tetapi amat menyelerakan. Selain sambal, telor rebus dan ikan bilis gorengnya, terdapat lauk lain seperti Sambal Sotong, Rendang Daging, Rendang Ayam, Ayam Goreng, Rendang Limpa & Limpa, Bergedil, Tempe Goreng dan Hirisan Mentimun. Selain nasi lemak terdapat juga pelbagai jenis kuih muih dan minuman yang menyelerakan di gerai ini.
Antara lauk pauk Nasi Lemak Wanjo.
Penulis hanya berserapan pagi dengan menikmati sepinggan nasi lemak berlaukkan sambal sotong sahaja. Ianya cukup berbaloi kerana harga hanya RM5,50 sahaja. Tidak mahal dan tidak pula terlalu murah. Aroma haruman bau daun pandannya memang membangkit selera penulis. Tetapi, sedikit mengecewakan, sambalnya dibuat sedikit manis dan tidak pedas. Susah penulis hendak merasai kepedasan cili di dalam sambalnya.
Gerai Nasi Lemak wanjo.
Pada keseluruhan Nasi lemak di Gerai Nasi Lemak Wanjo ini memang sedap. Nasi dia memang padat dan padu. Memang sedap jika ianya di makan begitu sahaja. Manakala lauk sambal sotong yang penulis ambil hanyalah biasa biasa sahaja, standard sambal sotong di mana-mana gerai makanan. Tetapi nasi lemak dia memang yang terbaik. Nasi lemaknya seketul-seketul.
Nasi Lemak Sambal Sotong Wanjo.
Bagi yang berhajat untuk ke Gerai Wanjo, ianya terletak di Kampung Baru dan adalah lebih mudah jika anda menggunakan Jalan Raja Abdullah dan kemudian masuk ke Jalan Raja Muda Musa. Sekiranya anda datang dari Jalan Raja Abdullah, gerai ini akan berada di sebelah kiri anda di Jalan Raja Muda Musa.

Isnin, 23 Disember 2013

Pekena Lontong Kampung Baru

Semalam, penulis ke Kampung Baru, Kuala Lumpur semata mata hendak menikmati Lontong Jawa Asli di sana. Sudah lama juga penulis tidak makan lontong asli di Kampung Baru ini. Memandangkan semalam hari cuti, apalagi penulispun jalan jalan cari makan di Kampung Baru ini.
Medan Selera Kampung Baru.
Di Medan Selera Kampung Baru ini memang banyak pilihan lauk pauknya. Jika anda hendak makan lontong atau nasi lemak, anda boleh memilih lauk pauk seperti sambal sotong, sambal kerang, rendang ayam dan sebagainya. Penulis sendiri memang suka menikmati lontong dengan bersambalkan kerang. Rasa lontongnya memanglah antara yang terbaik di sekitar Kuala Lumpur.
Pelbagai lauk pauk untuk lontong dan nasi lemak ada.
Lontongnya dibuat secara tradisional dan dibungkus dengan daun pisang. Lontong asli ini disertakan dengan serunding, tempe goreng, sambal tumis, telor rebus, pergedil serta kuah lodeh. Jika anda membeli sebungkus lontong, anda boleh makan untuk dua orang. Rasanya memang sedap kerana penulis menikmatinya sudah bertahun tahun lamanya. Jika hendak menikmati lontong asli ini, pastinya penulis akan ke Kampung Baru ini.
Sedang menuah kuah lodeh.
Lontong Jawa Kampung Baru ini memang popular. Serundingnya memang tip top manakala kuah lontongnya pula nampak berbeza sedikit dari kuah lodeh dari negeri negeri lain di Malaysia. Apabila kuah londehnya dicampur dengan segala macam sambal, ramuan ini akan menambahkan lagi kelazatan lontong ini.
Pelanggan sedang menikmati Lontong Kampung Baru.
Jadi, pada sesiapa yang hendak menikmati lontong di Kampung Baru ini, silalah datang awal kerana pelanggannya ramai. Jika anda datang lewat, pasti lauk pauknya akan kehabisan dan tempat duduknya pula sentiasa dipenuhi dengan pelanggannya. Sehingga penulis sendiripun agak sukar hendak mencari pakir kenderaan kerana tempat parkirnya agak terhad.
Lontong sambal kerang.
Jika sudah datang ke Medan Selera Kampung Baru ini pastinya anda tidak akan sesat, sebab hanya ada satu Medan Selera sahaja yang menjual lontong daun pisang asli di sini. Di Medan Selera Kampung Baru ini ada tiga gerai yang menjual lontong asli ini. Kebanyakkan di gerai nombor satu yang menjadi tumpuan para pelanggan.

Anda boleh makan di bawah pokok di tepi jalan. Mengikut kata rakan-rakan yang tinggal di kampung Baru, peniaga ini sudah lama berniaga lontong dan lauk pauk di Medan Selera Kampung Baru ini....